ADUAN JIWA MUSIM 2 MENDALAMI KISAH-KISAH TRAUMA DENGAN LEBIH MENDALAM

 

Di TV9, musim baharu rancangan perbualan ADUAN JIWA telah bermula. ADUAN JIWA akan menarik semula penonton pada musim kedua bersama penyampai dan personaliti terkenal Ahmad Fedtri Yahya dan menunjukkan perkongsian kisah benar kes trauma tertentu dengan lebih terperinci. Pada hari Ahad jam 10.30 malam, mulai 18 September 2022, TV9 akan mula mempersembahkan cerita-cerita ini daripada pelbagai latar belakang, dan www.tonton.com.my akan menyiarkannya secara langsung dalam HD.

Menurut Ahmad Fedtri Yahya yang juga merupakan tulang belakang program ADUAN JIWA, “Selepas perkenalan musim pertama, ramai yang ingin meluahkan kisah-kisah trauma tapi takut. Mungkin kerana ia adalah sesuatu topik yang taboo. Namun, banyak juga yang hubungi saya di Twitter dan Instagram. Hari-hari saya menerima mesej yang menjadi tular dan diperkatakan. Pelbagai isu yang saya perolehi daripada mereka seperti hal rumah tangga, ibu bapa, keluarga, persahabatan dan masalah seksual.”

Lebih istimewa, ADUAN JIWA musim kedua membawakan Ahmad Fedtri Yahya terus ke lokasi pengadu bagi mendengar kata-kata luahan orang ramai. Tambah Ahmad Fedtri lagi, “Bukan mudah untuk mendapatkan responden yang ingin berkongsikan masalah atau isu ketika di suasana terpencil seperti di dalam studio. Mungkin mereka menjadi segan apabila berhadapan dengan kamera, jadi musim kali ini akan menjadi lebih selesa untuk pengadu yang ingin berkongsi kisah mereka.”

Namun Fedtri mengakui ia bukan sesuatu yang mudah baginya untuk mendapatkan responden. Ada yang menarik diri selepas penggambaran kerana atas faktor keselamatan. Ada juga yang membatalkan hasrat sebaik tiba di lokasi penggambaran. Apa yang kami boleh buat adalah memberikan masa dan ruang serta menggunakan medium alternatif seperti panggilan video bagi memastikan kisah mereka dapat disampaikan.

Episod pertama yang akan bersiaran pada 18 September ini bertajuk “Setelah Ayah Pergi” dan  memaparkan topik luahan Da’i Amirah yang mengambil tugas berat selepas kehilangan bapanya. Da’i Amirah meneruskan amanah dan legasi penjagaan rumah orang tua yang ditinggalkan oleh ayahnya. Dalam menguruskan amanah yang diberi dan melayan kerenah penghuni, Amirah turut rindu akan kasih sayang seorang bapa.

Manakala, episod kedua yang bertajuk “HIV Di Usia Senja” menceritakan kisah-kisah lelaki warga emas di Rumah Perlindungan HIV Muslim. Oleh kerana penyakit mereka sudah di tahap kritikal, kini mereka ditempatkan di pusat perlindungan dan menghitung hari untuk sesuatu yang samar akibat kesilapan silam.

Berharap agar program ini akan berterusan kerana ia dapat membantu orang ramai. Mungkin ada antara mereka menonton secara santai tetapi masih boleh mendapat info yang banyak daripada panel jemputan seperti pakar psikiatri, ustaz, ustazah dah ahli motivasi. Sebelum ini, Aduan Jiwa memaparkan kisah namun tiada kata putus. Pada musim baharu ini, kami akan memberi cadangan bagi membantu individu yang berada dalam situasi yang sama. Semoga  penonton mendapat manfaat dari program dan mereka mendapat sesuatu untuk memulihkan trauma atau masalah yang mereka hadapi.

Nantikan topik-topik menarik penuh informasi yang akan dibawa selama 10 episod di ADUAN JIWA musim kedua mulai 18 September, setiap hari Ahad, pukul 10.30 malam di TV9 dan strim secara langsung di www.tonton.com.my.

CATEGORIES
Share This