TERBAHARU DI TV9, AKU SEORANG PEREMPUAN INSPIRASI DARIPADA NOVEL BIOGRAFI SITI NORDIANA

Biarpun semakin meningkat naik dalam perniagaan hiburan, dia berdepan pelbagai cabaran apabila mengambil keputusan untuk menumpukan perhatian kepada keluarga selepas berkahwin. Novel biografi YH Dato’ Tengku Khalidah Binti Tengku Bidin Siti Nordiana menjadi inspirasi kepada drama bersiri 13 episod Aku Seorang Perempuan yang akan ditayangkan di TV9 pada 19 November ini dan bersiaran setiap Sabtu dan Ahad jam 7.30 malam.

Drama bersiri 13 episod ini merupakan arahan oleh Hashim Rejab, terbitan Brotherhood Studio dan Inisiatif Seni Kreatif serta menampilkan pelakon-pelakon popular tanah air seperti Atikah Suhaime, Fezrul Khan, Adriana Adnan, Hafidz Roshdi, Hasnul Rahmat, Aleza Shadan dan ramai lagi.

Aku Seorang Perempuan mengisahkan tentang Siti Nor Aisya (Atikah Suhaime), seorang penyanyi muda yang sedang mengecapi populariti dan mempunyai ramai peminat yang menjadi sokongan kuat dalam kerjayanya. Siti Nor Aisya bertemu cinta dengan seorang pelakon popular, Fareez (Fezrul Khan). Mereka berdua berkahwin atas dasar cinta. Bagi Siti Nor Aisya, dia sanggup mengorbankan kerjayanya yang sedang berada di puncak kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada rumah tangga.

Adriana (Adriana Adnan) ialah seorang pelakon yang berkawan baik dengan Fareez. Adriana mempunyai masalah dengan kekasihnya, dan sering menemui Fareez untuk meluahkan masalah. Hubungan mereka menjadi semakin akrab dan ia mula menimbulkan rasa tidak senang dalam hati Siti Nor Aisya. Mahligai cinta yang dibina mula goyah dan diduga. Akhirnya, Siti Nor Aisya diceraikan ketika anak mereka masih kecil. Dalam saat dia perlu bangkit dan mencari kekuatan untuk menyara anak kecilnya, Siti Nor Aisya diuji lagi dengan kehilangan teman baik sejak kecil iaitu Hakim (Hafidz Roshdi) yang juga teman seperjuangannya dalam bidang nyanyian. Bagaimanakah Siti Nor Aisya mencari kekuatan dalam hidupnya untuk terus berjuang?

Siti Nordiana juga berkongsi tentang perasaan beliau apabila biografi menjadi inspirasi untuk penerbitan drama Aku Seorang Perempuan. “Drama Aku Seorang Perempuan tidak semua tentang kisah hidup Nana, bukanlah 100 peratus diterjemahkan. Namun, jalur kerjaya dalam drama ini memang berkisarkan kerjaya Nana secara lebih mendalam dari zaman kanak-kanak, persekolahan hingga bergelar penyanyi. Apabila kisah digarap sebagai biografi oleh penulisan Dato’ Tengku Khalidah yang Nana panggil sebagai Kak Long, kebanyakkanya menceritakan tentang rahsia kehidupan Nana dari kecil sehingga sekarang. Nana berharap agar perkongsian ini dapat menjadi semangat dan panduan untuk wanita-wanita lain dalam meniti arus kehidupan yang penuh mencabar ini,” kata Siti Nordiana.

Pastikan anda terus menonton drama bersiri Aku Seorang Perempuan, inspirasi daripada novel biografi Siti Nordiana pada setiap hari Sabtu dan Ahad, pukul 7.30 malam di TV9.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV9, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV9Malaysia.  Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat untuk info terkini tentang drama kegemaran anda.

CATEGORIES
Share This