SHILA AMZAH- JAUH HATI
Ia tidak perlu untuk memperkenalkan orang yang menakjubkan ini dengan nama. Ia adalah jalan yang sukar baginya sebagai seorang artis. Dia dapat mewujudkan dirinya sebagai individu yang unik bermula pada tahun-tahun awalnya. Populariti Shila Amzah meningkat selepas dia dan lagu kumpulan SOG “Pelukan Angkasa” memenangi “Anugerah Juara Lagu” ke-36 (AJL36).
Malah, pembabitannya dalam program ‘The Masked Singer Malaysia’ musim kedua yang turut menobatkan Shila sebagai juara membuktikan semangat juang anak kepada penyanyi legenda, ND Lala ini tidak pernah luntur.
Sekali lagi, Shila, 32, atau nama sebenarnya NurShahila Amir Amzah tidak mensia-siakan peluang diberikan untuk menyertai program ‘Gegar Vaganza’ musim kesembilan (GV9). Biarpun sekadar menduduki tempat ketiga, ia sudah cukup untuk meyakinkan peminat bahawa dirinya adalah seorang penyanyi yang hebat dan versatil.
Tanpa mahu menunggu lama, Shila yang popular menerusi lagu “Khilaf Asmara”, “Tiada Dirimu”, “Tentang Rahsia” dan “Patah Seribu” muncul dengan singla terbaharu berjudul “Jauh Hati” yang dilancarkan secara rasmi pada 9 Disember lalu.
Menariknya, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Shila itu menceritakan mengenai kisah hidup yang dilalui.
“Lagu ini mengisahkan tentang seseorang dalam suatu perhubungan yang cuba untuk mempertahankannya sedaya upaya. Dia berada dalam dilema samaada perlu kekal setia dalam perhubungan tersebut sedangkan dirinya berasa seperti tidak dihargai. Akhirnya, dia ambil keputusan untuk membawa diri. Dia pun Jauh Hati lantas terus meninggalkan perhubungan itu.
“Kalau diamati dari segi lirik lagu ini, saya tidak nafikan ia menceritakan mengenai kisah hidup saya. Walaupun saya dah tulis lagu ni kira agak lama, ia mengisahkan kisah peribadi saya pada ketika itu. Tapi sekarang, saya masih tetap juga boleh rasa keperitannya.
“Kalau nak tahu macam mana saya boleh dapat ‘mood’ untuk menyanyikan lagu ni, apa yang boleh dikatakan ia begitu sukar dalam studio. Malah, proses penggambaran video muzik lagu ni pun menjadi satu cabaran yang besar,” katanya.
Menurut Shila, cabaran terbesar ketika merakamkan lagu “Jauh Hati” ialah menahan diri daripada tidak menangis.
“Cabaran saya ketika merakamkan lagu ini adalah untuk tidak menangis dan pada masa yang sama mengawal baik lontaran suara saya. Saya bertuah kerana ketika merakamkan lagu ini, saya dikelilingi kawan baik saya iaitu Amylea Azizan. Dia ada di studio untuk menjaga vokal saya dan yang lebih istimewa lagi dia juga bertindak sebagai pengarah muzik video Jauh Hati.
“Walaupun lagu ini ditulis sepenuhnya oleh saya, semangat persahabatan kami masih kekal utuh. Alhamdulillah, untuk lagu sendiri ini, cabaran itu diselangi dengan kesenangan apatah lagi dengan adanya ‘strong support system’,” katanya.
Berkongsi lanjut, Shila berkata, idea menghasilkan lagu “Jauh Hati” yang bergenre balada itu datang secara semula jadi.
“Sejujurnya, bila saya menghasilkan lagu seperti ini, idea yang datang itu lahir semula jadi. Sebenarnya, saya menulis lagu ini pada 11 November tahun lalu. Kalau ditanya susah atau tidak, jawapannya tidak.
“Dalam masa sama, ketika menghasilkan lagu ini, saya tak fikir pun lagu dalam genre apa sebab bila saya tulis sesebuah lagu, memang saya hanya ikut ‘flow’ saja. Tidak ada spesifik sebab untuk saya tulis sesebuah lagu. Cuma, ada juga lagu yang telah saya tulis dalam genre lain tapi belum dikeluarkan lagi,” katanya.
Dalam masa sama, Shila mengakui sepanjang tahun ini banyak momen indah dilalui membabitkan kerjaya seninya.
“Alhamdulillah, kerjaya seni sepanjang tahun ini penuh dengan kejutan dan pencapaian. Saya melalui detik liku yang sangat luarbiasa. Selepas bercerai, saya muncul juara ‘The Masked Singer Malaysia’ musim kedua, Juara Lagu dengan SOG, tempat ketiga GV9 dan menjadi juri program ‘All Together Now’ musim kedua. Kemudian, lagu duet bersama kak Liza Hanim iaitu Bahagiakan Dia dapat mara ke pentas AJL37 dan akhirnya dapat melancarkan lagu Jauh Hati ini.
“Kiranya kalau nak ‘recap’ tahun 2022 ini, memang penuh warna-warni. Alhamdulillah, saya kira ini juga kemunculan semula saya yang terbesar selepas sekian lama dan harap ia dapat mengubati rindu ramai peminat yang lama menantikan lagu terbaru daripada saya.
“Saya memang dah lama tidak melancarkan lagu ciptaan sendiri. Jadi, Jauh Hati ini adalah karya terbaru ciptaan saya sendiri. Saya harap ia akan diterima ramai dan menjadi sebuah lagu yang akan didengari ketika mana pendengar mungkin memerlukan sebuah lagu untuk melepaskan emosi mereka dan menangis. Selepas mendengar lagu ini, kita semua akan merasa lebih baik dan lega saja. Itulah yang saya harapkan daripada lagu ini,” mengakhiri kata.
Single “Jauh Hati” terbitan Nova Music kini boleh distrim di semua pelantar muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Joox. Video music rasmi “Jauh Hati’ juga boleh mula ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada 16hb. Disember jam 3.00 petang. https://youtube.com/watch?v=-lVoFgPDeYg&feature=shares