Menara Merdeka 118 Cipta Kejayaan Global dengan Dua Anugerah Emas di FIABCI World d’Excellence 2026

KUALA LUMPUR, 19 Jun, 2026 — Menara Merdeka 118 terus mengukuhkan reputasinya sebagai mercu tanda bertaraf dunia apabila berjaya merangkul dua Anugerah Emas Dunia dalam kategori Pejabat dan Pembangunan Mampan di FIABCI World Prix d’Excellence 2026. Pengiktirafan berprestij ini meletakkan Menara Merdeka 118 sebagai antara pembangunan hartanah terbaik dunia yang mencerminkan kecemerlangan dalam aspek reka bentuk, inovasi, kelestarian dan impak jangka panjang.
Anugerah tersebut telah disampaikan sempena Kongres Hartanah Dunia FIABCI ke-76 yang berlangsung di Vienna, Austria. Kejayaan ini meneruskan momentum kecemerlangan Menara Merdeka 118 selepas sebelum ini menerima pengiktirafan tertinggi dalam kategori sama di FIABCI Malaysia Property Awards 2025, sekali gus membuktikan keunggulan projek ikonik negara ini di pentas antarabangsa.


Meraikan kejayaan berganda Menara Merdeka 118 sebagai penerima Anugerah Emas Dunia dalam kategori Pejabat dan Pembangunan Mampan di FIABCI World Prix d’Excellence Awards 2026. Dari kiri: Dato’ Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud, Penasihat PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad dan Dato’ Ir. Ts. Izwan Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad.
Menurut Datuk Ir. Ts. Izwan Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad, pengiktirafan FIABCI World Prix d’Excellence merupakan bukti kepada visi pembangunan yang menggabungkan warisan negara dengan aspirasi masa hadapan. Beliau berkata, kejayaan tersebut turut mencerminkan komitmen PNB Merdeka Ventures dalam menerapkan nilai kecemerlangan, kelestarian dan inovasi bagi menghasilkan projek bertaraf dunia yang menjadi kebanggaan Malaysia.
Dengan ketinggian 678.9 meter, Menara Merdeka 118 merupakan bangunan tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara, selain menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia. Terletak dalam presint bersepadu seluas 40 ekar di tengah Kuala Lumpur, menara ini bukan sekadar sebuah struktur ikonik, malah direka sebagai destinasi bandar moden yang menggabungkan ruang pejabat premium, kesalinghubungan, kelestarian dan pengalaman bandar yang inovatif.
Reka bentuk Menara Merdeka 118 turut mengetengahkan elemen warisan dan identiti Malaysia, sambil memberi penekanan terhadap pembangunan mampan serta kecekapan operasi. Pendekatan ini menjadikan menara berkenaan sebagai contoh pembangunan masa hadapan yang bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah memberi nilai berpanjangan kepada komuniti dan sektor hartanah negara.

FIABCI World Prix d’Excellence 2026 merupakan antara anugerah paling berprestij dalam industri hartanah global yang menilai pembangunan daripada pelbagai negara menerusi 16 kategori utama. Pemilihan pemenang dibuat berdasarkan pelbagai aspek termasuk konsep pembangunan, seni bina, kelestarian, impak sosial dan nilai warisan, bukannya hanya berdasarkan saiz atau penampilan fizikal sesebuah projek.
Kejayaan Menara Merdeka 118 di pentas global ini membuktikan keupayaan Malaysia dalam menghasilkan pembangunan bertaraf antarabangsa yang menggabungkan inovasi, identiti tempatan dan prinsip kelestarian. Pengiktirafan tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan Menara Merdeka 118 sebagai simbol kemajuan negara serta mercu tanda yang melambangkan aspirasi Malaysia menuju masa hadapan.