UCAPAN TAKZIAH OLEH PPIM, SYARIKAT GIG-EKONOMI PERLU WAJIBKAN CARUMAN PERKESO

Pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) telah terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, PPIM mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan nahas tersebut.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata kejadian malang itu amat mengejutkan  seluruh Malaysia dan pihaknya mendoakan semoga kesemua ahli keluarga dan sahabat  mangsa tabah menghadapi dugaan ini. 

Nadzim dalam satu kenyataan berkata sudah tiba masanya semua pekerja dalan sektor gig  ekonomi seperti penghantar makanan diwajibkan mencarum dengan program Skim  Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial  (Perkeso). 

“Dalam kita bersedih dengan kejadian yang menimpa saudara Islam kita, saya bersimpati  dan sedih mengenang nasib keluarga mereka yang ditinggalkan,” katanya. 

Walaupun semua pemandu dan penunggang e-hailing sebelum ini diwajibkan mencarum  dengan SKSPS, pihaknya dimaklumkan mangsa yang terlibat di dalam kejadian semalam  tidak mencarum. 

“Semua pihak harus lebih proaktif dalam memastikan semua rakyat Malaysia yang bekerja  di dalam sektor apa sekalipun mencarum dengan Perkeso untuk perlindungan mereka,”  katanya. 

Nadzim berkata pihaknya mahu Perkeso lebih tegas dengan majikan atau penyedia  perkhidmatan sektor ekonomi gig atau lejang untuk memastikan semua pekerja mereka  sentiasa dilindungi.

“Jika mereka hanya pekerja separuh masa, pastikan sedikit wang hasil pendapatan  dicarumkan walaupun RM2 bagi memastikan nasib mereka terbela jika berlaku apa-apa  musibah,” katanya. 

Khamis lalu, penghantar makanan dalam talian, Foodpanda Allahyarham Muhamad Hafiz  Muhamad Salleh terkorban dalam nahas pesawat ringan di Lebuhraya Guthrie berdekatan  Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor. 

Seorang lagi mangsa, pemandu e-hailing Sharipuddin Shaari turut terkorban dalam tragedi  sama. 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sepuluh mangsa maut termasuk dua  daripadanya membabitkan orang awam yang secara kebetulan melalui lokasi nahas  berkenaan dalam kejadian pada pukul 2.40 petang Khamis. 

Selain Muhamad Hafiz, nahas pesawat jenis Beechcraft 390 (Premier 1) itu turut  mengorbankan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun. 

Pesawat jenis jet peribadi yang dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd itu dilaporkan berlepas  dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang. 

Ia kemudiannya, mendapat kebenaran untuk mendarat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz  Shah, di Subang namun terhempas tiga minit sebelum mendarat. 

Sebarang pertanyaan, hubungi Hotline Unit Media PPIM di talian +60136116666 (Adi). 

CATEGORIES
TAGS
2.7k
Whatsapp40.8k