Konsert ‘Tujuh Vibrato Gitar’ Tampilkan Tujuh Gitaris Hebat Tempatan di Zepp Kuala Lumpur pada 3 November
Muzik ‘rock n roll’ telah memainkan peranan penting dalam mengubah landskap budaya muzik dunia pada abad ke-20. Dalam kugiran dengan genre ‘rock n roll’, gitar elektrik memegang peranan utama yang memeranjatkan. Hal ini telah melahirkan watak-watak gitar yang sering menjadi fokus utama dalam kugiran tersebut. Bunyi dari gitar telah menjadi unsur yang signifikan dalam dunia muzik, memberikan kesan mendalam kepada pengalaman pendengar. Oleh itu, peranan yang dimainkan oleh seorang gitaris dalam mencipta muzik yang berkualiti dan diterima ramai adalah sangat penting.
Gitar sebagai alat muzik bertali amat bergantung kepada kepakaran permainan sang gitaris. Salah satu teknik yang ketara adalah vibrato. Teknik vibrato masing masing menghasilkan bunyi yang berlainan dengan tona dan ekspresi pelbagai. Itu yang membezakan seorang gitaris dengan gitaris yang lain.
Maka, meraikan sang gitaris dan teknik vibratonya dari hati ke jari dan langsung ke tali adalah sesuatu yang menarik untuk diperdengarkan. Buah fikiran untuk menganjurkan sebuah konsert yang menampilkan 7 orang gitaris hebat dalam industri muzik Malaysia adalah unik dan pertama kali akan dipersembahkan. 7 orang gitaris ini diundang berdasarkan keupayaan dan pengaruh mereka dalam genre muzik dan era mereka tersendiri.
Pesona TUJUH VIBRATO GITAR
- JO BRANKO
Gitaris kidal ini punya jenama tersendiri, iaitu dirinya. Lebih 35 tahun dalam industri muzik rock arus perdana, kehadiran Jo Branko dalam Konsert TUJUH VIBRATO GITAR tidak dapat disangkal lagi. Pernah bersama kumpulan Scandals, Wings, Prime Domestic dan kini Barbarik. Kehebatan beliau di pentas bersama ‘The Black Beauty’ sentiasa dinantikan oleh para peminat. Jo turut dikenali sebagai penyanyi, pelakon, komposer, penulis lirik, pengarah muzik, penerbit konsert dan penerbit album yang menghasilkan lebih 20 buah album rock serta memenangi beberapa anugerah dalam industri muzik Malaysia.
- KIDD SEARCH
Lahir dari keluarga pemuzik, Kid atau Hamzah Taib adalah salah seorang gitaris terkemuka dalam arena muzik rock. Popular bersama kumpulan Gersang sebelum menyertai kumpulan Search pada 1989. Beliau banyak menghasilkan solo gitar yang ‘melekat’ dan malar segar terutama ‘masterpiece’ beliau untuk lagu ‘Isabella’. Kid juga banyak menghasilkan kerja gitar untuk rakaman album artis tempatan sejak 1990an sebagai pemuzik undangan. Kemunculan beliau dalam TUJUH VIBRATO GITAR pasti memberikan impak besar dengan sentuhan klasiknya.
- MAN KEEDAL
Apalagi yang hendak dinyatakan tentang Man Keedal, seorang instrumentalis gitar. Aktif sejak 1979 dan kehadiran beliau memberikan definasi pemain gitar kidal. Beliau bersama kumpulan Search pada 1985 dan kemudian Lefthanded tahun berikutnya. Seorang gitaris dan penerbit album yang pernah mencipta beberapa kejayaan dalam industri muzik Malaysia. Beliau dianggap sebagai ‘maestro’ gitar dalam arena muzik rock. Setelah lebih 40 tahun dalam industri muzik, beliau masih aktif bersama kumpulan Search dan Lefthanded serta memenuhi undangan untuk rakaman dan persembahan pentas.
- SHAH SLAM
Mula dikenali di arus perdana muzik bersama kumpulan Exist dengan album sulung berjudul ‘Exist’ pada tahun 1991 ketika berusia 17 tahun. Shah menubuhkan kumpulan Slam pada 1993 bersama beberapa rakan pemuzik setelah tidak bersama Exist. Bersama Slam, beliau merakamkan 6 album dari tahun 1994 hingga 2007. Kumpulan Slam pernah memenangi Anugerah Vokal Terbaik untuk album ‘Kembali Merindu’ dan Anugerah Kembara di Anugerah Industri Muzik Malaysia 1997. Shah kini popular sebagai gitaris undangan untuk rakaman album dan penerbitan program tv serta persembahan ‘live’.
- MUZZA
Anak kepada pemain gitar kumpulan Heavy Machine yang pernah popular pada dekad 80an ini adalah seorang gitaris muda versatil. Menerobos dunia muzik di era media sosial menjadikan beliau punya pengikut dan pengaruh yang luas. Menghasilkan album sulung berjudul ‘My Way back Home’ pada 2014. Tidak dinafikan Muzza adalah seorang komposer, penulis lirik, penyanyi dan pemuzik pelapis generasi baru. Sebagai pemuzik, Muzza turut bermain keyboard dan drums untuk rakaman albumnya.
- JEMBOO DEF GAB C
Gitaris yang punya ‘attitude’ tersendiri dalam muziknya. Bersama kumpulan Def Gab C, lahir album sulung ‘Citarasa’ pada 1997 dan 6 lagi album sehingga tahun 2006. Album ‘Remifasolatido’ (2001) yang diterbitkan oleh Jo Branko telah memenangi Album Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik Malaysia 2002. Sentuhan gitar Jemboo banyak mempengaruhi muzik Def Gab C yang menonjolkan konsep ‘hard rock’ dengan sentuhan elemen ‘punk’ dan ‘gothic’. Jemboo juga aktif sebagai komposer dan pemuzik undangan serta pernah menerbitkan beberapa album dan single artis tempatan.
- ANIS KALISA
Gitaris manis tapi garang di atas pentas ini adalah gitaris kumpulan Soul Statue yang ditubuhkan pada 2010. Sejak 2016, Anis turut bersama kumpulan Candy yang pernah popular pada lewat 1990an. Anis adalah wakil jenama Swee Lee Music Company dan beliau mesra dengan gitar jenama Gibson Les Paul kegemarannya. Bekas pelajar ASWARA ini mula aktif sejak berumur 17 tahun dan berkebolehan menghasilkan lagu sendiri. Anis menyertai Orkestra DBKL sejak 2018 untuk menimba lebih pengalaman dan ilmu muzik secara formal.
TUJUH VIBRATO GITAR akan dipersembahkan di Zepp Kuala Lumpur pada 3 November 2023. Ia akan menampilkan 7 orang gitaris iaitu Jo Branko, Kidd Search, Man Keedal, Shah Slam, Muzza, Jemboo Def Gab C, dan Anis Kalisa. Mereka akan diiringi oleh kumpulan Barbarik sebagai ‘house band’ iaitu Rozaimie (bass), Adi Yamin (keyboards) dan Ainoll (drums). Manakala barisan penyanyi latar yang akan mewarnai vokal adalah Izzat dan Baby.
TUJUH VIBRATO GITAR akan menampilkan 3 orang penyanyi berkarisma sebagai vokalis utama iaitu penyanyi bersuara lantang, Dato’ Hattan, vokalis rock legenda Muss dan vokalis kumpulan rock Kristal, Lan Solo. Mereka akan mempersembahkan lagu lagu rock klasik dan kontemporari dari himpunan karya hebat muzik rock tempatan.
Apa yang akan menjadi cabaran dan tumpuan di konsert ini nanti adalah bagaimana tujuh orang gitaris dan tiga orang vokalis berkolaborasi dalam sebuah konsert rock. Susunan muzik untuk setiap lagu yang dipersembahkan digubah semula untuk menepati konsep tujuh gitaris. Persefahaman, kemahiran dan keserasian ketujuh[1]tujuh gitaris di pentas akan teruji, tambahan pula kebanyakan lagu yang dipersembahkan bukanlah lagu yang biasa dimainkan sebelum ini. Setiap lagu adalah satu eksperimentasi. Secara teknikal, koordinasi untuk menempatkan tujuh gitaris, tiga pemuzik, tiga vokalis, dua penyanyi latar dan peralatan lain di atas satu pentas adalah satu cabaran kepada pihak penerbitan.
TUJUH VIBRATO GITAR akan menjanjikan kepuasan deria para penonton dengan alunan bunyi petikan gitar solo mahupun harmoni dari para gitaris selain dari lontaran vokal dari barisan penyanyi rock terbaik. Ketika ini, mereka sedang menjalankan latihan secara intensif untuk memberikan persembahan yang ‘all out’. Para penonton juga akan berpeluang mendengar beberapa ‘masterpiece’ dari gitaris yang akan memainkan petikan gitar solo mereka yang ikonik.
TUJUH VIBRATO GITAR pasti akan menghidangkan kelainan kepada para pendengar terutamanya para peminat instrumen gitar dan para peminat tujuh orang gitaris tersebut, juga tiga orang vokalis utama yang ditampilkan. Ia akan menjadi sebuah persembahan yang padat, dinamik, unik dan memberi kepuasan yang tidak dapat diperolehi dari mana mana persembahan sebelum ini.
TUJUH VIBRATO GITAR dibawakan kepada anda oleh Big Stage Entertainment Channel sebagai Penganjur dan Anggerik Event Sdn Bhd sebagai Penganjur Bersama. Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, sila layari www.tix-box.com
Cat 1 Rock Zone (berdiri) RM 188.00
Cat 2 Normal Seats (bernombor) RM 278.00
Cat 3 Premium Seats (bernombor) RM 338.00
Cat 4 VIP Box (8 pax/box) RM 5,000.00