TV3: DAPATKAH CAHAYA KEBENARAN MENERANGI MALAM ZULAIKHA?

Kejahilan manusia apabila mengikat kontrak dengan jin tidak memastikan mereka akan merasai kenikmatan hidup yang diidamkan. Adakah Zulaikha bersedia untuk menangani keraguan yang akan timbul tentang dirinya dan kemudian mengikutinya ke dalam kehidupan orang yang dia cintai?

Terbaharu di slot Samarinda TV3, Malam Zulaikha menceritakan tentang kehidupan Zulaikha yang berubah kerana pendamping yang hadir akibat perjanjian yang dibuat oleh ibunya. Bagi merungkai misteri pendamping tersebut, Zulaikha telah pulang ke kampung untuk mencari segala jawapan.

Malam Zulaikha menampilkan pasangan suami isteri Adam Lee dan Sweet Qismina sebagai tunjang utama dalam drama bersiri 15 episod terbitan Tanah Beris Film Production dan arahan daripada Shuhaimi Lua. Bakal disiarkan di slot Samarinda mulai 8 Jun 2023, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di TV3 dan strim langsung secara HD di www.tonton.com.my, Malam Zulaikha turut menampilkan barisan pelakon berpengalaman seperti Vanidah Imran, Amyza Aznan, Maria Farida, Ku Faridah, Fiza Thomas, Syahmie Thsaqeef dan ramai lagi.

Zulaikha (Sweet Qismina), seorang pelajar tahun akhir di sebuah kolej sering mengalami gangguan mistik sejak usianya menginjak 20 tahun. Pelbagai perkara aneh yang berlaku sehingga membuatkan Zulaikha menjadi seorang yang pesimis dan suka menyendiri. Dek kerana semakin hilang arah dengan kehidupan, Zulaikha terpaksa mencari jalan untuk melepaskan diri daripada gangguan misteri yang dihadapinya.

Setelah mengetahui keadaan Zulaikha, Izmir (Adam Lee) telah membawa Zulaikha untuk bertemu bapanya yang merupakan seorang pakar dalam ilmu perubatan Islam. Zulaikha dikatakan didampingi saka dan dinasihatkan untuk pulang ke kampung bagi mengungkap kebenaran di sebalik saka yang mengikutinya itu. Walau bagaimanapun, lebih banyak persoalan yang timbul apabila dia cuba untuk mendapatkan kehidupannya yang dahulu.

Lebih bingung lagi apabila ibu Zulaikha, Suria (Amyza Aznan) telah meninggal dunia secara misteri sebelum dia sempat menceritakan rahsia pendamping itu. Apakah misteri di sebalik pendamping yang mengikuti Zulaikha? Apakah pengakhiran kepada kisah Zulaikha yang sedang mencari jawapan tentang gangguan misteri tersebut?

Segala misteri bakal terjawab di dalam Malam Zulaikha menerusi slot Samarinda TV3 mulai 8 Jun 2023, setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 10.00 malam dan strim langsung secara HD di www.tonton.com.my

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k