TEKNOLOGI PEMBUNGKUSAN MAKANAN SECARA RETORT (TDS) MEMBERI MANFAAT KEPADA GOLONGAN SASAR

Sebagai rakan strategik utama (RSU) Food Bank Malaysia, YB Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, hari ini merasmikan SnapGo Technologies Sdn. Bhd. Bilik Pertunjukan. Inisiatif ini akan membantu rakyat Malaysia MADANI, khususnya mereka yang memerlukan.

Seiring dengan Inisiatif Payung RAHMAH yang diterajui oleh KPDN, Program Food Bank Malaysia (PFBM) terus digerakkan bagi membantu Kerajaan dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat. Sehingga kini, terdapat 48 penyumbang yang aktif membantu menggerakkan PFBM di seluruh negara termasuk pasaraya dan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan(NGO). Untuk Program Food Bank Siswa yang dilaksanakan sehingga 31 Julai 2023, seramai 82,488 mahasiswa telah mendapat manfaat daripada program yang digerakkan di 30 buah Institut Pengajian Tinggi(IPT). Melalui Akta Perlindungan Penderma Makanan 2020 yang telah diwartakan pada 13 Mac 2020, ianya dapat menggalakkan sumbangan makanan kepada golongan yang memerlukan dengan meredakan kebimbangan pihak penderma, terutamanya pihak industri terhadapa risiko yang akan dihadapi.

Kementerian telah melakukan pelbagai usaha untuk menggerakkan lagi PFBM dengan lebih berkesan dalam membantu lebih ramai golongan yang memerlukan. Antara usaha yang dilakukan adalah pelaksanaan teknologi pembungkusan makanan secara retort di mana inisiatif ini dibantu oleh salah satu pemain industri yang memberikan sokongan kepada PFBM iaitu SnapGo Technologies Sdn. Bhd.

KPDN amat berbesar hati untuk menjalinkan kerjsama bersama SnapGo Technologies Sdn Bhd dalam menghasilkan makanan retort yang berkualiti. Sehingga 31 Julai 2023, Kementerian telah berjaya menempatkan empat belas (14) buah mesin retort di lokasi yang melibatkan sektor perhotelan, katering dan sektor pertanian.

Pihak SnapGo Technologies Sdn. Bhd telah bekerja keras dalam Research & Development (R&D) untuk menghasilkan produk terbaru iaitu Self Heat Ready-To-Eat (SHRTE) yang boleh dimakan di mana-mana sahaja oleh pelbagai lapisan umur dan boleh bertahan bagi tempoh 18 sehingga 24 bulan serta boleh disimpan dalam suhu bilik tanpa perubahan rasa, rupa dan nutriennya.

Dalam masa yang sama, produk ini juga amat sesuai bagi semua keadaan terutamanya dalam usaha memberi bantuan dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan pada waktu kecemasan dan semasa menghadapi bencana. Sebagai contoh, mangsa banjir akan mendapatkan bekalan makanan terlebih dahulu sementara menunggu bantuan yang lain tiba melalui pengagihan makanan retort yang bersifat ready-to-eat. Secara tidak langsung usaha ini akan membantu Kerajaan untuk menjimatkan masa semasa memberikan bantuan segera dan selamat untuk semua lokasi di kawasan bencana banjir.

Kementerian akan terus komited untuk mengembangkan lagi inisiatif teknologi pembungkusan secara retort ini agar terus dikenali dan akan lebih ramai lagi pihak yang tampil untuk ke hadapan dan bersama-sama Kerajaan dalam usaha mengurangkan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat khususnya golongan yang memerlukan.Pihak Kementerian juga berhadap lebih ramai pihak industri, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan dapat bersama Kementerian dalam menjayakan inisiatif Program Food Bank Malaysia (PFBM) dan Inisiatif Payung RAHMAH.

Kementerian mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang giat aktif membantu Kementerian dalam membantu golongan sasar. KPDN juga amat mengalu-alukan kerjasama daripada syarikat-syarikat, organisasi-organisasi dan orang perseorangan sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat dalam membantu golongan yang memerlukan khususnya mangsa bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Food Bank Malaysia (SFBM) di talian hotline 03-88825860/6960.

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k