Tag: Terpaling juara

  • AQMAL MAHU BERJUANG HABIS-HABISAN! LETAK MATLAMAT UNTUK SAMPAI KE ‘FINAL’!

    Petaling Jaya, 1 September 2022  – Aqmal (Aqmal Ramdan) tidak gentar dan yakin untuk bergerak bersama Kapten Naim Daniel untuk mara ke pusingan akhir TERPALING JUARA, bersaing dengan tiga nama terkenal dalam industri hiburan serta dua bakat baharu yang menjadi pesaing.

    Aqmal adalah seorang busker yang juga pernah muncul dengan live band. Aqmal kadangkala dituduh tidak pergi jauh dalam industri nyanyian pada awal penglibatannya dalam bidang hiburan. Bagaimanapun, Aqmal tidak pernah putus harapan apabila ibu dan abangnya menjadi penyokong utama yang mendorongnya untuk terus menyanyi.

    Aqmal mula meminati muzik sejak berusia empat tahun selepas melihat Raihan membawakan lagu Demi Masa di kaca televisyen. Aqmal juga pernah menyertai beberapa pertandingan nyanyian sejak usia tujuh tahun, dan pengalaman yang dikumpul memberi keyakinan kepadanya untuk menyahut cabaran menyertai rancangan terbaru TV3, TERPALING JUARA!

    “TERPALING JUARA sangat berbeza berbanding dengan pertandingan yang saya pernah menyertai sebelum ini sebab ini merupakan pengalaman pertama saya terlibat dengan program realiti nyanyian. Ia merupakan tanggungjawab besar untuk  saya berada di dalam Terpaling Juara, insya-Allah, saya akan cuba buat sehabis baik untuk program ini dan bagi ALL OUT dalam setiap persembahan,” kata Aqmal yang mula dikenali ramai sejak TERPALING JUARA bersiaran pada 21 Ogos 2022. 

    Alhamdulillah, orang dah mula mengenali saya dan saya rasa bersyukur untuk menjadi sebahagian dalam program ini. Saya akan terus mencuba supaya penonton-penonton mengenali dan mengetahui apa kebolehan saya sepanjang program ini berlangsung,” tambah Aqmal lagi.

    Aqmal merupakan peserta yang bernaung di bawah bimbingan Kapten Naim Daniel bersama-sama dengan penyanyi senior, Ifa Raziah. Kolaborasi pertama Aqmal dan Naim dalam lagu Raikan Cinta nyanyian asal Dato’ Jamal Abdillah menyerlahkan sisi berbeza Aqmal yang dikehendaki menyanyi sambil menari dalam lagu genre Irama Malaysia. 

    Akur dengan komen dan kritikan daripada juri tetap, Aqmal tidak rasa kecewa dengan persembahan yang lepas kerana beliau amat menghargai setiap peluang yang diberikan untuk beraksi di pentas berskala besar ini. Ia juga satu bonus yang besar apabila Aqmal berpeluang untuk bekerjasama dengan idola, Naim Daniel.

    “Kolaborasi dengan Naim adalah kerja yang sangat mudah. Naim senang untuk berbincang dan menerima idea. Kalau idea itu kurang sesuai, Naim akan tolak dengan cara baik dan memberikan pandangan yang lebih baik. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat Naim Daniel sebagai kapten. Insya-Allah, kita akan menggegarkan Terpaling Juara sampai ke pentas akhir. Doakan kami ya.” Begitulah harapan besar Aqmal untuk terus mengecapi momen – momen manis di TERPALING JUARA.

    TERPALING JUARA mempertaruhkan #PlaylistAJL iaitu lagu – lagu popular yang pernah tercalon di semua edisi Separuh Akhir Muzik Muzik dan Anugerah Juara Lagu (AJL). Persembahan sulung Aqmal merupakan lagu Nur Kasih (SFMM10, nyanyian asal Slam) dan minggu kedua pula diberikan lagu Raikan Cinta (AJL16, nyanyian asal Dato’ M.Nasir), adakah Aqmal rasa tertekan apabila diberikan lagu Taman Rashidah Utama (AJL4, nyanyian asal Wings) di episod akan datang? 

    “Lagu-lagu pilihan memang sangat mencabar vokal dan kemampuan saya kerana lagu-lagu tersebut sangat ‘legend’ dalam kalangan peminat. Saya berbesar hati kerana berpeluang untuk menyanyikan lagu-lagu legend tersebut. Dengan bimbingan daripada kapten Naim, kita akan bergabung idea untuk menyampaikan lagu tersebut dalam versi saya. Nantikan persembahan saya di malam Ahad ini.”

    Program hiburan terbaharu TV3, TERPALING JUARA mempertaruhkan 3 kapten, Akim Ahmad, Hael Husaini dan Naim Daniel yang merupakan penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik yang berbakat besar serta pemilik trofi Juara Lagu di anugerah paling berprestij  untuk membimbing seorang penyanyi senior dan seorang penyanyi junior untuk  menjayakan persembahan mingguan daripada #playlistAJL iaitu lagu – lagu popular yang pernah tercalon di semua edisi Separuh Akhir Muzik Muzik dan Anugerah Juara Lagu (AJL).

    Jangan ketinggalan untuk menonton Terpaling Juara pada setiap hari Ahad, siaran langsung dari Studio Sri Pentas 2, Shah Alam, pukul 9.00 malam dan strim langsung secara HD di www.tonton.com.my Gunakan tanda pagar #TerpalingJuara dan #PlaylistAJL untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.

  • Terpaling Juara Program Baharu TV3

     

     

    Barisan kapten yang terpilih dalam Program Terpaling Juara

    Stesen televisyen tekenal, TV3 tampil dengan Program Terpaling Juara yang akan membuka gelanggang menerusi siaran langsung dari jam 9 malam, setiap Ahad bermula 21 Ogos ini di studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral.

    Terpaling Juara mempertaruhkan tiga kapten berkualiti yang merupakan penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik serta pemilik trofi Juara Lagu di anugerah paling berprestij.

    Mereka terdiri daripada Akim Ahmad (Juara Lagu 30 – Potret); Hael Husaini (Juara Lagu 32 – Jampi & Juara Lagu 33 – Haram); dan Naim Daniel (Juara Lagu 34 – Sumpah) yang akan membimbing seorang penyanyi senior dan seorang bintang baharu untuk menjayakan acara mingguan yang bertemakan #playlistAJL.

    Selain itu, tiga peserta yang terpilih pula terdiri daripada Shaz (Shazreen Shaharum, 26), Aqmal (Aqmal Ramdan, 26) dan Aqeesh (Aqeesh Aleeya, 18). Mereka terpilih daripada 380 orang calon menerusi uji bakat yang berlangsung pada 2 dan 3 Julai lalu.

    Persembahan terbaik mingguan akan diumumkan dalam segmen Terpaling Padu Minggu Ini. Pemenang ditentukan dengan 70% markah daripada juri tetap Datuk Hattan dan Fauziah Latiff serta 30% daripada undian atas talian di www.xtra.com.my/terpalingjuara.

    Program ini juga bertujuan mengangkat kembali lagu – lagu popular AJL yang sudah pasti akan menggamit nostalgia penonton Terpaling Juara.

    Disamping itu, Nurhul Huda Haji Khalid, penerbit eksekutif kanan, Ikha Arnisya Mohd Anuar, penerbit eksekutif, dan Azrul Effendi Abdullah, penerbit, mengetuai sesi produksi Terpaling Juara sepanjang program ini ditayangkan.

    Pemenang Terpaling Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000, manakala naib juara bakal memenangi RM50,000 dan pemenang ketiga pula menerima RM30,000.

    Program Terpaling Juara ditaja oleh vivo Malaysia, Nivea, Hot FM sebagai rakan penyiaran rasmi, Berita Harian dan Harian Metro sebagai rakan media utama, dan Xtra dan Oh Bulan! sebagai rakan kongsi digital.

    Gunakan tanda pagar #TerpalingJuara dan #PlaylistAJL untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.