KOMPILASI ‘ROCK NEVER DIES’ BUKTI SEMANGAT ROCK TIDAK AKAN MATI
20 buah lagu baharu daripada 20 kumpulan muzik berteraskan genre rock yang dikeluarkan baru-baru ini berjaya membuktikan semangat memperjuangkan muzik rock yang kukuh dalam setiap anggota band terlibat seperti MELISSABAND, ROOTS N BOOTS, LEMON T, THE ALIF FT MARIONEXXES, BAHTERA, MEDITASI, SONS OF ADAM, THE VOLTAGE, SENNA, X-TERNAL, ZUBIRA, KOROKODEL, CROSSOVER, BUMANTRA, THE FLOW, XNERGY, BURNTARA, EXIT, SPIT IT OUT TIME, dan MANUSIA.
Fakta menariknya, semua karya baharu ini dimuatkan dalam kompilasi album “ROCK NEVER DIES” yang diterbitkan oleh FGI Entertainment dan promosi oleh Melissa Record, sudah berada di pasaran sejak awal bulan Jun. Album ini dijual sendiri oleh setiap band terlibat dan hingga kini telah mencapai lebih dari sasaran awal cetakan iaitu hampir 800 keping CD (beserta pendrive)!
Oleh itu, satu majlis Sidang Media mengumumkan bahawa album ROCK NEVER DIES telah berada di tangan para peminat muzik rock tempatan diadakan pada malam Ahad, 30 Jun 2024. Majlis ini ditaja oleh Restoran Asam Pedas London, Bandar Baru Selayang, yang menyediakan lokasi dan hidangan. Majlis turut diserikan dengan kehadiran vokalis band gergasi Wings, Dato Awie, yang merasmikan acara, bersama wakil pemimpin DUN Taman Templer Selayang yang sentiasa menyokong perkembangan seni hiburan yang sihat dalam masyarakat.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato Awie menyatakan rasa terharu dapat hadir sekaligus menyokong perjuangan muzik ROCK NEVER DIES yang turut disertai oleh mereka yang telah lama berada dalam industri seperti Abg Lord dan lain-lain. Beliau juga bersyukur kerana kehadirannya di majlis ini seolah-olah merealisasikan impian sahabat lamanya, Ajak Melissa, yang tidak pernah putus asa meneruskan perjuangan muzik Melissa Band, meskipun sering dilanda pelbagai isu dan kontroversi. Sebelum mengakhiri ucapan, Dato Awie sempat memberi nasihat kepada pelapis baharu agar sentiasa fokus kepada matlamat dalam bidang muzik dan “kena rajin prektis”.
Majlis malam itu turut disertai semua anggota 20 band terlibat, termasuk dari negara jiran Singapura. Hampir 200 tetamu hadir termasuk jemputan khas dari kalangan pemain media selain pempengaruh media sosial yang sinonim dalam perjuangan muzik rock tanah air.
Di majlis yang sama itu juga, turut diumumkan KONSERT ‘ROCK NEVERDIES’ bakal diadakan pada 10 Ogos 2024 bertempat di WARISAN HALL STUDIO. Tiket dijual pada harga RM50 setiap satu. Tempahan tiket sudah boleh dibuat menerusi band- band yang bakal beraksi di pentas konsert hari berkenaan.