GTA Holdings Meterai MoU Bersama Safran Helicopter Engines Asia, Sasar Peluang MRO Bernilai Tinggi Dan Tubuh Pusat HEART

GTA Holdings Berhad (GTA) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Global Turbine Asia Sdn. Bhd. (Global Turbine), telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Safran Helicopter Engines Asia Pte. Ltd. (SHEA) bagi meneroka pembangunan keupayaan pembaikan aksesori enjin helikopter khusus dan latihan teknikal di Malaysia.

Kerjasama strategik yang dipersetujui sempena lawatan rasmi Presiden Republik Perancis, Emmanuel Macron ke Malaysia ini meletakkan GTA pada kedudukan kukuh untuk menguasai peluang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bernilai lebih tinggi. Ia turut merangkumi potensi permintaan daripada cadangan pemerolehan empat buah helikopter Airbus tambahan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Berbekalkan pengalaman lebih 15 tahun menyokong enjin Makila 2A1 bagi armada H225M sedia ada TUDM sebagai Pusat Penyelenggaraan Bertauliah Safran, peluasan armada ini berupaya mewujudkan peluang MRO baharu sepanjang kitaran hayat enjin tersebut.

Tunjang utama kolaborasi ini adalah cadangan penubuhan Pusat Pembaikan & Latihan Aksesori Enjin Helikopter (HEART) di fasiliti Global Turbine di Malaysia. Pusat serantau khusus ini bakal menyokong pengendali helikopter Airbus berkuasa Safran di Malaysia dan rantau ini melalui pembaikan Unit Boleh Ganti Barisan Enjin (LRU) Tahap 4 serta latihan teknikal bertauliah. Di bawah rangka kerja ini, SHEA akan meneroka pemindahan pengetahuan dan prosedur teknikal pengeluar peralatan asli (OEM), manakala Global Turbine akan menilai pelaburan bagi kemudahan, bangku ujian serta pembangunan bakat tempatan.

Selain itu, kedua-dua pihak berhasrat mencadangkan inisiatif ini di bawah Program Kolaborasi Perindustrian (ICP) bagi memperkukuh kedaulatan industri pertahanan negara menerusi pemerkasaan kepakaran teknikal tempatan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif GTA Holdings Berhad, Dato’ Nonee Ashirin Dato’ Mohd Radzi berkata, cita-cita aeroangkasa negara perlu melangkaui pengendalian pesawat kepada penguasaan keupayaan perindustrian yang menyokongnya. Menurut beliau, kerjasama ini merupakan peluang strategik bagi membina perniagaan MRO serantau yang lebih mampan, menterjemahkan kepakaran global kepada keupayaan tempatan serta mencipta nilai jangka panjang buat industri dan pemegang saham sejajar dengan prinsip “Engineered By Trust”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *