TARUHAN PERDANA YUNADIA MENERUSI ‘CHA CHA CINTA’

Syazreen Yunadia Mazlan atau bakal dikenali dengan panggilan Yunadia, hadir mempertaruhkan single pertamanya berjudul ‘Cha Cha Cinta’ ciptaan komposer terkenal negara, Iqie Hugh, dan diterbitkan oleh Armani Entertainment Group (AEG).

Yunadia sangat bersyukur kerana diberi peluang oleh pihak AEG, kerana cita-citanya untuk mengeluarkan single sendiri tercapai.

“Segalanya bermula sebagai hobi dan lama-kelamaan bertukar menjadi sesuatu yang saya idamkan apabila dewasa kelak. Saya sering menyertai pertandingan nyanyian di peringkat universiti, asalkan ada pertandingan saja, saya akan mencuba nasib.

“Sehinggalah pada satu hari saya menghadiri ujibakat ‘The Audition’ yang dianjurkan oleh AEG, ternyata rezeki berpihak kepada saya apabila dipilih sendiri oleh pengarah tersohor, saudara Michael Ang untuk maju ke peringkat seterusnya, setelah itu saya terus dipelawa untuk menjadi artis di bawah naungan AEG,” jelas gadis berusia 21 tahun ini.

Cha Cha Cinta adalah sebuah lagu romantis santai yang mengetengahkan irama cha cha yang jarang kedengaran pada masa kini, namun komposisinya yang bersahaja ditambah pula dengan paduan vokal Yunadia yang mantap, ternyata menyuntik rasa moden dan kontemporari terhadap lagu ini. Jika diamati liriknya, lagu ini menceritakan tentang seorang gadis yang saedang memujuk buah hatinya agar tidak merajuk terlalu lama, dengan mendendangkan sebuah lagu cinta, akhirnya Kembali menjadi satu.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya berada di studio rakaman, perasaan gembira, berderbar, semuanya ada! Macam tak percaya dibuatnya kerana apa yang saya impikan selama ini akhirnya menjadi kenyataan.” Katanya.

Lagu ‘Cha Cha Cinta’ boleh dimuat turun di iTunes serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Armani Entertainment.

CATEGORIES
Share This