Tag: sukan

  • AEON BERKOLABORASI DENGAN MAMEE UNTUK PERHEBATKAN PILIHAN PRODUK KEMPEN AEON X DAEBAK

    KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2022 – Melalui kempen AEON x DAEBAK, AEON CO. (M) BHD. (AEON) bekerjasama dengan MAMEE-DOUBLE DECKER DISTRIBUTION (M) SDN BHD bahagian MAMEE FOOD SERVICE untuk mengeluarkan rangkaian produk makanan untuk AEON Delicatessen. Kerjasama itu dilancarkan di AEON Lounge Mid Valley di Kuala Lumpur.

    Majlis tersebut dihadiri oleh Azidah Alimuddin, Ketua Bahagian Makanan AEON dan Jennifer Chee, Pengarah MAMEE FOOD SERVICE. Turut hadir ialah wakil pengurusan daripada kedua-dua belah pihak dan media.

    Menurut Azidah, “Kami berbesar hati kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan MAMEE, iaitu jenama snek tempatan terkemuka yang dikenali dengan pelbagai rangkaian produk. Melaluinya, AEON dapat menawarkan lebih banyak pilihan makanan yang mudah dan cepat kepada pelanggan, di samping mengekalkan citarasa Korea dalam rangkaian produk ini. “Demografi pelanggan kini semakin dinamik dan ini mempengaruhi permintaan mereka. Oleh yang demikian, AEON mengambil inisiatif untuk memperkayakan lagi pilihan dengan kolaborasi bersama MAMEE agar pelanggan AEON boleh menikmati aneka makanan ala Korea,” katanya.

    Kolaborasi antara AEON dan MAMEE ini bertujuan menggiatkan lagi pertukaran budaya makanan Korea di AEON Delicatessen. Pilihan makanan ini bertumpu kepada produk-produk yang ditawarkan di Delicatessen dan La Boheme seperti Pita Ayam Bulgogi Spice + Pita Ayam Kimchi (1set), Sosej Jagung Mini, Peha Ayam Suku BBQ Kogi, Set Ayam Korea, K-Spiced Sup Oden, Ban Ayam Kimchi, Ban Ayam DAEBAK dan Piza Ayam DAEBAK 1⁄6.

    Produk-produk ini boleh didapati di semua outlet AEON Delicatessen dan La Boheme di AEON mulai 3 Oktober 2022 dan AEON BiG mulai 17 Oktober 2022.

    Jennifer Chee pula berkata, “MAMEE FOOD SERVICE berbangga kerana dapat bekerjasama dengan peruncit gergasi seperti AEON untuk memperkenalkan lebih banyak pilihan makanan berasaskan Korea kepada peminat Mamee serta pelanggan AEON. Yang lebih menarik, konsep produk yang ditawarkan oleh kedua-dua pihak adalah makanan yang ringkas dan boleh terus dimakan. Maka, kolaborasi ini menjadi lebih menarik dan seterusnya mampu menggamit peminat Mamee untuk menikmati tawaran di AEON Delicatessen ini.”

    Majlis pelancaran itu turut dimeriahkan dengan aktiviti bersama pengunjung.

    Kolaborasi AEON dan Mamee ini sudah pastinya memberi senyuman kepada pelanggan AEON untuk mencuba pilihan produk ala Korea semasa kempen AEON x DAEBAK ini. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan lagi keupayaan AEON untuk menawarkan lebih banyak pilihan produk merangkumi pastri, set makanan, dan banyak lagi di semua cawangan AEON dan AEON BiG di seluruh negara.

  • MAJLIS AMAL NOSTALGIA LAGENDA DI KELAB GOLF DIRAJA PERAK PADA 15 OKTOBER 2022

    Wabak Covid 19 global mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap industri hiburan pada tahun 2020, apabila semua acara seni dihentikan atas sebab keselamatan dan kesihatan. Ramai artis terjejas teruk. Ada yang terpaksa menjual alat muzik mereka untuk terus hidup, manakala yang lain sakit atau terkorban.

    Walaupun kerajaan sudah membuka semula sektor hiburan pada awal penamatan PKP bagi membolehkan para artis dan penggiat seni meneruskan pencarian pendapatan dan pelbagai inisiatif digiatkan oleh agensi kerajaan dan NGO seperti Karyawan sudah tentu ia ambil masa agak lama untuk menstabilkan keadaan sosio-ekonomi mereka.

    Perkara ini amat menyentuh perasaan semua termasuk pengasas acara ini, YM Dr Raja Putra Shah, lebih-lebih lagi apabila terbaca artikel di media sosial mengenai keadaan artis legenda, Fredo dan Shuib  serta pihak yang terlibat di industri hiburan yang lain yang turut terkesan. YM Dr. Raja Putra Shah yang telah bertahun lamanya mengenali Datuk Freddie Fernandez, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, telah menghubungi beliau dan mencetuskan idea acara majlis amal ini.

    YM Dr. Raja Putra Shah sememangnya tidak asing lagi dalam pengendalian program muzikal kerjasama dengan RTM dan TV3 dan berpengalaman terlibat dalam 2,000 program termasuk beberapa program dengan artis antarabangsa. Beliau yakin gabungan bersama Karyawan menerusi kolaborasi strategik ini mampu menjayakan malam amal yang dijenamakan sebagai Nostalgia Lagenda yang bertujuan meraih dana untuk artis yang terkesan.

    Kenapa pencetus idea memilih empat artis lagenda ini, iaitu Shuib, Fredo, Jay Jay dan Zur Eda? Mereka merupakan artis seangkatan yang pernah popular dengan lagu hits masing-masing pada era 80’an. Kenangan Lalu nyanyian Fredo Flybaits, Mulanya Di Sini nyanyian Shuib Freedom, Rindu Bayangan nyanyian Jay Jay Carefree and Pelitaku nyanyian Zur Eda sememangnya membawa kenangan nostalgia dan menggamit memori kepada ramai di kalangan kita, rakyat Malaysia tidak kira bangsa. Keempat-empat artis lagenda ini pernah dan sentiasa menjadi idola dan sumber inspirasi menerusi kehebatan suara, keasyikan melodi dan keindahan lirik yang membekas di dalam hati para pendengar sehingga kini.

    Majlis amal yang dijangka dihadiri oleh 600 hadirin di mana majoritinya merupakan para usahawan tempatan, syarikat GLC dan agensi penyokong industri keusahawan negara ini juga mampu menarik minat mereka memberi peluang kepada para artis legenda ini mengadakan persembahan di majlis-majlis korporat dan sosial anjuran organisasi mereka dan rangkaian niaga mereka.

    Kolaborasi majlis amal ini bukan sahaja bermula dan berakhir sulung di Kelab Golf DiRaja Perak tetapi akan diteruskan di bawah jenama Nostalgia Lagenda menerusi perjanjian kerjasama antara Persatuan Karyawan Malaysia dan syarikat pengurusan acara, Nerv Global Sdn Bhd dengan pelantikan YM Dr. Raja Putra Shah selaku penasihat acara.

    Majlis amal ini yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 15 Oktober 2022 di Kelab Golf DiRaja Perak (Royal Perak Golf Club) amat istimewa dengan kehadiran eksklusif Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak. Tuanku telah berkenan untuk menghadiri majlis ini setelah pihak kami mengadap Tuanku bagi mencadangkan dan memohon perkenan jemputan pada 9 Ogos 2022. Di kesempatan majlis amal ini, kami juga bakal memberi penganugerahan kepada 10 penerima Anugerah United Entrepreneurs Awards (UEA) berdasarkan rekod kecemerlangan dalam menyokong ekosistem keusahawanan nasional. Pemilihan penerima anugerah berprestij tinggi ini dilaksanakan oleh Panel Penasihat yang dianggotai oleh empat Presiden NGO Keusahawan dan dipengerusikan oleh seorang Profesor Kepimpinan, Perniagaan Keluarga, Inovasi dan Keusahawanan yang juga merupakan Pengarah Akademi Keusahawanan institusi pengajian tinggi tempatan yang tersohor.

    Kami juga akan menampilkan artis jemputan, Iqa Nasra, finalis Mentor 5 dan Datin Maylene Yong, ikon penggiat kerja-kerja amal, selain kumpulan Migos, pemuzik graduan Aswara bagi memeriahkan lagi persembahan pada malam amal tersebut.

    Dengan sukacitanya kami ingin mengajak para usahawan, individu mahupun syarikat swasta, syarikat GLC dan agensi keusahawanan, bersama menjayakan Majlis Amal Nostalgia Legenda pada 15 Oktober 2022 ini, dengan menderma sambil berhibur.

    Sesiapa yang berminat menaja, membeli meja atau tiket  boleh menghubungi Hotline 010 3839 335 atau Sekretariat di talian 016 867 1277 bagi pengesahan kehadiran.

    Walaupun kami tiada kuasa menghapuskan cabaran kesan pasca pandemik, sekurang-kurangnya kita mampu membantu artis dan penggiat seni tempatan dengan penuh bermakna. Majlis amal Nostalgia Lagenda mampu memberi aspirasi kepada umum bersandarkan gagasan #kitajagakita dan #keluargamalaysia

  • Pertandingan Badminton Tahunan Piala Hari Malaysia Yang Pertama Di Selayang Mall

    17 September 2022 – Di Selayang Mall, telah berlangsung kejohanan badminton Piala Hari Malaysia yang julung kali diadakan. Persatuan Badminton Selangor telah memberi kuasa kepada Warisan Batu P115 untuk menganjurkan acara ini, yang juga dianjurkan bersama oleh FSBA dan Warisan Batu P115.

    Ia mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada komuniti di sana. Pertandingan badminton ini menjadi lebih meriah kerana disertai oleh wakil dari pelbagai negeri.

    Selain itu, penganjur mempertandingkan pelbagai kategori dalam kejohanan tersebut yang menjadikan ia lebih rancak dan menyeronokkan.

    Seterusnya, terdapat sesi bersama Wakil Warisan Parlimen Batu pada jam 2:00 petang. Beliau merasmikan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang dan memberikan sepatah dua kata kepada para hadirin yang terlibat dalam acara itu.

  • 11 muka baharu sertai kem latihan pusat skuad Negara

    11 muka baharu sertai kem latihan pusat skuad Negara

    Sebelas muka baharu melengkapkan senarai 34 pemain hoki negara yang dipanggil mengikuti kem latihan pusat bagi membolehkan mereka dinilai untuk berada dalam kelompok 25 pemain kebangsaan bagi mengharungi musim 2020.

    Namun, apa yang mengejutkan apabila pemain berpengalaman seperti Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Faizal Saari, Fitri Saari, Nabil Fikri Mohd Noor dan Joel Van Huizen tidak tersenarai bagi mengikuti sesi latihan tersebut.

    Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata ketua jurulatih skuad lelaki negara, Roelant Oltmans mempunyai kriteria tersendiri dalam pemilihannya itu.

    “Sebelum senarai nama itu dikeluarkan hari ini, jurulatih Roelant telah bertemu dengan pemain. Perbincangan telah dibuat dan jelas jurulatih mempunyai kriteria tertentu untuk memilih pemain selepas perbincangan itu,” katanya pada sidang media pengumuman senarai 34 pemain di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.

    Sebelas muka baharu ialah penjaga gol, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri; tiga pemain pertahanan, Muhammad Firdaus Omar, Muhammad Nur Asyraf Ishak dan Muhammad Aminudin Mohd Zain.

    Tiga pemain tengah, Mohamad Faid Farhadh Mohamad Shah, Abdul Khalid Hamirin dan Shello Silveriusserta; empat penyerang iaitu Muhamad Hafiz Zainol, Muhammad Sufi Ismat Mr Rohulamin, Arif Sabron dan Muhammad Amirul Hanif Mamat.

    Pemain yang dipilih itu akan mula menjalani sesi latihan pada Isnin depan dan akan dinilai selama tiga minggu sebelum tersenarai sebagai 25 pemain kebangsaan serta tiga pemain tambahan akan turut dipilih oleh Oltmans untuk turut sama menjalani latihan bersama pasukan Malaysia.

    “Dalam tempoh tiga minggu, kami akan mengurangkan bilangan kepada 28 pemain. Ia akan menjadi peringkat terakhir bagi persediaan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah. Daripada 34 pemain, terdapat 11 pemain baharu yang bermain dengan baik dalam liga hoki (Liga Hoki Malaysia).

    “Dalam beberapa minggu pertama, mereka harus menunjukkan permainan yang berkualiti dan berpotensi untuk menjamin kedudukan dalam pasukan kebangsaan. Terdapat beberapa kriteria, satu daripadanya semangat juang dalam berpasukan. Mereka harus menunjukkan potensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Di situlah kami akan menilai mereka,” kata Oltmans.

    Senarai pemain yang akan menggalas tugas di kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak yang akan berlangsung pada 11 hingga 18 April ini hanya akan diketahui pada penghujung Mac ini.

    Berikut senarai 34 pemain dipanggil menjalani kem latihan pusat :

    Penjaga gol – Mohammad Hairi Abd Rahman, Adrian Andy Albert, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri, Muhamad Zaimi Mat Deris

    Pertahanan – Muhammad Razie Abd Rahim, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Muhammad Firdaus Omar, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran, Muhammad Nur Asyraf Ishak, Faiz Helmi Jali, Muhammad Najib Abu Hassan, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Muhammad Aminudin Mohd Zain, Muhammad Arif Syafie Ishak

    Tengah – Muhammad Marhan Mohd Jalil, Mohamad Ashran Hamsani, Mohamad Faid Farhadh Mohamad Shah, Meor Muhamad Azuan Hasan, Abdul Khalid Hamirin, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Shello Silverius, Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad

    Penyerang – Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Muhamad Hafiz Zainol, Muhammad Sufi Ismat Mr Rohulamin, Muhammad Haziq Samsul, Arif Sabron, Norsyafiq Sumantri, Muhammad Shahril Saabah, Firhan Ashaari, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Muhammad Noor Firdaus Rosdi, Muhammad Amirul Hanif Mamat — BERNAMA

  • COVID-19: Lembaga LOC beri komitmen penuh jayakan Sukan Olimpik Tokyo

    COVID-19: Lembaga LOC beri komitmen penuh jayakan Sukan Olimpik Tokyo

    Lembaga Eksekutif (EB) Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) hari ini menyatakan komitmen penuh untuk menganjurkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan jayanya, walaupun ketika wabak COVID-19.

    Lembaga itu dalam kenyataan memaklumkan mereka telah meneliti laporan mengenai semua langkah yang diambil setakat ini untuk menangani situasi virus korona itu yang diikuti dengan perbincangan menyeluruh.

    Ia juga menggalakkan semua atlet supaya terus membuat persiapan untuk acara pelbagai sukan terbesar di dunia itu yang dijadual berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos ini.

    “Pasukan petugas bersama sudah ditubuhkan pada pertengahan Februari melibatkan IOC, Tokyo 2020, tuan rumah bandar Tokyo, kerajaan Jepun dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). EB menghargai dan menyokong langkah-langkah diambil, yang merupakan bahagian penting dalam rancangan Tokyo untuk menjadi tuan rumah sukan yang selamat.

    “Kami akan terus mengikuti nasihat WHO sebagai agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu terkemuka dalam topik ini,” menurut EB yang turut berterima kasih kepada WHO atas kerjasama dan nasihat berharga yang berterusan,” katanya.

    IOC juga memuji perpaduan dan solidariti dalam kalangan atlet, Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan, Persekutuan Antarabangsa dan kerajaan-kerajaan atas kerjasama rapat dan fleksibiliti mereka terhadap persediaan Sukan Olimpik khususnya dalam acara kelayakan.

    “EB IOC menggalakkan semua atlet untuk meneruskan persiapan mereka bagi Sukan Olimpik ini. IOC akan terus menyokong atlet dengan menyediakan maklumat dan perkembangan terkini yang boleh diakses oleh atlet di seluruh dunia menerusi laman sesawang Athlete365,” katanya.

    Virus korona yang telah meragut lebih 3,000 nyawa itu menyebabkan pembatalan dan penundaan banyak acara sukan termasuk kelayakan Sukan Olimpik sejak Januari tahun ini.– BERNAMA

  • Mohd Azizulhasni layak acara pecut Olimpik Tokyo 2020

    Mohd Azizulhasni layak acara pecut Olimpik Tokyo 2020

    Pelumba berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang, melayakkan diri dalam satu lagi acara lumba basikal di Sukan Olimpik Tokyo 2020 Julai ini, selepas memperbaiki kedudukannya dalam ranking dunia Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

    Menurut ranking dunia terkini UCI itu yang dikeluarkan laman sesawang mereka www.uci.org, Azizul meningkat lima tempat ke kedudukan kelima terbaik dunia, dalam acara pecut individu selepas mengumpulkan 2,415 mata.

    ‘The Poket Rocketman’ berusia 32 tahun itu, sebelum ini telah layak ke Tokyo melalui acara kegemarannya ‘keirin’ selepas menduduki ranking kedua dunia, di belakang juara dunia, Harrie Lavreysen dari Belanda, apabila berjaya mengumpulkan 2,710 mata.

    Ini akan menjadi penampilan Mohd Azizulhasni kali keempat di Sukan Olimpik, selepas layak pada Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, di mana beliau memenangi pingat gangsa dalam acara keirin.

    Bagaimanapun seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom gagal untuk melayakkan diri ke Tokyo, selepas menduduki ranking ke-15 dalam acara pecut dan ke-40 bagi acara keirin selepas mengumpul masing-masing 1,687.5 mata dan 1,102 mata.

    Kejohanan Lumba Basikal Trek UCI 2020 di Berlin, German, merupakan kejohanan kelayakan Olimpik terakhir.

    Berdasarkan kepada format UCI, tujuh pelumba terbaik acara keirin dan pecut dalam ranking dunia UCI akan layak ke Sukan Olimpik.

    Sehingga kini 10 atlet Malaysia telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

    Mereka adalah Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik), Khairulnizam Mohd Khairulnizam Mohd Afendy (laser standard), Nur Shazrin Mohd Latif (laser radial), Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (international 470), dan Khairul Anuar Mohamad (memanah).

    Empat lagi merupakan atlet terjun iaitu Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal), Pandelela Rinong Pamg (10m platform) dan berpasangan dengan Leong Mun Yee dalam acara 10m seirama.– BERNAMA