BUAT PERTAMA KALI, NISHA HAQUE DAN AMAN AZIZ BERKOLABORASI DEMI ‘MARRY ME HARI INI.
Aman Aziz dan Nisha Haque, dua penyanyi tempatan yang kini meningkat naik, berkolaborasi dalam satu lagu berjudul Marry Me Hari Ini’. Justeru, ini adalah kali pertama kedua-dua penyanyi ini bekerjasama namun gabungan ini berjaya membawa penggemar muzik ke dalam pengalaman muzikal yang unik dan menarik.
Lagu yang bergenre pop yang dicipta oleh Ku Yen dan Rudy Nastia berserta lirik oleh Ku Yen, Aman Aziz dan Elly J ini dilihat bukan sahaja berjaya menonjolkan kebolehan vokal Aman Aziz dan Nisha Haque, tetapi juga menghadirkan komposisi yang istimewa dengan lirik dan melodi yang dicipta khas untuk pasangan yang dalam perancangan untuk melangsungkan perkahwinan.
Ketika ditanya mengenai kerjasama mereka, Aman Aziz berkata, “Ini adalah pengalaman yang luar biasa bekerjasama dengan Nisha. Kami berdua berkongsi matlamat yang sama untuk menghasilkan sesuatu yang istimewa bagi peminat yang selama ini menyokong karier kami sejak dari dulu lagi. Terima kash juga kepada pihak New Southern Records kerana memberi kepercayaan dan peluang kepada Aman dan Nisha untuk bekerjasama.”
Nisha Haque menambah, “Lagu ini adalah dedikasi kepada pasangan yang ingin merayakan cinta mereka melalui perkahwinan. Kami berharap lagu ini dapat menjadi peneman istimewa untuk momen bahagia mereka nanti. Selain itu, kami juga mengharapkan lagu ini diterima oleh semua lapisan masyarakat dan dapat mewarnai industri muzik Malaysia lagi.”