Tag: #tv9malaysia

  • PERADUAN JANJI HAPPY

    TV9 telah merancang Peraduan Janji Bahagia yang unik untuk penonton setianya berkaitan dengan memperingati filem-filem cemerlang sepanjang bulan September. Jangan lepaskan peluang ini kerana TV9 mengadakan peraduan yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan menyediakan hadiah wang tunai sehingga RM 9,000.

    Peraduan Janji Happy ini telah pun berlangsung sejak 1 September 2023 yang lalu. Namun, jangan risau kerana anda masih berpeluang untuk menang! Caranya amat mudah, anda hanya perlu menonton Buletin TV9 dan filem-filem hebat di TV9 bermula pada pukul 8.30 malam setiap hari sepanjang September ini. Bagi rancangan yang disiarkan sehingga 17 September 2023 ini, penonton perlu mengira jumlah logo Janji Happy yang muncul di sebelah kiri skrin televisyen anda serta lengkapkan slogan yang telah diberikan.

    Manakala, bagi rancangan yang bermula dari 18 September hingga 30 September 2023, penonton hanya perlu menjawab dua soalan mudah dari rancangan tersebut. Pastikan anda berada di hadapan kaca televisyen kerana dua soalan tersebut akan dipaparkan pada awal dan pertengahan ketika filem tersebut berlangsung. Jawapan yang anda berikan hendaklah disertakan dengan slogan yang telah dilengkapkan.

    Kemudian, penonton harus menghantar jawapan mereka sebelum 12.00 tengah malam pada hari tersebut di laman rasmi media sosial TV9, Instagram atau Facebook. Setakat ini, TV9 telah menerima hampir 4000 penyertaan dan 7 orang pemenang telah berjaya membawa pulang RM500. Para pemenang akan dipilih berdasarkan jawapan yang tepat beserta dengan slogan yang paling kreatif. Pengumuman pemenang pula akan diumumkan pada hari seterusnya di laman media sosial yang sama. Jadi adakah anda sudah bersedia? Kunci masa anda dan sertai Peraduan Janji Happy ini kerana anda mungkin antara pemenang bertuah yang berjaya membawa pulang hadiah sebanyak RM500!

    Saksikan filem menarik di TV9 seperti The Fast & The Furious, The Karate Kid, Misteri Delaila, Wan Embong, Raju Chacha, Sabar Tak Sabar, Love Supermoon, Insan Terpilih dan Auta menerusi slot Kuasa 3 Malam, Skrin Di 9 dan Wayang Hujung Minggu.

    Jika anda ingin mengetahui maklumat yang lebih lanjut tentang Peraduan Janji Happy, sila layari www.xtra.com.my/peraduanjanjihappy/ dan ikuti media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV9Malaysia serta TikTok @TV9MalaysiaOfficial untuk maklumat yang terkini tentang program TV9.

  • KELAS KUIH MALAYSIA DIRAIKAN BERSAMA-SAMA RAGAM SI CILIK

    Dengan mencipta rangkaian kuih muih yang melambangkan kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia, TV9 memupuk semangat kekitaan dalam kalangan penonton cilik menerusi Kelas Kuih Malaysia bersama Jaguh Kartun TV9 sepertimana peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

     

    Program ini menyemarakkan lagi kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Media Prima Berhad yang bertemakan Manis Pahit Bersama. 10 penonton cilik bertuah berusia antara 6 hingga 12 tahun terpilih untuk menyertai Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9 yang telah berlangsung pada hari ini di Sarang Cookery, Bukit Bintang, Kuala Lumpur dari pukul 9.00 pagi hingga 2.00 petang. 

     

    Menurut Puan Khairunnisa Kamarulzaman, Pengurus Besar Pengurusan Program dan Penyiaran TV9, “Bersempena dengan bulan kebangsaan yang bakal tiba, Jaguh Kartun TV9 ingin membawa adik-adik belajar membuat kuih-muih tradisi Malaysia. Ia bertujuan memberi pendedahan kepada generasi baharu tentang aneka juadah dari pelbagai kaum Malaysia yang menjadi satu identiti dan keunikan yang tidak terdapat di negara lain.”

    “Dengan perubahan arus kemodenan yang pantas, pengaruh makanan tradisi ini semakin kurang dek pendedahan makanan barat yang lebih terjurus kepada “viral” atau “trendy” yang perlahan-lahan mengikis keaslian makanan tradisi di negara kita. Justeru, keunikan makanan tradisi ini perlu diberi pendedahan yang optimum bagi memupuk semangat patriotisme atau semangat cintakan negara, serta tidak lupa tentang keaslian makanan tradisi kita,” tambah beliau lagi.

     

    Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9 yang berlangsung selama lima jam ini menyaksikan pelbagai kerenah adik-adik cilik yang amat teruja untuk belajar membuat kuih!  Walaupun dipantau oleh cef berpengalaman yang sabar melayan kerenah adik-adik, mereka tidak gagal menunjukkan ragam mereka yang sangat menghiburkan. 

     

    Dengan bimbingan cef yang berpengalaman, adik-adik ini telah mengasah kemahiran kulinari mereka dalam membuat tiga jenis kuih tradisional iaitu kuih ketayap, kuih angku dan putu mayam. Tiga menu kuih muih ini melambangkan kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia. 

     

    Keterujaan adik-adik ini dalam belajar dan mengenali kuih muih tradisi Malaysia bukan saja dapat memupuk minat mereka dalam bidang kulinari, malah ia juga boleh mengukuhkan jati diri kenegaraan dalam membina masyarakat madani.

    Pemilihan peserta Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9 telah diadakan menerusi penghantaran rakaman video tidak melebihi 30 saat yang bermula dengan, “Saya ingin belajar buat kuih tradisi Malaysia sempena Hari Kebangsaan ini kerana…”. TV9 telah menerima lebih daripada 40 penyertaan dalam tempoh peraduan yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 12 Ogos 2023. Hanya 10 penonton cilik dalam lingkungan umur  6 hingga 12 tahun ini telah dipilih berdasarkan jawapan mereka yang memberangsangkan! 

     

    Ingin mengetahui perkembangan TV9 dengan lebih lanjut? Ayuh ikuti media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV9Malaysia serta TikTok @TV9MalaysiaOfficial dan layari http://www.xtra.com.my/ untuk maklumat lanjut terkini tentang program TV9.