IRFAN HARIS DEDAH KISAH PERIBADI DALAM ‘BISIK’
Irfan Haris, penyanyi muda berbakat yang kini semakin matang dan terkenal dengan lagu-lagunya dengan nada “sendu”, mempersembahkan single terbarunya, “Bisik,” yang ditulisnya bersama adik kandungnya Haiqal Iskandar dan seorang penyanyi yang rapat. saudara, Ubaidillah, dan yang dikeluarkan oleh label muzik paling penting negara, Rocketfuel Entertainment.
“Idea di sebalik penciptaan lagu ini tercetusnya hampir empat tahun yang lalu di mana saya sedang merasa sedih dan sangat down kerana sedang merindukan seseorang yang amat dalam”, luah adik kepada penyanyi popular, Amira Othman ini.
Irfan meluangkan masa untuk mencipta muzik bersama adik-beradik dan kakaknya selain sibuk dengan aktiviti kampus yang berkaitan dengan kuliah.
“Saya selesa bekerjasama dengan abang dan saudara sendiri kerana lebih selesa bekerjasama dengan mereka dan kami mempunyai chemistry dalam hal-hal berkaitan pembikinan lagu, ia mungkin kerana hubungan akrab yang sudah terjalin secara semulajadi sejak kecil lagi
“Haiqal dan saya menciptakan melodinya, manakala Ubaidillah pula bertanggungjawab menulis liriknya melalui naratif yang saya cuba saya sampaikan agar jalan cerita dan muziknya kedengaran serasi,” jelas pelajar jurusan Diploma Seni Hiburan di KDU University College ini.
Menurut Irfan, single ini sebenarnya berdasarkan kisah peribadinya pada suatu ketika dahulu, “Waktu itu saya baharu sahaja berpisah dengan seseorang yang amat dekat dengan hati saya, jadi cara saya meluahkan perasaan ketika itu adalah melalui penciptaan melodi yang spontan, saya ambil gitar dan terus memetiknya sehingga keluar muzik dengan sendirinya.
“Bisik membawa maksud kata-kata berbisik pada diri sendiri apabila terlalu merindui seseorang yang amat dalam, bisikan pada hati tentang perasaan rindu sedangkan bekas kekasih telah pun mempunyai ‘orang’ baru.
“Lagu ini agak ‘sendu’ sesuai dengan mood yang saya cuba bawakan, dan saya teruja hendak kongsikannya bersama peminat,” kata Irfan lagi.
Lagu-lagu terdahulu Irfan selalunya mempunyai nada berfokuskan balada, yang amat sesuai untuk vokal yang dia miliki sejak membuat debut nyanyiannya.
“Bagi penghasilan pada kali ini, saya kembali pada genre yang rata-ratanya disukai peminat dan penggemar muzik kerana ternyata lagu-lagu sebegini mempunyai impak terhadap mereka yang mendengarnya.
“Proses rakaman dimulai dari jam 10 pagi sehingga 4 pagi keesokkan harinya kerana saya mahu lagu ini betul-betul ‘sampai’ ke hati pendengar.
“Walaupun proses rakamannya agak lama, saya sudah pun mengerti apa yang diperlukan kerana lagu ini sudah pun tercetus sejak tahun 2018 lagi,” jelas Irfan yang menganggap dirinya sebagai seorang yang menitikberatkan kesempurnaan, dalam kata lainnya, perfectionist.
Video muzik (MV) Bisik, yang dikeluarkan bersama lagu itu, turut mendapat pengikut di laman web YouTube berkat plotnya yang menyentuh hati, menurut Irfan. Saya ingin menyatakan betapa sedihnya jiwa seorang lelaki apabila merindui bekas kekasihnya secara berlebihan, justeru dari situlah tercetusnya konsep untuk MV ini.
“Saya juga ingin mengetengahkan masalah depression buat penonton kerana pasti ramai yang boleh mengaitkannya dengan pengalaman sendiri, kerana cinta itu kadang-kadang hampir membuatkan kita kurang waras dan terus menjadi murung.
“Apa yang saya cuba sampaikan adalah permasalahan yang sering terjadi pada masa kini, mungkin agak berat bagi semua tetapi ketahuilah ada jalan keluarnya, iaitu masa.
Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment Malaysia iaitu Encik Erick Yew berkata, “Irfan Haris adalah artis muda yang mempunyai bakat nyanyian yang mampu menyentuh jiwa sesiapa mendengarnya, selain itu dia juga berkebolehan dalam bidang penciptaan lagu bersama ahli keluarganya sendiri.
“Jiwa seni yang lahir dalam dirinya jelas kelihatan selain kakaknya juga yang mempunyai bakat yang sama. Saya berharap agar Bisik dapat mengembalikan rindu peminat Irfan yang dambakan lagu-lagu sebegini darinya.
Walaupun hanya berusia 20 tahun, Irfan bercita-cita memiliki albumnya sendiri pada satu hari nanti, katanya penuh pengharapan, “Saya senang dapat berkongsi muzik yang saya suka untuk semua, niat saya adalah menghiburkan pendengar semua dengan lagu ciptaan saya yang dekat di hati, yang berbunyi ikhlas dan tidak dibuat-buat.
“Dan perkara yang menggembirakan saya adalah apabila lagu-lagu saya diterima dan ramai yang terhibur apabila mendengarnya kerana itu merupakan perasaan yang sukar saya gambarkan dari sudut positif.
“Saya berharap agar lagu Bisik ini dapat diterima semua kerana saya percaya ada yang terkesan dengan mesej yang cuba disampaikan, dan saya sangat-sangat berterima kasih di atas sokongan yang diberikan selama ini.
Lagu “Bisik” boleh dimuat turun di iTunes dan boleh dimainkan pada bila-bila masa melalui perkhidmatan penstriman dalam talian yang terkenal termasuk Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music, dan juga YouTube Music. Ia juga boleh digunakan sebagai nada dering untuk panggilan ke semua pembawa telekomunikasi tempatan.
Manakala peminat hanya boleh melihat MV lagu ini di akaun YouTube Rocketfuel Network.