LAGU TERBAHARU AMIR SISI BERTAJUK ‘AYAH IBU’

Bagi ramai yang tidak mengenali adik Amir Sisi, beliau merupakan penyanyi cilik berusia 13 tahun yang berasal dari kawasan pedalaman Gerik, Perak. Amir memulakan perjalanan kariernya menerusi sebuah program realiti TV ‘The Chosen One’ Musim Pertama dan bakat Amir mula digilap merusi gandingannya bersama jurulatih yang juga merupakan seorang penyanyi iaitu Putera Muhammad dari kumpulan MADAM. Gandingan dan keserasian mereka ternyata memberi aura yang positif, ini terbukti apabila hampir setiap minggu Amir berjaya memukau hati juri dengan nyanyiannya yang merdunya. Jelas sosok tubuh kecil yang berbakat besar ini mempunyai pembawakannya yang tersendiri dan sering memberi kelainan dalam setiap persembahannya.

Kali ini, diberi peluang untuk bekerjasama dengan komposer terkenal Ikhwan Fatanna untuk single sulung beliau yang bertajuk, Ayah Ibu. Lagu ini mengisahkan tentang pengorbanan ayah dan ibu dalam membesarkan anak-anak. Mesej yang ingin disampaikan dalam lagu ini juga sangat dekat dengan kehidupan Amir dari pedalaman.  Single yang pertama ini juga merupakan hadiah daripada  Rocketfuel Entertainment untuk Amir di atas kemenangan beliau dalam program realiti tersebut. Proses rakaman lagu ini juga agak mencabar memandangkan Amir masih lagi bersekolah dan tinggal di kawasan pedalaman yang agak jauh dari Kuala Lumpur.

Menurut En. Prem Anand, selaku Vice President Rocketfuel Entertainment, “Kami telah menyedari potensi Amir semenjak kemunculan pertama Amir dalam sebuah program realiti, dan pihak kami terus mengikuti perkembangannya sehingga tamat program. Apabila Amir dinobatkan sebagai Juara, kami merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk terus membantu mengembangkan bakatnya. Amir juga merupakan salah seorang artis rakaman di bawah naungan syarikat pengurusan Rocketfuel Entertainment. ”

Bagi Amir pula, “Amir rasa sangat gembira dan teruja dengan lagu ini sebab ini merupakan single pertama Amir. Terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan kepada Amir khasnya kepada ibu bapa, cikgu-cikgu dan rakan-rakan yang ada bersama sejak dari mula sehingga ke hari ini. Terima kasih juga kepada pihak Rocketfuel Entertainment kerana percaya dengan Amir dan memberikan peluang untuk menghasilkan lagu ini. Perasaan ini sangat sukar digambarkan dengan kata kata jadi Amir berharap agar lagu ini dapat memberi kesan yang baik kepada semua dan mesej yang disampaikan dapat diterima ramai. Teruskan memberi sokongan yang padu dan Amir berjanji akan sentiasa membanggakan ibu dan ayah Amir”.

Lagu ‘AYAH IBU’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

CATEGORIES
TAGS
2.7k
Whatsapp40.8k