PEMEGANG SAHAM HARVEST MIRACLE SEBULAT SUARA LULUS SEMUA RESOLUSI AGM KE-30

KUALA LUMPUR, 29 SEPTEMBER 2026 – Harvest Miracle Capital Berhad (Harvest Miracle atau Kumpulan) menerima sokongan pemegang saham apabila kesemua resolusi yang dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-30 (AGM ke-30) diluluskan. Mesyuarat yang berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, Selangor itu menyaksikan keenam-enam resolusi biasa diluluskan melalui undian, termasuk perkara berkaitan pelantikan semula pengarah, bayaran yuran dan manfaat pengarah serta mandat korporat.
Dalam AGM tersebut, pemegang saham meluluskan pemilihan semula Dato’ Liu Han Ming dan Puan Sherene Lee Mong Ee sebagai pengarah syarikat selepas kedua-duanya bersara secara bergilir selaras dengan Klausa 131 Perlembagaan Syarikat. Pemegang saham turut meluluskan pembayaran yuran pengarah bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 serta manfaat pengarah dari tarikh AGM ke-30 sehingga mesyuarat agung tahunan berikutnya.
Bagi urusan khas, pemegang saham memberikan mandat kepada Lembaga Pengarah untuk memperuntukkan dan menerbitkan saham baharu sehingga 10% daripada jumlah saham diterbitkan syarikat mengikut Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat 2016. Mandat Am ini memberikan fleksibiliti kepada kumpulan untuk mempertimbangkan keperluan pembiayaan termasuk modal kerja, projek dan pelaburan, pembayaran balik pinjaman serta pengambilalihan apabila diperlukan.
Selain itu, pemegang saham turut meluluskan Mandat Pemegang Saham bagi Transaksi Pihak Berkaitan Berulang yang Bersifat Hasil atau Perdagangan (RRPT). Mandat tersebut membolehkan Kumpulan meneruskan transaksi berulang dengan pihak berkaitan dalam urusan perniagaan biasa, tertakluk kepada terma komersial biasa dan tidak memudaratkan kepentingan pemegang saham minoriti.
Pemegang saham juga menerima Laporan Tahunan Harvest Miracle 2026, termasuk Penyata Kewangan Beraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 serta laporan berkaitan daripada Lembaga Pengarah dan juruaudit.
Pengarah Eksekutif Harvest Miracle Capital Berhad, Puan Sherene Lee, berkata kelulusan semua resolusi mencerminkan sokongan pemegang saham terhadap Lembaga Pengarah dan usaha transformasi yang sedang dilaksanakan di seluruh Kumpulan. Beliau turut menyatakan bahawa mandat yang diperoleh akan memberikan fleksibiliti kepada Kumpulan untuk bertindak terhadap peluang pertumbuhan serta melaksanakan inisiatif pengurusan modal, sambil mengekalkan disiplin dalam peruntukan modal.
Perkembangan tersebut hadir susulan permulaan positif bagi tahun kewangan 2027. Bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2026, Harvest Miracle mencatatkan hasil daripada operasi berterusan sebanyak RM64.21 juta, meningkat 14.3% berbanding tahun sebelumnya. Keuntungan selepas cukai pula melonjak 358.4% kepada RM3.19 juta, disokong oleh sumbangan daripada beberapa segmen perniagaan termasuk pelaburan hartanah, pinjaman wang, pembuatan dan perdagangan.
Menurut Sherene Lee, Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pembentukan portfolio perniagaan yang lebih seimbang merangkumi pembuatan, perdagangan bahan binaan, pelaburan hartanah dan pinjaman wang. Strategi tersebut turut memberi penekanan kepada perniagaan yang boleh berkembang dengan sokongan aset ketara serta berpotensi menjana pendapatan berulang.
Ke hadapan, Harvest Miracle akan meneruskan usaha mengukuhkan asas pendapatan pelbagai segmennya, termasuk portfolio pelaburan hartanah seperti projek Antara Genting yang berpotensi menyumbang pendapatan sewa berulang. Pada masa sama, Kumpulan akan terus mengembangkan perniagaan pinjaman wang serta operasi pembuatan dan perdagangan yang berpotensi mendapat manfaat daripada permintaan sektor pembinaan di Johor.