MN Holdings Raih Kontrak RM122.31 Juta daripada TNB bagi Projek Kabel Bawah Tanah
MN Holdings Berhad (MN Holdings) terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor utiliti dan infrastruktur kuasa selepas anak syarikat milik penuhnya, MN Utilities Engineering Sdn. Bhd. (MNUE), bersama Pembinaan Tajri Sdn. Bhd. (PTSB), memperoleh kontrak bernilai RM122.31 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Kontrak berkenaan melibatkan pemasangan Kabel Bawah Tanah Litar Berganda 132 kilovolt (kV) baharu yang menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Tasek Gelugor dengan PMU Bertam. Kontrak tersebut dianugerahkan menerusi perjanjian usaha sama tidak diperbadankan antara MNUE dan PTSB, dengan jumlah nilai kontrak termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tetapi tidak termasuk duti import.
Di bawah perjanjian tersebut, MNUE akan mengendalikan 80 peratus daripada keseluruhan skop kerja, manakala PTSB bertanggungjawab terhadap baki 20 peratus. Kedua-dua pihak turut bertanggungjawab secara bersama dan berasingan terhadap pelaksanaan serta penyiapan projek mengikut skop yang telah ditetapkan.
Skop projek merangkumi kerja kejuruteraan, reka bentuk, pembekalan dan pembinaan bagi sistem kabel bawah tanah 132kV baharu berkapasiti 2×180 Mega Volt-Amperes (MVA). Ia turut melibatkan pelbagai kerja sokongan termasuk mendapatkan permit daripada pihak berkepentingan, pemulihan permukaan dan struktur sedia ada serta kerja-kerja pembersihan kawasan selepas projek dilaksanakan.
Kontrak tersebut berkuat kuasa mulai 10 Ogos 2026 dan dijangka disiapkan dalam tempoh 450 hari dari tarikh permulaan. Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan serta aset bersih sesaham MN Holdings setelah kerja-kerja projek dimulakan.

Pengarah Urusan MN Holdings, Dato’ Clement Toh, berkata kejayaan memperoleh kontrak daripada TNB itu mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan syarikat dalam melaksanakan projek utiliti bawah tanah dan infrastruktur kuasa yang kritikal. Menurut beliau, anugerah tersebut turut mengukuhkan peranan MN Holdings dalam menyokong pembangunan infrastruktur penghantaran kuasa negara.
Beliau berkata, peningkatan permintaan elektrik, keperluan memperkukuh kebolehpercayaan grid serta pertumbuhan keperluan tenaga jangka panjang Malaysia terus membuka peluang dalam sektor utiliti dan infrastruktur kuasa. Sehubungan itu, MN Holdings akan terus memberi tumpuan kepada peluang pertumbuhan dalam segmen berkenaan sambil memperluaskan rekod prestasinya dalam menyediakan infrastruktur penting untuk ekosistem tenaga negara.
Kontrak terbaharu ini turut memperlihatkan keupayaan Kumpulan untuk mendapatkan projek infrastruktur di luar segmen pusat data. Perkembangan tersebut dijangka membantu MN Holdings memperkukuh kedudukannya dalam sektor kuasa, utiliti dan tenaga kritikal, sekali gus menyokong pembangunan infrastruktur tenaga Malaysia secara lebih menyeluruh.