WMOTO SX2-300 dan MOTOMORINI X-CAPE 650X akan Menunjukkan Prestasinya di Rimba Raid Taman Negara 2023!
KUALA LUMPUR (24 OGOS 2023) – KL Bike Show 2023 telah menjadi saksi kepada satu sidang media khas yang berprestij, yang mengungkapkan penyertaan berapi-berapi Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. (Mforce) dalam edisi tahun ini Rimba Raid Taman Negara 2023. Dalam acara bersejarah ini, Mforce dengan bangga mengumumkan bahawa mereka akan menampilkan dua model motosikal terunggul mereka, iaitu WMOTO SX2-300 dan Moto Morini X-Cape 650X, dalam cabaran yang bakal memukau peminat motosikal Malaysia.
Sebagai sorakan penuh semangat, tahun ini Moto Morini X-Cape 650X akan kembali diuji oleh pelumba terkenal, Muhamad Nazmee bin Ramlee, sementara WMOTO SX2-300 akan dipacu oleh Muhamad Amirul bin Ramlee, membawa elemen saudara kembar ke dalam acara ini. Rimba Raid Taman Negara 2023 akan menjadi medan ujian sebenar, bermula dari 31 Ogos hingga 3 September 2023. Kita semua menantikan persembahan cemerlang daripada pasukan Mforce dan semoga mereka mencapai kejayaan di dalam perlumbaan yang bergengsi ini.
Tahun lepas, WMOTO SX2-300 berjaya meraih tempat ketujuh keseluruhan bagi kategori C manakala Moto Morini X-Cape 650X menamatkan perlumbaan dengan kedudukan yang mengagumkan, iaitu tempat ke-15 keseluruhan atau pelumba Malaysia yang ketiga untuk kategori B. Kejayaan ini membuktikan bahawa Moto Morini dan WMOTO adalah antara jenama yang perlu digeruni oleh pelumba yang lain kerana kemampuan jenama ini menamatkan perlumbaan. Pencapaian ini bukan sahaja menonjolkan keupayaan teknikal motosikal, tetapi juga menunjukkan kecekapan dan ketahanan para pelumba mengharungi segala cabaran yang disediakan oleh pihak penganjur.
Walaupun mendapat keputusan yang memberangsangkan, Mforce tidak akan terus selesa malah bakal menggunakan strategi baharu untuk memastikan kedua-dua model yang dipertandingkan ini bakal meraih tempat di podium. Tambahan pula, para pelumba ini dijangka bakal menghadapi laluan perlumbaan yang lebih mencabar dan panjang iaitu lebih kurang 250km berbanding tahun lepas yang cuma 150km sahaja. Oleh itu, perancangan yang lebih teliti perlu dilakukan untuk memastikan kejayaan berada di pihak Mforce.
Sidang media pada hari ini jugak menyaksikan termeterainya perjanjian di antara dua pihak di mana pelumba WMOTO SX2-300, Muhamad Amirul bin Ramli menandatangi perjanjian tersebut dan ditandatangani oleh Encik Asri Ahmad, Ketua Pegawai Operasi Mforce. Manakala untuk Moto Morini,pelumba Muhamad Nazmee bin Amirul menandatangi perjanjian bersama dengan Pengarah Jabatan Jualan Antarabangsa Moto Morini iaitu Ethan.
Keadaan geografi laluan yang begitu mencabar dan jarak perlumbaan sepanjang 200km, tidak dapat dinafikan bahawa ia menguji kecekapan, mentaliti, dan ketahanan pelumba, serta menuntut jentera perlumbaan yang terbaik untuk melengkapkan perlumbaan tersebut. Langkah Mforce untuk terus mengkaji dan mempertingkatkan strategi yang digunakan dalam acara Rimba Raid ini adalah wajar. Pengalaman dari perlumbaan lepas akan memberi adalah sangat berharga untuk pihak Mforce menilai semula tentang kekuatan dan kelemahan, serta membantu dalam penyempurnaan prestasi motosikal- motosikal tersebut semasa perlumbaan. Pihak Mforce mengucapkan semoga berjaya kepada Muhamad Nazmee bin Ramli dan Muhamad Amirul bin Ramli.