
RAYA PALING MERIAH BERSAMA ROCKETFUEL! “Meriah Lain Macam”, “Nyam Nyam Ketupat” & “Dam Dim Dum Raya” Tak Henti Trending
Rocketfuel Entertainment sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam industri muzik tempatan apabila tiga lagu Raya terbitannya mencipta fenomena luar biasa sempena musim Ramadan dan Aidilfitri 2025. Tiga lagu tersebut — “Meriah Lain Macam” oleh Hael Husaini dan Nadeera, “Nyam Nyam Ketupat” nyanyian Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania dan MissAlvy, serta “Dam Dim Dum Raya” oleh Nadeera — telah berjaya meraih perhatian luar biasa dengan jumlah tontonan dan strim mencecah lebih 1.7 bilion secara kolektif di YouTube serta platform digital utama. Kejayaan ini sekali gus menjadikan projek Raya 2025 antara yang paling berjaya dalam sejarah syarikat hiburan tersebut.
Lagu “Meriah Lain Macam” muncul sebagai lagu paling dominan apabila bukan sahaja merekodkan lebih 16 juta tontonan di YouTube, malah turut menduduki tangga teratas pelbagai carta muzik seperti Carta RIM (Lagu Melayu), Billboard Malaysia, YouTube Music Malaysia dan YouTube Music Brunei. Lebih mengagumkan, lagu ini mengekalkan status trending nombor satu di YouTube selama 33 hari berturut-turut. Dicipta oleh Hael Husaini bersama Iqie Hugh, lagu ini mengangkat tema keceriaan pasangan suami isteri yang sedang bersiap pulang ke kampung menyambut lebaran, satu sentimen yang jelas meresap ke jiwa para pendengar. Hael menyatakan rasa terharu atas sambutan luar biasa yang diterima dan menyifatkannya sebagai hadiah paling manis buat dirinya dan Nadeera tahun ini.
Sementara itu, “Nyam Nyam Ketupat” pula tampil sebagai lagu Raya paling ceria tahun ini dengan irama yang rancak, lirik bersahaja dan persembahan bertenaga oleh barisan artis popular. Lagu ini mencatat hampir 8 juta tontonan di YouTube dan berjaya menempatkan diri dalam kedudukan ketiga lagu Melayu paling banyak distrim di Malaysia. Keunikan lagu ini turut menyumbang kepada kemunculan tarian khas yang menjadi tular di TikTok dan Instagram. Menariknya, bintang badminton antarabangsa dan juara Olimpik, Victor Axelsen, turut menggunakan lagu ini dalam salah satu hantaran latihannya, membuktikan jangkauan pengaruh lagu ini sehingga ke luar negara. Wani Kayrie menyifatkan pengalaman menyanyikan lagu ini sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan berasa sangat bangga melihat sambutan orang ramai terhadap lagu dan tarian tersebut.
Dalam pada itu, Nadeera turut menyinar sebagai penyanyi solo melalui lagu “Dam Dim Dum Raya”. Walaupun ini merupakan lagu Raya solo pertamanya, ia tetap berjaya menarik perhatian ramai dengan lebih 800,000 tontonan di YouTube. Lagu ini menjadi bukti kekuatan vokal dan keunikan penyampaian Nadeera, dan beliau meluahkan rasa syukur atas sambutan hangat yang diterima. Baginya, kejayaan ini sangat bermakna memandangkan persaingan dalam kalangan lagu Raya semakin sengit setiap tahun.
Melihat kepada sambutan luar biasa terhadap ketiga-tiga lagu ini, Rocketfuel Entertainment menyatakan komitmen untuk terus mempersembahkan karya-karya berkualiti kepada peminat muzik tanah air. Sebagai penghargaan kepada peminat setia, dua lagu yang mendapat perhatian di pentas Anugerah Juara Lagu — “Bukan Lagi Kita” nyanyian Nadeera dan “Diam” oleh Hael Husaini — kini boleh distrim dalam versi AJL mereka bermula 1 Mei 2025 di semua platform digital utama. Rocketfuel menjanjikan lebih banyak kejutan menarik yang bakal diumumkan tidak lama lagi, sekaligus mengekalkan momentum kejayaan mereka sepanjang tahun ini.