KISAH PERJALANAN PERIBADI DALAM DUNIA SENI SUNTIK SEMANGAT KMY KMO HASILKAN 21A
Perjalanan setiap individu tidak sentiasa manis dan pasti akan melalui pelbagai onak dan duri sebelum mencapai kejayaan yang gemilang. Begitulah mesej yang cuba disampaikan dalam single terbaharu penyanyi hip hop terkenal, Kmy Kmo berjudul 21A yang baru dilancarkan di platform YouTube Kmy Kmo pada 30 Mei lalu.
Lebih mengujakan, single hasil tulisannya itu turut berjaya memasuki tiga playlist di platform digital Spotify iaitu Border Beats, Made in Malaysia dan Pop Terkini! dalam tempoh sehari selepas dilancarkan.
Pencapaian ini tentunya memberi sedikit kelegaan kepada pemilik nama sebenar Lukmanul Hakim apabila single solo yang mengisahkan perjalanan peribadinya mendapat tempat di hati pendengar tanah air.
Bercerita mengenai lagu 21A, Kmy memberitahu lagu yang dihasilkan itu adalah luahan ikhlas dirinya dalam menceritakan kepayahan yang terpaksa dilalui untuk menempa nama dalam pasaran muzik hip hop sebelum ini.
“Sebagai anak jati Kuantan yang begitu meminati muzik hip hop saya akui perjalanan yang saya tempoh sebelum ini adalah satu proses yang panjang dan tidak mudah untuk saya lalui.
“Jika dulu saya perlu yakinkan bakat kecil yang saya miliki ini untuk menambat hati pendengar di Malaysia selain cabaran untuk menembusi pasaran mainstream.
“Walau bagaimanapun segala pengalaman yang saya lalui sebelum ini akan menjadi satu cerita indah yang tidak mampu saya lupakan selain menjadi pengajaran terbaik untuk saya terus bersyukur dengan apa yang saya miliki sekarang ini,”katanya.
Tambah Kmy, sepanjang penulisan lagu ini dia tidak berdepan sebarang kesukaran kerana lagu dan liriknya bersifat santai serta luahan hati peribadinya.
“Tiada tekanan untuk hasilkan lagu ini berbanding lagu-lagu yang pernah saya hasilkan sebelum ini.
“Menerusi lagu ini saya hanya santai-santai saja. Tambah pula, lagu ini menceritakan mengenai luahan hati serta semangat yang ingin saya bawa buat kawan-kawan atau kenalan yang berasa diri mereka kerdil dalam memasuki pasaran muzik hip hop.
“Saya sedar masih ramai bakat-bakat muda yang kurang keyakinan diri untuk memperkenalkan bakat mereka kerana takut dengan anasir negatif yang mereka dengar dalam dunia hiburan.
“Ada yang bimbang jika kehadiran mereka dalam pasaran mainstream akan ditindas, diketawakan, atau dipergunakan sedangkan mereka perlu berani dan yakin dengan sesuatu produk yang ingin ditampilkan,” katanya.
Bagi yang meminati setiap lagu hasil ciptaan Kmy pasti pernah mendengar lagu 21A sekitar tahun 2016 apabila demo yang dihasilkan dimuat naik di YouTube.
Baru-baru ini, lagu Ayuh hasil paduan Kmy Kmo bersama Malique, Aman RA dan Ernie Zakri menjadi bualan peminat muzik hip hop apabila menduduki tangga teratas ‘trending’ di YouTube.
Tampil merakam dengan nafas baharu, Kmy berharap 21A yang diperkenalkan ini dapat memberi lebih kepuasan kepada pendengar.
“Sebenarnya pada 2016, saya pernah rakamkan lagu ini bersama seorang sahabat dikenali Fareed. Kemudian rakaman kedua dibuat dengan versi baharu bersama Luca Sickta sekitar 2022.
“Tujuan saya merakamkan semula lagu ini kerana saya mempunyai perancangan dan stratergi yang berbeza. Saya seorang yang suka mendengar maklum balas jujur dan ikhlas daripada pendengar.
“Ketika saya rakam lagu itu untuk album solo pada tahun 2016, namun masih belum dikeluarkan, saya muat naik kesemua lagu di YouTube.
“Ini kerana, saya ingin melihat maklum balas yang jujur daripada pendengar yang sentiasa menyokong kerjaya saya. Mereka ini semua akan menilai lagu yang paling mereka gemari dan daripada situlah saya tahu kekuatan setiap lagu saya.
“Melihat respons positif daripada peminat untuk lagu 21A ini, saya pun nekad merakam semula lagu ini dengan versi baharu dan lebih tersusun,” katanya yang berharap lagu 21A dapat diterima dengan baik oleh pendengar tanah air.
21A boleh didengarkan di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer, KKBOX dan YouTube Music sejak 30 Mei yang lalu.