
Malaysia-Vietnam Perkukuh Jaringan Pelancongan Serantau Menerusi MoU MATA & Da Nang Tourism Association
Dalam langkah strategik memperkukuh jaringan pelancongan serantau, Malaysia Tourism Agency Association (MATA) dan Da Nang Tourism Association (DATA) hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Persidangan ASEAN Connect yang berlangsung di Da Nang, Vietnam.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung penuh simbolik ini turut disaksikan oleh para kenamaan dan delegasi dari negara-negara ASEAN. Ia mencerminkan komitmen bersama ke arah memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai aspek penting termasuk promosi pelancongan, pembangunan produk, latihan sumber manusia, serta pelaksanaan program promosi bersama menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang amat dinanti-nantikan.
MoU ini telah dimeterai oleh Presiden MATA, Dato’ Seri Dr. Haji Mohd Khalid Harun dan Pengerusi DATA, Encik Cao Tri Dung, dalam satu sesi khas yang memfokuskan kepada kerjasama pelancongan serantau dan peluang pertumbuhan baharu pasaran pelancongan ASEAN.
“Pemeteraian MoU ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Vietnam, tetapi juga mencerminkan visi bersama kita untuk membentuk landskap pelancongan ASEAN yang lebih terhubung, berdaya tahan dan progresif. Ketika Malaysia bersiap siaga menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026, kerjasama ini adalah antara langkah penting untuk merancakkan kedatangan pelancong serantau ke negara kita,” ujar Dato’ Seri Dr. Khalid Harun.
Sementara itu, Encik Cao Tri Dung menyuarakan keyakinannya terhadap potensi kerjasama ini dengan berkata, “Kami percaya kolaborasi bersama MATA akan membuka lebih banyak peluang pembangunan pakej pelancongan rentas sempadan yang menarik, memperluaskan capaian pasaran, serta mengukuhkan rangkaian antara komuniti pelancongan serantau.”
Majlis bersejarah ini turut disaksikan oleh TYT Dato’ Tan Yang Thai, Duta Besar Malaysia ke Vietnam dan TYT Meynardo LB. Montealegre, Duta Besar Filipina ke Vietnam. Kedua-dua diplomat menekankan betapa pentingnya kerjasama pelbagai hala dalam memulihkan pelancongan pasca pandemik serta menyokong pembangunan mampan di rantau ini.
Menambah nilai kepada kerjasama ini, DATA turut menandatangani perjanjian berasingan bersama Calabarzon Alliance of Independent Tour Operators (CAITO) dari Filipina—mengukuhkan lagi kedudukan Da Nang sebagai bakal hab pelancongan utama di ASEAN.
Persidangan ASEAN Connect tahun ini, yang bertemakan “Peluang Memperkukuh Kerjasama antara Da Nang dan Rakan-Rakan ASEAN”, menjadi medan strategik untuk diplomasi bandar ke bandar, promosi perdagangan serta pertukaran idea inovatif antara pemain industri pelancongan.
Kolaborasi MATA dan DATA ini memperlihatkan peranan penting persatuan pelancongan dalam memperkukuh integrasi pelancongan ASEAN serta mempererat hubungan rakyat serantau, sejajar dengan aspirasi menjadikan ASEAN destinasi pelancongan yang lebih inklusif, mapan dan berdaya saing di peringkat global.