[Video] Usain Bolt tunjuk cara penjarakan sosial
WASHINGTON: Bekas bintang trek Usain Bolt membuktikan dia masih beberapa langkah di hadapan apabila memuat naik gambarnya mendahului pesaing-pesaing dengan keterangan gambar: ‘penjarakan sosial”.
Status bersama gambar yang diambil jurugambar AFP, Nicola Asfouri ketika final 100m Olimpik 2008 itu, mendapat lebih setengah juta tanda suka dan ditwit semula sebanyak 90,000 kali di media sosial.
Dalam final berkenaan, pelari Jamaica itu melintasi garisan penamat di stadium nasional Beijing dengan catatan baharu rekod dunia ketika itu, 9.69 saat, sambil melihat ke arah pesaingnya yang jauh ketinggalan di belakang.
Bolt turut memenangi acara 200m yang juga memecahkan rekod dunia sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai legenda trek dunia.
Dia bersara pada tahun 2017 dengan lapan pingat emas Olimpik dan rekod 100m pada 9.58 saat yang dicatat pada tahun 2009.
Selepas bersara daripada olahraga, Bolt, peminat tegar Manchester United, cuba memulakan karier bola sepak dan pernah diuji kelab Australia Central Coast Mariners tetapi tidak berjaya mendapatkan kontrak.
Bolt, 33, turut menyeru rakyat Jamaica untuk mengasingkan diri sepanjang pandemik COVID-19 dengan memuat naik videonya menimang bola bersama rakan. – AFP
.