EBITDA DC Healthcare melonjak kepada RM2.91 juta pada suku kedua susulan prestasi operasi yang lebih kukuh
KUALA LUMPUR, 27 OGOS 2026 — DC Healthcare Holdings Berhad (DC Healthcare), penyedia perkhidmatan estetik perubatan yang memberi tumpuan kepada prosedur bukan invasif dan minimum invasif, mencatatkan peningkatan prestasi kewangan bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (S2 TK2026) berikutan pertumbuhan hasil serta pengukuhan operasi Kumpulan.
Bagi suku yang berakhir pada 30 Jun 2026, DC Healthcare merekodkan hasil sebanyak RM22.62 juta, meningkat 10% berbanding RM20.60 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya. Pertumbuhan tersebut dipacu terutamanya oleh perniagaan perkhidmatan estetik teras yang mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 15% tahun ke tahun kepada RM20.44 juta daripada RM17.80 juta.
Segmen perkhidmatan estetik menyumbang kira-kira 90% daripada keseluruhan hasil Kumpulan pada suku berkenaan, disokong oleh peningkatan jumlah pesakit serta kadar penukaran rawatan yang lebih baik. Penambahbaikan terhadap proses perundingan dan penglibatan pesakit turut membantu mengukuhkan prestasi perniagaan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan keuntungan kasar kepada RM11.09 juta berbanding RM10.45 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Prestasi operasi DC Healthcare menunjukkan peningkatan lebih ketara apabila EBITDA melonjak kepada RM2.91 juta pada S2 TK2026 berbanding hanya RM0.12 juta pada S2 TK2025. Peningkatan sebanyak kira-kira RM2.79 juta tersebut mencerminkan pengukuhan prestasi operasi asas Kumpulan. Secara suku ke suku, EBITDA turut meningkat 14% daripada RM2.55 juta pada S1 TK2026.
Dari segi keuntungan, hasil DC Healthcare meningkat 6% secara suku ke suku kepada RM22.62 juta daripada RM21.36 juta, manakala keuntungan operasi bertambah kepada RM1.22 juta berbanding RM0.85 juta pada suku sebelumnya. Kumpulan turut merekodkan PBT sebanyak RM0.67 juta, berbanding kerugian sebelum cukai RM1.03 juta pada S2 TK2025, sementara PAT berada pada RM0.47 juta berbanding kerugian selepas cukai RM1.03 juta setahun sebelumnya.
Peningkatan keuntungan tersebut disokong oleh pertumbuhan hasil, penyerapan kos yang lebih baik serta pengurusan perbelanjaan yang lebih berdisiplin. Kos kakitangan dan perbelanjaan pentadbiran turut menunjukkan penurunan secara tahun ke tahun, membantu memperkukuh kecekapan operasi Kumpulan.
Bagi tempoh enam bulan pertama yang berakhir 30 Jun 2026, EBITDA DC Healthcare meningkat dengan ketara kepada RM5.46 juta berbanding RM0.63 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya. Hasil bagi tempoh tersebut meningkat 14% kepada RM43.98 juta daripada RM38.50 juta, manakala Kumpulan mencatatkan keuntungan operasi RM2.07 juta berbanding kerugian operasi RM1 juta pada separuh pertama TK2025.
Bagi tempoh enam bulan tersebut, PBT turut kembali positif pada RM1 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM1.87 juta setahun sebelumnya. Segmen perkhidmatan estetik terus menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan hasil meningkat 20% tahun ke tahun kepada RM39.12 juta daripada RM32.66 juta.

Pengarah Urusan DC Healthcare, Dr. Chong Tze Sheng berkata, prestasi S2 TK2026 menunjukkan perkembangan positif dalam usaha Kumpulan memperkukuh operasi asas dan memulihkan keuntungan. Menurutnya, peningkatan jumlah pesakit dan kadar penukaran rawatan telah membantu menghasilkan pertumbuhan hasil secara tahun ke tahun dan suku ke suku, selain menyumbang kepada leveraj operasi yang lebih baik.
Melangkah ke hadapan, DC Healthcare akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan kedudukannya dalam industri estetika dan kesejahteraan perubatan. Kumpulan merancang untuk memperkukuh perniagaan teras, memperluas rangkaian produk penjagaan kulit dan kesejahteraan serta melaksanakan pengembangan terpilih rangkaian kliniknya bagi mencapai pasaran baharu dan kawasan yang masih kurang mendapat perkhidmatan.
Pada masa sama, Kumpulan terus meneroka penggunaan teknologi dan pendigitalan bagi meningkatkan kecekapan operasi serta menyediakan perkhidmatan yang lebih diperibadikan. Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk penggunaan analisis kulit berbantukan kecerdasan buatan, pendekatan perundingan berasaskan data dan sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) bagi meningkatkan integrasi proses serta keterlihatan operasi.
Dengan S2 TK2026 menjadi suku kedua berturut-turut yang mencatatkan keuntungan dan separuh pertama TK2026 kembali merekodkan PBT positif, DC Healthcare memasuki separuh kedua tahun kewangan dengan momentum pertumbuhan yang lebih baik. Kumpulan kekal komited untuk mengekalkan disiplin operasi, meningkatkan penglibatan pesakit serta melaksanakan inisiatif pertumbuhan terpilih bagi membina profil pendapatan yang lebih mampan dan berskala dalam jangka panjang.