KUALA LUMPUR, 30 OKTOBER 2026 — Aneka Jaringan Holdings Berhad (Aneka Jaringan), pakar dalam pembinaan ruang bawah tanah dan asas, mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 25.88% tahun ke tahun kepada RM78.74 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026 (S4 TK2026), berbanding RM62.55 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. Peningkatan tersebut mencerminkan kemajuan pelaksanaan projek yang berterusan merentasi portfolio pembinaan Kumpulan.
Bagi suku yang dilaporkan, Kumpulan merekodkan keuntungan kasar sebanyak RM4.46 juta, lebih rendah berbanding RM6.69 juta pada S4 TK2025, berikutan peningkatan kos input utama, khususnya konkrit dan diesel, yang terus memberi tekanan kepada margin projek. Selain itu, Kumpulan turut mengiktiraf rosot nilai bersih sebanyak RM1.65 juta ke atas penghutang perdagangan dan aset kontrak. Susulan perkembangan tersebut, Aneka Jaringan mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM0.94 juta berbanding keuntungan sebelum cukai RM1.65 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. Selepas mengambil kira kredit cukai pendapatan bersih sebanyak RM0.92 juta, Kumpulan merekodkan kerugian selepas cukai marginal sebanyak RM0.01 juta berbanding keuntungan selepas cukai RM1.45 juta sebelumnya.
Bagaimanapun, prestasi suku keempat menunjukkan peningkatan berbanding suku sebelumnya. Hasil meningkat sebanyak 15.10% daripada RM68.41 juta pada Suku Ketiga TK2026 kepada RM78.74 juta, manakala keuntungan kasar melonjak 34.39% kepada RM4.46 juta daripada RM3.32 juta. Penambahbaikan ini disokong oleh bahagian projek yang lebih besar dengan margin lebih baik, memandangkan harga tender bagi projek-projek tersebut mengambil kira kadar kos bahan dan bahan guna habis yang lebih terkini. Sejajar dengan perkembangan itu, kerugian selepas cukai Kumpulan turut mengecil dengan ketara daripada RM1.66 juta pada suku sebelumnya kepada RM0.01 juta pada S4 TK2026.
Bagi keseluruhan tahun kewangan 2026, Aneka Jaringan merekodkan hasil sebanyak RM305.79 juta, meningkat 18.35% berbanding RM258.38 juta pada TK2025. Walaupun keuntungan kasar menurun kepada RM18.30 juta daripada RM22.78 juta, dengan margin keuntungan kasar susut kepada 5.98% berbanding 8.82% pada tahun sebelumnya akibat tekanan kos input yang lebih tinggi, Kumpulan kekal mencatatkan keuntungan. Keuntungan selepas cukai bagi tahun kewangan tersebut berjumlah RM0.36 juta.

Pengarah Urusan Aneka Jaringan, Pang Tse Fui, berkata walaupun tekanan kos terus memberi kesan kepada margin sepanjang tahun kewangan, Kumpulan menunjukkan perkembangan positif menerusi peningkatan prestasi pada suku keempat. Pertumbuhan hasil dan keuntungan kasar berbanding suku sebelumnya, selain pengurangan ketara kerugian selepas cukai, mencerminkan kesan positif daripada pelaksanaan projek yang diperoleh pada tahap harga lebih terkini. Keadaan ini membolehkan harga tender mengambil kira kos semasa bagi bahan dan bahan guna habis dengan lebih baik.
Beliau turut menegaskan bahawa Kumpulan akan terus mengamalkan disiplin dalam pemilihan dan pelaksanaan projek, di samping memperkukuh pengurusan kos serta produktiviti di tapak pembinaan. Fokus turut diberikan kepada usaha meningkatkan nilai buku pesanan melalui projek yang menawarkan terma komersial lebih menguntungkan, sambil memastikan saluran kerja yang mampan bagi menyokong operasi jangka panjang Kumpulan.
Setakat 31 Ogos 2026, Aneka Jaringan telah memperoleh kontrak baharu bernilai RM247.91 juta dan mempunyai buku pesanan tertunggak sebanyak RM203.28 juta. Buku pesanan tersebut terdiri daripada projek yang diperoleh berdasarkan struktur harga lebih terkini susulan peningkatan kos input utama seperti diesel dan konkrit. Ini memberikan asas yang lebih baik kepada Kumpulan untuk mengurus margin projek dalam persekitaran kos semasa, meskipun risiko turun naik harga sepanjang tempoh pelaksanaan masih perlu diberi perhatian.
Dalam usaha mempelbagaikan asas perniagaan dan memperluas kehadiran geografinya, Kumpulan turut menyempurnakan pengambilalihan 51% kepentingan ekuiti dalam P3 International Sdn. Bhd. pada Julai 2026 dengan nilai RM1.02 juta. Langkah strategik ini dijangka menyokong usaha Aneka Jaringan mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran individu serta memperkukuh pendedahan perniagaannya dalam menghadapi perbezaan keadaan operasi merentasi wilayah.
Mengulas prospek masa hadapan, Aneka Jaringan akan terus memantau perkembangan kos bahan binaan, bahan api dan pengangkutan susulan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan. Kumpulan kekal komited untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengawal perbelanjaan projek dan memilih peluang perniagaan baharu secara strategik berdasarkan terma komersial yang bersesuaian. Pendekatan ini bertujuan menyokong pertumbuhan pendapatan yang mampan serta meningkatkan prestasi kewangan Kumpulan secara berperingkat.








Leave a Reply