‘Semesta’ Buah Tangan Terbaharu Adrianna Cinta


Rocketfuel Entertainment, label hiburan terkemuka di Malaysia, bersama-sama Sony Music Malaysia, menjalin kerjasama untuk mencipta runut bunyi untuk drama bersiri X-Changed. Drama ini menampilkan pelakon-pelakon terkenal seperti Arfie Shah (Khalif), Joey Long (Lilian), Dato’ Rosyam Nor (Yakob), dan Marisa Yasmin (Mariam).

Adrianna Cinta, penyanyi muda yang semakin mendapat perhatian, telah melancarkan single terbarunya bertajuk “Semesta”. Lagu ini mengisahkan tentang seseorang yang sedang mengalami perjalanan untuk mencari dan mengenali dirinya sendiri, sambil dihadapkan pada pilihan besar dalam hidup yang menimbulkan tekanan emosional.

“Semesta menceritakan kisah seseorang yang mengalami krisis dengan dirinya sendiri, sering merasa sedih dan menangis di waktu malam, dan berharap semua akan berakhir saat matahari kembali menyinari. Dia berharap agar semesta akan membimbing hidupnya,” jelas Adrianna.

Adrianna juga menceritakan cabaran utama dalam proses penulisan lagu ini, di mana dia perlu menentukan naratif utama yang perlu ditonjolkan dan cara cerita tersebut disampaikan. Setelah menerima skrip dari drama “X-Changed”, Adrianna membuat keputusan untuk menulis tentang karakter utama yang mengalami krisis identitas dan emosi, termasuk dalam konteks kemurungan.

Menurut Adrianna, proses penulisan lagu “Semesta” berjalan dengan cepat dan lancar. Dia berterima kasih kepada Farouk Roman, komposer lagu ini, yang memberikan bantuan besar dalam menghasilkan lagu yang bermakna ini. Menariknya, Adrianna hanya memerlukan waktu 30 minit untuk merakamkan lagu ini di studio, menjadikan proses rakaman ini salah satu yang paling pantas dalam pengalamannya.

Lebih istimewa lagi, runut bunyi untuk drama bersiri X-Changed ini bukan sahaja mempunyai versi Bahasa Melayu namun ianya turut mempunyai versi Bahasa Mandarin berjudul 迷雾 (Fog) yang dinyanyikan Joey Leong yang merupakan salah seorang pelakon untuk drama bersiri ini.

Menurut Joey, cabaran utama dalam merakam lagu ini adalah bagaimana beliau mahu menyampaikan lagu ini dari wataknya sendiri, Lilian.

“Saya perlu mengambil sedikit masa untuk mendapatkan emosi yang betul sebagaimana saya gambarkan penceritaan lagu dan juga keseluruhan drama bersiri ini.”

Joey juga menyatakan beliau hampir menitiskan air mata kerana lirik dan lagu tersebut sangat dekat dengan dirinya. Selain itu, beliau berasa sangat gembira kerana pihak produksi telah memilihnya untuk menyanyikan lagu ini.

“Saya merasakan lagu ini sangat istimewa. Jadi, saya sangat-sangat berterima kasih kepada pihak produksi kerana memilih saya untuk menyanyikan lagu ini.” kata Joey.

Sepanjang pembikinan lagu ini juga segala-galanya turut mudah dan kerjasama bersama Farouk Roman memudahkan lagi proses rakaman yang dilakukan dalam versi Mandarin.

Untuk makluman, lagu Semesta & 迷雾 (Fog) bakal dilancarkan pada 28 Jun 2024 dan juga boleh dimuat turun melalui iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKbox, Spotify, YouTube dan YouTube Music pada hari yang sama. Manakala, lirik video Semesta dari Adrianna Cinta akan ditayangkan secara rasminya pada 28 Jun 2024 bermula jam 9 Malam pada saluran YouTube Adrianna Cinta Vevo dan Fog dari Joey Leong pada saluran YouTube Rocketfuel Entertainment.

CATEGORIES
TAGS
Share This