Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan PTTI Group Sdn Bhd
Kedua-dua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kini tertumpu terutamanya untuk meningkatkan pendidikan pelajar bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam perniagaan.
Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini dimeterai antara PTTI Group Sdn Bhd dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi merealisasikan usaha ini dan mewujudkan rangkaian profesional melalui kepakaran dalam domain pendidikan, keusahawanan dan penyelidikan.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Datuk Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin berkata, kerjasama itu bakal memberi impak besar kepada kedua-dua pihak.
“Kerjasama ini bakal memberi impak besar kepada kedua-dua pihak merangkumi penawaran latihan industri kepada pelajar prasiswazah Fakulti Pendidikan di PTTI, selain pelajar dibimbing dalam merancang dan melaksanakan pemasaran, jerayawara, tugasan pentadbiran serta pelbagai jenis bengkel secara bersemuka dan dalam talian.
“Selain itu, melalui hubungan strategik itu juga turut akan diadakan penganjuran ceramah keusahawanan berkaitan bidang pendidikan dan penghantaran tenaga pengajar PTTI melanjutkan pengajian diperingkat pasca siswazah di UKM,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI Group Sdn Bhd, Siti Farhana Abu Osman berkata, kerjasama kedua pihak bakal menjadi batu loncatan dalam memartabatkan lagi pendidikan negara.
“PTTI sangat berbangga dan berbesar hati dengan kerjasama dengan UKM sekali gus menjadi batu loncatan untuk mengangkat martabat pendidikan negara.
“MoU ini iuga membuka peluang dan meggali potensi kerjasama di antara institusi pendidikan swasta dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam usaha menaik taraf bidang pendidikan negara dan membantu keboleh pasaran graduan,” katanya.
Dalam masa sama, Siti Farhana mengalu-alukan kerjasama dengan badan atau organisasi pendidikan negara lain.
“PTTI ingin merakamkan penghargaan pada pihak UKM, Timbalan Naib Canselor atas kerjasama ini. Serta kami mengalu-alukan kerjasama bersama badan atau organisasi pendidikan negara lain juga,” katanya.
Dokumen MoU ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Datuk Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin, disaksikan oleh Dekan Fakulti Pendidikan, Prof. Dr. Mohd Mahzan Awang yang mewakili UKM manakala PTTI diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Siti Farhana Abu Osman dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi, Muhd Habibunajjar Sazali.