Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah Beri Impak Besar kepada Murid

Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah Beri Impak Besar kepada Murid

Program Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah bersama SAFI Shayla yang berlangsung di SMK Convent (M) Kajang dan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya pada 18 dan 27 Februari 2025 telah membawa pengalaman luar biasa kepada lebih 1,000 murid. Dengan kehadiran selebriti popular serta pelbagai aktiviti interaktif, program ini bukan sahaja menyeronokkan, malah turut memberi inspirasi serta meningkatkan keyakinan diri mereka.

Kolaborasi antara TV3, Tonton, DIDIKTV KPM dan SAFI Shayla menjadikan program ini lebih bermakna. Murid-murid bukan sahaja dapat bertemu dan berinteraksi dengan selebriti kegemaran mereka, malah turut mempelajari pelbagai perkara baharu. Dari aspek pembentukan keyakinan diri hingga kepada kemahiran komunikasi, semuanya diterapkan melalui aktiviti menarik.

Kehadiran selebriti seperti Malia Baby, Imran Aqil, Nabil Aqil, Aizat Saha, Muaz Zabir, Syahir Shafein, Anim Ezati, Zarif Ghazzi, Sharul Kamal, Fitri Farok, Hakimi Noordin, Shah Sulaiman (Tapau) dan Nisa Kay menambahkan lagi kemeriahan program ini. Mereka berkongsi pengalaman mereka dalam industri hiburan serta memberikan kata-kata semangat kepada murid-murid agar terus berusaha mencapai impian mereka.

Selain sesi perkongsian ilmu, program ini turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif seperti Cergas+, LED Q&A, Uji Bakat Drama, Uji Bakat Berita, Mix & Match dan Tic Tac Toe. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menguji keberanian murid, tetapi juga membantu mereka dalam aspek kreativiti dan komunikasi.

Bagi mengiktiraf penyertaan mereka, anugerah seperti “Terpaling Sporting”, “Terpaling Heboh”, “Terpaling Drama”, “Terpaling Girl Power” dan “Rambut Hijab Terpaling Slay” diberikan kepada peserta yang paling menonjol. Selain itu, setiap murid menerima sijil penghargaan manakala pihak sekolah diberikan plak sebagai tanda penghargaan daripada pihak penganjur.

SAFI Shayla turut memainkan peranan dalam menyampaikan ilmu mengenai penjagaan rambut kepada murid-murid hijabi menerusi inisiatif “Sis Shay, Inspirasi Hijabi”. Murid-murid didedahkan kepada kepentingan menjaga rambut dengan baik untuk meningkatkan keyakinan diri mereka dalam kehidupan seharian.

Maklum balas daripada murid dan guru amat positif. Ramai murid menyatakan bahawa mereka lebih berani dan yakin selepas menyertai program ini, manakala guru-guru melihatnya sebagai satu inisiatif berharga yang memberi impak besar kepada murid.

Menurut Puan Farah Shamsudin, Pengarah Pemasaran Kreatif dan Komunikasi, Rangkaian Televisyen Media Prima, kejayaan program ini menjadi dorongan untuk meneruskannya di lebih banyak sekolah. “Kami mahu terus memberikan impak positif kepada lebih ramai murid dan membantu mereka mengenali potensi diri mereka dengan lebih baik,” katanya.

Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah bersama SAFI Shayla bukan sekadar program biasa, tetapi satu platform yang dapat membantu generasi muda membina keyakinan, mengasah bakat serta mencapai impian mereka dengan lebih yakin.


 

CATEGORIES
TAGS
Share This