‘Perisai Cinta’ Liza Hanim: Sebuah Lagu, Dua Makna Mendalam

‘Perisai Cinta’ Liza Hanim: Sebuah Lagu, Dua Makna Mendalam

“Perisai Cinta”, sebuah lagi karya balada menyentuh jiwa, menjadi persembahan terbaru Liza Hanim, penyanyi tersohor dengan vokal bertenaga, yang kembali memukau peminat selepas menggegarkan pentas dengan konsert sulungnya beberapa bulan yang lalu.

Dikenali ramai kerana kehebatannya menyampaikan lagu-lagu bergenre sebegini, Liza berkongsi makna tersirat di sebalik lagu yang turut menjadi runut bunyi asli sebuah drama bersiri popular.

“Lagu ini dicipta khas sebagai runut bunyi asli untuk drama bersiri ‘Ternyata Sebuah Bahagia’ yang dibintangi oleh Zamarul Hisham, Sarimah Ibrahim, dan Elvina Mohamad. Pihak penerbitan menjelaskan bahawa lagu ini menggambarkan isi hati watak utama wanita, Janice, yang dilakonkan oleh Sarimah Ibrahim,” ujar Liza.

perisai cinta

Namun, bagi Liza, lagu ini mempunyai makna yang lebih mendalam. “Interpretasi saya mungkin berbeza kerana saya melihat lagu ini membawa pesan ketuhanan. Liriknya menceritakan tentang bagaimana dalam setiap ujian dan cabaran hidup, kita seringkali lupa dan merasa perlu bersandar pada seseorang manusia.”

“Dalam konteks lagu ini, manusia yang dimaksudkan adalah lelaki yang menjadi harapan watak utama wanita tersebut. Namun, apabila dia menyedari bahawa lelaki itu juga mempunyai kelemahan dan mampu alpa, dia akan sedar bahawa satu-satunya tempat bergantung yang sejati adalah Allah Taala, bukan manusia biasa,” jelas Liza panjang lebar.

Projek ini juga menandakan kerjasama pertama Liza dengan Omar K dan Shazriq Azeman selaku pencipta dan penulis lirik lagu. “Saya sudah lama mengagumi karya-karya Omar K kerana muziknya sentiasa relevan dan sesuai dengan zaman. Akhirnya, impian untuk bekerjasama dengan beliau menjadi kenyataan. Saya juga teruja kerana ini kali pertama bekerjasama dengan Shazriq Azeman walaupun pernah bertemu di pentas ‘All Together Now’,” kongsi Liza penuh semangat.

perisai cinta

Liza turut menambah, “Proses rakaman berjalan dengan sangat lancar kerana mereka berdua sangat profesional dan menghormati. Saya datang dengan persiapan rapi seperti biasa, sudah menghafal lagu dan memahami jalan ceritanya. Alhamdulillah, semuanya selesai dalam masa 45 minit sahaja! Saya percaya lagu ini mempunyai keajaiban tersendiri.”

Dengan penuh harapan, Liza berharap agar “Perisai Cinta” mendapat sambutan hangat dan mampu menyentuh hati setiap pendengar, baik peminat lama mahupun baru. “Semoga lagu ini mendapat tempat istimewa di hati semua,” akhiri Liza dengan senyuman. “Perisai Cinta” bakal dilancarkan pada 6 September 2024 dan boleh dimuat turun di iTunes serta dinikmati melalui pelbagai platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music.

CATEGORIES
TAGS
Share This