Tag: #ZeppKL

  • Sumandak Stars Bersatu di Atas Pentas, Konsert Luar Biasa Gegar Zepp Kuala Lumpur

    Sumandak Stars Bersatu di Atas Pentas, Konsert Luar Biasa Gegar Zepp Kuala Lumpur

    Konsert ‘A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku‘ yang dianjurkan oleh Orange International Entertainment mencipta sejarah baru dengan menampilkan sembilan penyanyi wanita hebat dari Sabah, termasuk Marsha Milan, Azharina, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Bella Astillah, Salma, Ayu Damit, Didi Astillah, dan Wani Kayrie. Konsert yang diadakan di Zepp, Kuala Lumpur, semalam berjaya menarik ribuan peminat yang terpukau dengan persembahan luar biasa oleh artis-artis tersebut.

    Ketua Pegawai Eksekutif Orange International, Dato’ Mohd Fadzli Idrus, meluahkan rasa bangga atas kejayaan konsert ini. Beliau berkata, “Malam ini adalah bukti kepada kehebatan bakat-bakat kelahiran Sabah yang telah mencipta nama di industri muzik tanah air. Sambutan hangat daripada penonton adalah penghargaan terbesar untuk semua artis yang terlibat.”

    Konsert ini menyaksikan kesemua sembilan artis Sabah tersebut tampil bersama di atas satu pentas, mempersembahkan lagu-lagu dengan alunan suara yang memukau serta keunikan setiap gaya persembahan. Setiap lagu yang dipersembahkan penuh dengan emosi, hiburan, dan nostalgia, memberikan pengalaman yang tak terlupakan bagi para penonton yang hadir.

    Malam konsert dimulakan dengan persembahan energetik oleh semua artis menyanyikan lagu ‘Sumandak Sabah’, yang mendapat sorakan gemuruh daripada penonton. Wani Kayrie, dengan gayanya yang tersendiri, tampil menyanyikan lagu ‘Aiman Tino’ yang popular. Ayu Damit, yang mengingatkan penonton kepada kejayaannya sebagai juara ‘One In A Million’ musim kedua, mempersembahkan lagu ‘Hanya Di Mercu’. Marsha Milan pula mengagumkan penonton dengan lagu ‘Cinta’ yang meraih tempat kedua di Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36).

    Duo adik-beradik Bella dan Didi Astillah, yang mewakili generasi muda Sabah, turut tampil mempesona dengan lagu ‘Bermanja-manja’, sebelum Bella menyanyikan lagu hitsnya, ‘Tapi Bukan Denganmu’, dengan penuh emosi. Tidak ketinggalan, Nikki Palikat, Adira Suhaimi, dan Ayu Damit mempersembahkan lagu ‘Drama’ dengan penuh aksi yang mengagumkan.

    Salma, juara ‘Mentor’ musim ke-5, menghiburkan penonton dengan lagu ‘Aku Permata’, sebelum Adira meneruskan persembahan dengan lagu ‘Pujaan Hati’. Azharina, yang dikenali sebagai ‘Queen of Soul’, memukau dengan vokalnya yang kuat, menyanyikan lagu-lagu seperti ‘Rawan’, ‘Seandainya’, dan ‘Elegi Sepi’.

    Sebagai kejutan istimewa, semua artis bergabung di penghujung konsert untuk mempersembahkan medley lagu ‘Anak Kampung’ dan ‘Original Sabahan’, menciptakan suasana penuh keakraban dan nostalgia.

    Dato’ Fadzli juga menyatakan optimisme terhadap masa depan Orange International, berkata, “Kami akan terus mencari cara untuk memberikan hiburan yang berkualiti dan bermakna.” Konsert ini mendapat sambutan luar biasa, dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Norlidah, yang hadir dari Sabah bagi memeriahkan acara ini.

    Konsert ini juga disokong oleh Kementerian Pelancongan Seni & Budaya dan dirancang untuk diteruskan ke Sabah pada tahun depan. Dato’ Fadzli menambah, “Kami merancang untuk mengadakan lebih banyak acara yang menggabungkan artis-artis dari pelbagai latar belakang dan genre, untuk memberikan pengalaman muzik yang pelbagai kepada peminat di seluruh negara.”

    Kejayaan konsert ini sekali lagi membuktikan komitmen Orange International Entertainment dalam menyediakan platform untuk muzik berkualiti serta menyatukan rakyat Malaysia dan serantau melalui seni. Tahniah kepada semua artis dan pasukan yang terlibat dalam menjayakan acara yang luar biasa ini!

  • TBA bakal beraksi buat kali pertama di Malaysia November ini

    TBA bakal beraksi buat kali pertama di Malaysia November ini

    Trio popular Indonesia, TBA yang dahulunya dikenali sebagai Coboy Junior dan CJR dibawakan buat kali pertamanya untuk beraksi di Malaysia pada November ini.

    Kehadiran TBA yang dianggotai Teuku Ryzki, Bastian Steel dan Alvaro Maldini dibawakan oleh gandingan penganjur Ikarl Project dari Malaysia dan Evb Group dari Singapore serta mendapat sokongan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama), manakala Emina Cosmetic Malaysia pula selaku penaja.

    Konsert sulung TBA yang popular menerusi lagu U-Uh ini akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 29 November nanti.

    Trio ini meniti populariti menerusi genre pop dan persembahan bertenaga ketika dikenali sebagai Coboy Junior dengan anggotanya Ryzki, Iqbaal, Bastian dan Aldi.

    Mereka popular dengan lagu seperti Kamu pada 2011, Eeaaa (2012) dan Kenapa Mengapa (2012).

    Penganjur berkata, mereka meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa peminat akan disajikan dengan persembahan hebat, bertenaga dan dinamik daripada TBA.

    “Kami sememangnya teliti dalam pemilihan artis untuk dibawa ke Malaysia. TBA adalah pilihan yang tepat memandangkan mereka mempunyai kualiti persembahan yang bermutu dan hebat.

    “Menerusi konsert ini nanti, TBA akan mempersembahkan koleksi lagu-lagu hit serta beberapa lagu baru yang belum pernah didendangkan sebelum ini.

    “Peminat akan dihiburkan dengan persembahan yang memukau, menjadikan malam itu pengalaman yang tidak boleh dilepaskan,” katanya.

    Istimewanya hari ini penganjur menerbangkan khas Teuku Ryzki dari Indonesia untuk sesi ramah mesra dan temubual bersama media Malaysia.

    Selain TBA peminat juga akan disajikan dengan persembahan UN1TY dan artis tempatan, Syaffiq Sahli.

    Pada awalnya, penganjur memilih
    Amir Hariz yang popular menerusi lagu Peluang Kedua untuk ditampilkan dalam konsert ini. Poster juga sudah dikeluarkan.

    Bagaimanapun kesilapannya memuatkan aktiviti membuang kucing menerusi TikTok membuatkan dia menerima kecaman daripada peminat dan Persatuan Pencinta Kucing.

    Kesan daripada kecaman ini turut terkena tempiasnya pada TBA sehingga ada peminat mengecam mereka kerana memilih Amir Hariz.

    Justeru keputusan muktamad diputuskan penganjur dengan mengugurkan Amir Hariz dan menggantikannya dengan Syaffiq Sahli.

    Maklumat mengenai pembelian tiket untuk menonton Konsert TBa didapati di http://evb.ubertickets.asia.

  • Konsert Memukau! Tujuh Gitaris Tempatan Bakal Mengadakan Konsert di Zepp Kuala Lumpur

    Persembahan yang mempersonakan iaitu Konsert ‘TUJUH VIBRATO GITAR’ di Zepp Kuala Lumpur pada 3 November 2023 akan menggemparkan penonton dengan persembahan tujuh gitaris hebat tempatan. Mereka, termasuk Jo Branko, Kidd Search, Man Keedal, Shah Slam, Jemboo Def Gab C, Muzza, dan Anis Kalisa, akan membawakan muzik dengan penuh semangat. Mereka akan disertai oleh pemain bass (Rozaimie), keyboard (Adi Yamin), dan drum (Ainoll) yang mahir, sementara vokal yang mengasyikkan akan ditampilkan oleh penyanyi latar pro, Izzat dan Baby. Pastikan anda hadir untuk pengalaman muzik yang menggetarkan jiwa!

    TUJUH VIBRATO GITAR akan menampilkan 3 orang penyanyi berkarisma sebagai vokalis utama iaitu penyanyi bersuara lantang, Dato’ Hattan, vokalis rock legenda Muss dan vokalis kumpulan rock Kristal, Lan Solo. Mereka akan mempersembahkan lagu lagu rock klasik dan kontemporari dari himpunan karya hebat muzik rock tempatan.

    Apa yang akan menjadi cabaran dan tumpuan di konsert ini nanti adalah bagaimana tujuh orang gitaris dan tiga orang vokalis berkolaborasi dalam sebuah konsert rock. Susunan muzik untuk setiap lagu yang dipersembahkan digubah semula untuk menepati konsep tujuh gitaris. Persefahaman, kemahiran dan keserasian ketujuh[1]tujuh gitaris di pentas akan teruji, tambahan pula kebanyakan lagu yang dipersembahkan bukanlah lagu yang biasa dimainkan sebelum ini. Setiap lagu adalah satu eksperimentasi. Secara teknikal, koordinasi untuk menempatkan tujuh gitaris, tiga pemuzik, tiga vokalis, dua penyanyi latar dan peralatan lain di atas satu pentas adalah satu cabaran kepada pihak penerbitan.

    TUJUH VIBRATO GITAR akan menjanjikan kepuasan deria para penonton dengan alunan bunyi petikan gitar solo mahupun harmoni dari para gitaris selain dari lontaran vokal dari barisan penyanyi rock terbaik. Ketika ini, mereka sedang menjalankan latihan secara intensif untuk memberikan persembahan yang ‘all out’. Para penonton juga akan berpeluang mendengar beberapa ‘masterpiece’ dari gitaris yang akan memainkan petikan gitar solo mereka yang ikonik.

    TUJUH VIBRATO GITAR pasti akan menghidangkan kelainan kepada para pendengar terutamanya para peminat instrumen gitar dan para peminat tujuh orang gitaris tersebut, juga tiga orang vokalis utama yang ditampilkan. Ia akan menjadi sebuah persembahan yang padat, dinamik, unik dan memberi kepuasan yang tidak dapat diperolehi dari mana mana persembahan sebelum ini.

    TUJUH VIBRATO GITAR dibawakan kepada anda oleh Big Stage Entertainment Channel sebagai Penganjur dan Anggerik Event Sdn Bhd sebagai Penganjur Bersama. Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, sila layari www.tix-box.com

    Cat 1 Rock Zone (berdiri) RM 188.00

    Cat 2 Normal Seats (bernombor) RM 278.00

    Cat 3 Premium Seats (bernombor) RM 338.00

    Cat 4 VIP Box (8 pax/box) RM 5,000.00

  • SERTAI FIERSA BESARI DI ZEPP KL PADA 12 OKTOBER 2023 UNTUK PENGALAMAN KONSERT ‘GALAU’ YANG UNIK

    Fiersa Besari, musikus, penulis, dan pengaruh media sosial yang berjaya, telah memikat penonton bukan hanya dengan melodi yang memukau tetapi juga dengan puisi-puisi yang mendalam. Ciptaannya bukan sekadar hiburan; ia menjadi sumber inspirasi yang menyentuh hati peminatnya, membentuk hubungan melalui keindahan seninya.

    Lahir di Bandung, Indonesia, Fiersa, pada usia 39 tahun, merupakan simbol kreativiti seni yang digerakkan oleh ketulusan dan integriti dalam karya seninya. Karisma uniknya meletakkannya dalam kelas tersendiri sebagai penghibur yang menyentuh hati dan minda.

    Dalam pengumuman terkini, Fiersa Besari akan mengadakan konsert istimewa pada 12 Oktober di Zepp KL. Acara ini dijangka menjadi pengalaman yang tak terlupakan bagi semua peminat seninya. Konsert ini akan mempertemukan beliau dengan peminat-peminatnya dalam satu acara yang penuh emosi dan kreativiti.

    Kemunculan kedua Fiersa, selepas kejayaan penampilan sulungnya di pentas yang sama tahun lalu bakal membawa peminat mengembara ke sebuah persembahan yang sarat nuansa nostalgia dan apresiasi terhadap karya puitisnya.

    Fiersa berkata, konsert tunggalnya itu akan membawa peminat mengimbau perjalanan karier seninya sepanjang 14 tahun menerusi pilihan lagu yang membantu memperkasakan namanya dalam industri muzik Nusantara.

    “Ia termasuk lagu pilihan peminat yang jarang saya bawakan dalam persembahan pentas biasa, Curahan idea dan pembabitan semua dalam menjayakan konsert ini sangat memberi erti buat saya.

    “Secara peribadi, konsert ini sudah lama saya dan mungkin juga anda semua nanti-nantikan. Bertahap, kita jadikan konsert ini sebagai perjalanan indah kita bersama,” katanya.

    Untuk penampilan terbarunya di Zepp KL nanti, Fiersa tidak bersendirian, sebaliknya dia turut ditemani dua penyanyi muda berbakat besar yang sedang mencipta pengaruh tersendiri iaitu Feby Putri dan Aisha Retno.

    “Kemunculan dua penyanyi hebat ini membangkitkan lagi keterujaan saya untuk beraksi di pentas Zepp KL nanti. Saya sudah tidak sabar lagi untuk berkongsi pentas dengan penyanyi berkarisma seperti Feby dan Aisha.

    “Kembali ke Kuala Lumpur dan dapat berdiri di hadapan peminat adalah penghargaan terbesar buat saya. Sokongan tidak berbelah bahagi dan keterujaan peminat memberikan saya inspirasi untuk mempamerkan persembahan yang tidak mungkin dilupakan,” katanya bersemangat.

    Dengan lontaran vokal yang sarat emosi dan jiwa, Fiersa bakal mengheret emosi penonton untuk ‘galau’ bersama dengan pilihan 18 lagu popular menerusi keunikan gabungan muzik pop indie, folk dan alternatif yang membentuk identiti nyanyiannya.

    Pastinya himpunan lagu yang pernah mendaki carta popular seperti April, Waktu Yang Salah dan Celengan Rindu, Fiersa bakal melarutkan emosi peminat dengan keindahan karya yang mempertahankan namanya sebagai pemuzik.

    “Setiap lagu akan saya bawakan dengan sepenuh hati kerana saya mahu konsert Pertunjukan Tunggal Fiersa Besari Berjalan Mundur nanti membekas pengalaman bermakna buat peminat.

    “Janji saya akan ada kejutan dan kelainan pada susunan muzik dalam beberapa lagu kegemaran ramai, namun jati diri Fiersa sebagai penyanyi dan pemuzik tidak sesekali dipinggirkan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pemasaran Seraya Group, Intan Dhenisya Putri berkata, sebagai tanda penghargaan atas kesetiaan peminat Fiersa, mereka menawarkan diskaun eksklusif 30% bagi pembelian tiket menerusi www.ticket2u.com.my.

    Tiket boleh diperoleh pada harga RM159 (Runtuh), RM198 (Garis Terdepan), RM301 (Juara Kedua) dan RM3,403 (Rumah – VVIP Box untuk lapan orang).

    “Peminat hanya perlu menggunakan kod promo: “FIERSALIVEINKL” ketika membuat pembelian menerusi ticket2u.com.my untuk menikmati diskaun 30% yang ditawarkan.

    “Justeru, jangan lepaskan peluang hebat ini untuk menyaksikan persembahan Fiersa bersama Aisha dan Feby pada harga berhemat. Kami percaya kolaborasi istimewa ini menawarkan kembara pengalaman muzik melangkaui sempadan yang mempesonakan dan tidak terlupakan semua peminat,” katanya.

    Layari Instagram Seraya Live (@serayalive) dan saluran media sosial rasmi Fiersa Besari untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai konsert Pertunjukan Tunggal Fiersa Besari Berjalan Mundur.