Program ‘Sirih Pulang ke Gagang’ Memupuk Kesejahteraan Komuniti Vokasional
Pusat alumni di institut pengajian menegaskan betapa pentingnya sumbangan bekas pelajar kepada pusat pengajian. Program Alumni ‘Sirih Pulang ke Gagang’ 2024 SMV/SMT/KV ERT Setapak Kuala Lumpur dianjurkan oleh pentadbir pusat alumni Kolej Vokasional ERT Setapak, bertujuan menyatukan bekas pelajar dalam mendukung kesejahteraan komuniti vokasional dengan lebih baik.
Program ini merupakan acara pertama kali diadakan di perkarangan Kolej Vokasional Setapak Kuala Lumpur dan berhasil mengumpulkan 45 batch alumni dari tahun 1975 hingga 2023, dengan kehadiran seramai 400 orang. Turut hadir adalah Pengarah Kolej Vokasional ERT Setapak, Puan Hajjah Majmin Md. Noor, Dato’ Zainuri (Pengasas Nurizz Kosmetik dan Pengerusi Alumni), serta Rasta Rashid (Pengasas Rasta Creation).
Majlis ini diatur untuk mengeratkan silaturahim di kalangan bekas pelajar sambil mengenang memori dan melanjutkan warisan di mana alumni dapat memberi inspirasi kepada masyarakat. Alumni SMV/SMT/KV telah menghasilkan banyak tokoh korporat dan figura terkenal dari seluruh Malaysia, seperti pereka fesyen selebriti, model antarabangsa, pensyarah terkemuka, chef di hotel berbintang, pemilik kosmetik terkenal, artis mekap terkenal, serta pengarah-pengarah syarikat bumiputra dan korporat.
Idea untuk mengadakan program Sirih Pulang ke Gagang ini adalah inisiatif dari Pengarah Kolej Vokasional ERT Setapak, Puan Hajjah Majmin Md. Noor. “Selain mengumpulkan bekas pelajar, kami juga sedang mengumpul dana untuk memperbaiki perpustakaan sekolah vokasional. Jika ada kelebihan dana, ia akan digunakan untuk keperluan lain di sekolah,” jelas Rasta Rashid.
“Kami memilih untuk tidak mengadakan program ini di hotel karena tidak semua dapat menanggung biaya yang tinggi. Dengan menggunakan dewan di Kolej Vokasional, kos dapat diminimakan sambil menyediakan semua kemudahan yang diperlukan,” tambahnya.
Menurut Dato’ Zainuri, tujuan program ini adalah untuk menghimpun bekas pelajar yang telah berjaya. “Kami ingin menunjukkan bahawa bekas pelajar vokasional mampu mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka. Saya sendiri, semasa wabak Covid-19, tidak menghadapi kesukaran hidup kerana kemahiran memasak saya membolehkan saya untuk menjana pendapatan dan hidup dengan selesa,” katanya.
Untuk perancangan masa hadapan, Dato’ Zainuri berharap untuk menubuhkan Persatuan Anak-Anak TVET di Malaysia. Harga tiket untuk menyertai program ini adalah RM100 seorang.