Jobranko dan Yonnyboii menjalin hubungan istimewa dengan para penggemar bertuah dalam acara ‘Sentuhan Nadi’.

Jobranko dan Yonnyboii menjalin hubungan istimewa dengan para penggemar bertuah dalam acara ‘Sentuhan Nadi’.

Selepas kerjasama menerusi lagu Nadi, pemain gitar legenda, Jobranko, dan penyanyi serba boleh, Yonnyboii, mengambil langkah seterusnya untuk menghargai peminat mereka. Mereka mengadakan sesi pertemuan eksklusif yang diberi nama ‘Sentuhan Nadi’ di lokasi ikonik, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, hari ini.

Seramai 20 peminat bertuah berpeluang meluangkan masa bersama idola mereka dari jam 3 petang hingga 6 petang. Momen intim ini pastinya akan menjadi kenangan manis yang tidak akan dilupakan oleh mereka.

Sentuhan Nadi dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada peminat serta penyokong setia Jobranko dan Yonnyboii. 20 peminat bertuah ini dipilih daripada peraduan ‘cover’ lagu Nadi yang diadakan dari 6 Ogos hingga 28 Ogos lalu.

jobranko

Peraduan tersebut dilakukan menerusi media sosial di mana peserta perlu memuat naik cover terbaik Nadi dengan versi mereka sendiri. Mereka juga perlu meletakkan #SentuhanNadi dan #NadiSongCover dalam hantaran video masing-masing.

Kemuncak acara ini adalah untuk menobatkan salah seorang daripada 20 peminat tersebut yang akan membawa pulang sebuah gitar istimewa yang siap ditandatangani Jobranko dan Yonnyboii. Gitar tersebut ditaja oleh Music Bliss Malaysia bersama ERA.

Selepas masing-masing mempamerkan bakat mereka, dapat membawa pulang gitar keramat itu menjadi satu hadiah yang sangat berharga, lebih-lebih lagi apabila hadiah itu disampaikan sendiri oleh idola mereka.

jobranko

Sentuhan Nadi juga menjadi detik manis buat Jobranko atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 55, dan Yonnyboii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 26, untuk mendekati peminat setia mereka.

Jika selama ini mereka hanya mampu melihat peminat dari atas pentas, pertemuan sebegini sememangnya satu peluang keemasan yang sangat bermakna. Sentuhan Nadi menjadi ruang intim untuk mereka berkongsi rasa dengan peminat.

Begitu juga bagi peminat yang benar-benar ingin bersemuka dan mengenali mereka lebih mendalam. Pertemuan ini membuka ruang untuk mereka merungkai persoalan yang sekian lama ingin ditanyakan selain menimba ilmu daripada Jobranko dan Yonnyboii.

Acara ini juga dimeriahkan dengan persembahan eksklusif buat semua yang hadir. Bukan sekadar Jobranko dan Yonnyboii, mereka juga ditemani penyanyi berbakat, Asyraf Nasir untuk ‘memanaskan’ pentas dengan beberapa lagu.

Yonnyboii mempersembahkan lagu solonya Salahku, berduet dengan Asyraf menerusi lagu Tak Sangka serta berpadu tenaga bersama Jobranko dan kugirannya untuk lagu Nadi. Kombinasi orang lama dan artis muda ini sememangnya luar biasa.

jobranko

Terdahulu, Yonnyboii menampilkan Jobranko menerusi lagunya Nadi yang dilancarkan pada sekitar hujung Jun lalu. Kombinasi dua generasi berbeza ini menarik, mengambil kira latar belakang perbezaan usia dan genre muzik mereka.

Selepas lebih dua bulan dilancarkan, muzik video (MV) rasmi Nadi di YouTube berjaya meraih lebih 211,000 tontonan. Manakala di platform-platform penstriman muzik, jumlah pendengarnya meningkat hari demi hari.

Cetusan ilham daripada perasaan peribadi, Yonnyboii percaya lagu yang dicipta bersama komposer Amy Bong itu mampu menyentuh hati ramai. Dapat menyalurkan pengalaman peribadi dalam single itu juga memberinya satu kelegaan.

Sentuhan Nadi bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara Jobranko, Yonnyboii dan peminat mereka, tetapi juga membuktikan bahawa muzik mampu merentasi generasi dan menyatukan semua orang.

CATEGORIES
TAGS
Share This