Citaglobal Memprluaskan Sayap ke Sektor Karbon Biru, Meterai MoBE Bersama Kitaran Tabah Teroka Projek Bakau di Pahang dan Lampung

Majlis menandatangani Memorandum Penerokaan Perniagaan antara anak syarikat Citaglobal Berhad iaitu Citaglobal Environment Management dan Kitaran Tabah

Kerjasama Strategik Projek Hutan Bakau di Pahang dan Lampung

Kumpulan Citaglobal Berhad (Citaglobal) terus memperkukuhkan kedudukannya dalam sektor kelestarian alam sekitar apabila anak syarikatnya, Citaglobal Environment Management Sdn Bhd (CGEM), mengambil langkah strategik meneroka bidang karbon biru menerusi pemeteraian Memorandum Penerokaan Perniagaan (MoBE) bersama Kitaran Tabah Sdn Bhd (Kitaran Tabah).

Kerjasama penting yang dimeterai pada 4 November 2026 ini bertujuan menilai potensi projek pemuliharaan dan pemulihan hutan bakau di dua lokasi strategik iaitu Pahang, Malaysia serta Lampung, Indonesia. Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan Citaglobal di bawah kepimpinan Pengerusi Eksekutif dan Presidennya, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, untuk meletakkan perniagaan alam sekitar kumpulan sebagai antara peneraju utama di rantau Asia Tenggara.

Pembahagian Peranan Strategik Citaglobal Berhad dan Kitaran Tabah

Melalui usahasama ini, CGEM akan menerajui aspek pengurusan tapak, perolehan permit serta libat urus bersama pihak kerajaan, komuniti setempat dan pemegang hak tanah. Sementara itu, Kitaran Tabah pula menyumbangkan kepakaran teknikal mendalam merangkumi kajian kebolehlaksanaan, pemilihan metodologi, reka bentuk projek serta urusan bersama badan piawaian karbon antarabangsa dan bakal pembeli kredit karbon. Kitaran Tabah turut memanfaatkan pengalaman luas syarikat sekutunya, Tabah Asia Sdn Bhd, yang merupakan antara penggubal metodologi karbon biru Cercarbono bagi tanah lembap pesisir.

Pemilihan Pahang dan Lampung sebagai titik tumpuan awal amat strategik memandangkan Citaglobal telah pun mempunyai kehadiran serta inisiatif infrastruktur alam sekitar sedia ada di kedua-dua rantau berkenaan, termasuk projek penjanaan tenaga daripada sisa dan bio-CNG. Usaha pemuliharaan hutan bakau ini bukan sahaja berpotensi menjana hasil komersial menerusi jualan kredit karbon berkualiti tinggi, malah mampu membiayai usaha pemuliharaan secara berterusan di samping menyokong peningkatan taraf hidup komuniti pesisir pantai.

Memperkukuh Ekonomi Hijau Serantau Bersama Citaglobal Berhad

Ketua Pegawai Eksekutif CGEM, Thye Chee How, menegaskan bahawa pemilihan tapak dan ketelitian pematuhan hak karbon serta asas komersial yang kukuh menjadi keutamaan sebelum sebarang komitmen pelaburan dibuat. Dengan sinergi kepakaran kejuruteraan dan pasaran karbon yang digabungkan, inisiatif ini diyakini mampu memperkukuh landskap ekonomi hijau serantau sejajar dengan peralihan global ke arah matlamat kelestarian iklim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *