SERTAI FIERSA BESARI DI ZEPP KL PADA 12 OKTOBER 2023 UNTUK PENGALAMAN KONSERT ‘GALAU’ YANG UNIK

Fiersa Besari, musikus, penulis, dan pengaruh media sosial yang berjaya, telah memikat penonton bukan hanya dengan melodi yang memukau tetapi juga dengan puisi-puisi yang mendalam. Ciptaannya bukan sekadar hiburan; ia menjadi sumber inspirasi yang menyentuh hati peminatnya, membentuk hubungan melalui keindahan seninya.

Lahir di Bandung, Indonesia, Fiersa, pada usia 39 tahun, merupakan simbol kreativiti seni yang digerakkan oleh ketulusan dan integriti dalam karya seninya. Karisma uniknya meletakkannya dalam kelas tersendiri sebagai penghibur yang menyentuh hati dan minda.

Dalam pengumuman terkini, Fiersa Besari akan mengadakan konsert istimewa pada 12 Oktober di Zepp KL. Acara ini dijangka menjadi pengalaman yang tak terlupakan bagi semua peminat seninya. Konsert ini akan mempertemukan beliau dengan peminat-peminatnya dalam satu acara yang penuh emosi dan kreativiti.

Kemunculan kedua Fiersa, selepas kejayaan penampilan sulungnya di pentas yang sama tahun lalu bakal membawa peminat mengembara ke sebuah persembahan yang sarat nuansa nostalgia dan apresiasi terhadap karya puitisnya.

Fiersa berkata, konsert tunggalnya itu akan membawa peminat mengimbau perjalanan karier seninya sepanjang 14 tahun menerusi pilihan lagu yang membantu memperkasakan namanya dalam industri muzik Nusantara.

“Ia termasuk lagu pilihan peminat yang jarang saya bawakan dalam persembahan pentas biasa, Curahan idea dan pembabitan semua dalam menjayakan konsert ini sangat memberi erti buat saya.

“Secara peribadi, konsert ini sudah lama saya dan mungkin juga anda semua nanti-nantikan. Bertahap, kita jadikan konsert ini sebagai perjalanan indah kita bersama,” katanya.

Untuk penampilan terbarunya di Zepp KL nanti, Fiersa tidak bersendirian, sebaliknya dia turut ditemani dua penyanyi muda berbakat besar yang sedang mencipta pengaruh tersendiri iaitu Feby Putri dan Aisha Retno.

“Kemunculan dua penyanyi hebat ini membangkitkan lagi keterujaan saya untuk beraksi di pentas Zepp KL nanti. Saya sudah tidak sabar lagi untuk berkongsi pentas dengan penyanyi berkarisma seperti Feby dan Aisha.

“Kembali ke Kuala Lumpur dan dapat berdiri di hadapan peminat adalah penghargaan terbesar buat saya. Sokongan tidak berbelah bahagi dan keterujaan peminat memberikan saya inspirasi untuk mempamerkan persembahan yang tidak mungkin dilupakan,” katanya bersemangat.

Dengan lontaran vokal yang sarat emosi dan jiwa, Fiersa bakal mengheret emosi penonton untuk ‘galau’ bersama dengan pilihan 18 lagu popular menerusi keunikan gabungan muzik pop indie, folk dan alternatif yang membentuk identiti nyanyiannya.

Pastinya himpunan lagu yang pernah mendaki carta popular seperti April, Waktu Yang Salah dan Celengan Rindu, Fiersa bakal melarutkan emosi peminat dengan keindahan karya yang mempertahankan namanya sebagai pemuzik.

“Setiap lagu akan saya bawakan dengan sepenuh hati kerana saya mahu konsert Pertunjukan Tunggal Fiersa Besari Berjalan Mundur nanti membekas pengalaman bermakna buat peminat.

“Janji saya akan ada kejutan dan kelainan pada susunan muzik dalam beberapa lagu kegemaran ramai, namun jati diri Fiersa sebagai penyanyi dan pemuzik tidak sesekali dipinggirkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemasaran Seraya Group, Intan Dhenisya Putri berkata, sebagai tanda penghargaan atas kesetiaan peminat Fiersa, mereka menawarkan diskaun eksklusif 30% bagi pembelian tiket menerusi www.ticket2u.com.my.

Tiket boleh diperoleh pada harga RM159 (Runtuh), RM198 (Garis Terdepan), RM301 (Juara Kedua) dan RM3,403 (Rumah – VVIP Box untuk lapan orang).

“Peminat hanya perlu menggunakan kod promo: “FIERSALIVEINKL” ketika membuat pembelian menerusi ticket2u.com.my untuk menikmati diskaun 30% yang ditawarkan.

“Justeru, jangan lepaskan peluang hebat ini untuk menyaksikan persembahan Fiersa bersama Aisha dan Feby pada harga berhemat. Kami percaya kolaborasi istimewa ini menawarkan kembara pengalaman muzik melangkaui sempadan yang mempesonakan dan tidak terlupakan semua peminat,” katanya.

Layari Instagram Seraya Live (@serayalive) dan saluran media sosial rasmi Fiersa Besari untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai konsert Pertunjukan Tunggal Fiersa Besari Berjalan Mundur.

 

CATEGORIES
TAGS
2.7k
Whatsapp40.8k