Memartabatkan Ilmu Geologi: Wawasan Baru Melalui Penyelidikan Hari Geodiversiti Antarabangsa 2023
Hari Geodiversiti Antarabangsa adalah satu acara tahunan yang dirayakan pada 6 Oktober setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang kepentingan geodiversiti, iaitu kepelbagaian semulajadi bukan hidupan dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran di planet ini.
Geodiversiti ialah kepelbagaian unsur alam semula jadi yang terdiri dari sumber geologi iaitu batuan, mineral, fosil, tanah, sedimen, proses geologi semula jadi, landskap dan tanah yang mendasari serta mempengaruhi bentuk dan sifat landskap serta persekitaran kita.
Semestinya kita amat menghargai kepelbagaian geologi yang tidak ternilai yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada Malaysia. Geodiversiti adalah bukti kepada proses yang membentuk mukabumi kita selama berjuta tahun, justeru menghasilkan karya seni geologi yang unik.
Keindahan Gunung Kinabalu, Sabah yang terbentuk pada 9-8 juta tahun yang lampau dan Formasi Machincang, Langkawi yang berusia 550-490juta tahun adalah antara contoh geodiversiti di Malaysia yang merupakan kebanggaan kita dan telah diiktiraf oleh dunia.
Kementerian Sumber Asli, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Malaysia (NRECC) amat komited untuk melindungi geodiversiti negara dengan memastikan pengurusan sumber asli yang bertanggungjawab dan melaksanakan pelbagai inisiatif kearah pembangunan sumber asli yang mampan sejajar dengan Sustainable Development Goals, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya yang bertujuan untuk melindungi, memulihara dan mempromosikan penggunaan tanah yang lestari.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah dengan gigih bekerja untuk pemuliharaan dan pendidikan geodiversiti. Sumbangan anda adalah berharga dalam memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang geodiversiti kita dan peri pentingnya dalam kehidupan kita.
Akhir kata, mari kita bersama-sama berjanji untuk menghargai dan melindungi geodiversiti negara bagi memastikan bahawa generasi akan datang akan terus mendapat manfaat daripadanya. Semoga kita terus menjelajah, mengungkap, dan melindungi sumber geodiversiti Malaysia untuk generasi akan datang.
Selamat Menyambut Hari Geodiversiti Antarabangsa Tahun 2023.
Sekian, terima kasih.