Filem Mat Kilau Bakal Menjadi Biopik Terhebat Alaf Ini
Syamsul Yusof yang merupakan seorang pengarah terkemuka dengan pelbagai hasil karya terkenal seperti Munafik 3 dan KL Special Force kini kembali dengan hasil buah tangan terbaharunya sebuah filem biografik epik berjudul Mat Kilau.
Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan terbitan Studio Kembara mengisahkan seorang pahlawan Melayu Mat Kilau bersama ayahandanya Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya bangkit menetang penjajahan British. Filem latar perjuangan tokoh pahlawan Melayu ini bukan sahaja menjadi tayangan penonton di pawagam tetapi ingin memaparkan kehebatan dan jati diri pahlawan dalam menyelamatkan negara untuk generasi masa kini.
Lakonan pelakon tanah air yang terkemuka turut menjadi tumpuan filem ini dengan menampilkan Datuk Adi Putra yang diberikan tanggungjawab memainkan peranan sebagai Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau.
Beliau turut digandingkan bersama-sama Wan Hanafi Su (Tok Gajah), Beto Kusyairi (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang), Johan As’ari (Yassin), Datuk Jalaluddin Hassan (Hj. Muhammad), Datuk Rahim Razali (Iman Bottoqh), Namron (Hj, Sulong), Shahruddin Thamby (Datuk Bahaman), Ellie Suriaty (Ibu Yassin) dan aktor aksi handalan Indonesia iaitu Yayan Ruhian sebagai Toga.
Beberapa negeri di Malaysia seperti Perak, Pahang, Melaka dan Selangor telah dijadikan sebagai lokasi penggambaran yang mengambil tempoh selama 100 hari dengan perbelanjaan kos sebanyak RM 8 juta.
Shahruddin Dali selaku penerbitnya berkata “Filem arahan Syamsul Yusof ini akan membawa kita kembali ke zaman tersebut untuk merasai kepayahan, keberanian, pengorbanan dan jiwa kepahlawanan yang ada dalam memperjuangkan tanah air kita. Ini adalah sebuah sejarah yang sangat memberi inspirasi. Sebagai penerbit, kami berharap seluruh masyarakat Malaysia menonton filem ini dan terhibur”.
Paparan Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan dihasilkan dalam suasana pada tahun 1892 sewaktu pihak kolonial British telah menjajah tanah-tanah di Pahang dan ditentang secara habis-habisan oleh Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya sehingga berlakunya pertempuran yang sengit.
Filem bergenre aksi tanpa henti melibatkan pengorbanan, keberanian dan kesatuan pahlawan-pahlawan Melayu untuk membebaskan tanahair tercinta akan menemui penonton di 90 pawagam seluruh negara bermula 23 Jun 2022.