Perdagangan Borong & Runcit Malaysia mencatatkan jualan tertinggi sejak 2013 bagi prestasi Mei dengan RM129.8 bilion, tumbuh 19.9 peratus dengan jualan melalui internet 25.9 peratus

Jualan Perdagangan Borong & Runcit Malaysia sekali lagi mencatatkan rekod baharu pada Mei dengan pertumbuhan 19.9 peratus tahun ke tahun untuk mencatatkan RM129.8 bilion, mengekalkan momentum dari Mac yang meningkat 9.8 peratus seperti dilaporkan oleh DOSM pada hari ini dalam penerbitan PRESTASI PERDAGANGAN BORONG & RUNCIT, MEI 2022. Laporan ini juga memaparkan statistik nilai jualan dan indeks volum bagi Perdagangan Borong & Runcit mengikut subsektor.

Dalam satu kenyataan pada hari ini, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, “Peningkatan bagi Perdagangan Borong & Runcit pada Mei disumbangkan oleh subsektor Perdagangan Runcit yang meningkat RM13.0 bilion atau 29.9 peratus kepada RM56.3 bilion. Perdagangan Borong juga Embargo: Hanya boleh diterbit atau disebarkan mulai pada jam 1200, hari Jumaat, 8 Julai 2022 berkembang dengan 11.7 peratus atau RM6.3 bilion kepada RM59.6 bilion. Dalam tempoh yang sama, Kenderaan Bermotor menokok 20.1 peratus atau RM2.3 bilion kepada RM13.9 bilion. Secara umumnya, peningkatan keseluruhan RM21.5 bilion atau 19.9 peratus dalam Perdagangan Borong & Runcit disebabkan oleh penarikan semula sekatan pergerakan yang dikenakan semasa pandemik Covid-19 yang membolehkan sambutan Hari Raya Aidilfitri disambut dengan meriah dan istimewa di seluruh negara. Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan Perdagangan Borong & Runcit meningkat 1.4 peratus disumbangkan oleh subsektor Perdagangan Runcit 5.1 peratus.”

Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, Ketua Perangkawan memaklumkan, “Pertumbuhan subsektor Perdagangan Runcit sebanyak 29.9 peratus pada Mei 2022 disokong oleh Jualan Runcit di Kedai Bukan Pengkhususan yang meningkat 36.3 peratus atau RM5.5 bilion kepada RM20.7 bilion. Kumpulan lain dalam subsektor ini turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu Jualan Runcit di Kedai Pengkhususan 30.8 peratus, Jualan Runcit Bahan Api Kenderaan 54.6 peratus, Jualan Runcit Barangan Isi Rumah 23.7 peratus, Jualan Runcit Makanan, Minuman & Tembakau 21.4 peratus, Jualan Runcit Barangan Kesenian & Rekreasi 20.1 peratus, Jualan Runcit Peralatan Informasi & Komunikasi 8.0 peratus, Jualan Runcit Bukan di Kedai, Gerai atau Pasar 27.0 peratus, dan Jualan Runcit di Gerai & Pasar 24.0 peratus. Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini meningkat 5.1 peratus. Sumbangan utama kenaikan ini direkodkan oleh Jualan Runcit Bahan Api Kenderaan dan Jualan Runcit di Kedai Pengkhususan masing-masing sebanyak 10.1 peratus dan 5.6 peratus.”

Mengulas lebih lanjut mengenai subsektor Perdagangan Borong, kenaikan 11.7 peratus disumbangkan oleh Jualan Borong Barangan Isi Rumah dengan peningkatan 22.1 peratus atau RM2.2 bilion kepada RM11.9 bilion. Antara kumpulan yang menyumbang kepada peningkatan ini ialah Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong 8.8 peratus, Jual Borong Bahan Mentah Pertanian & Haiwan Hidup 17.7 peratus, Jualan Borong Makanan, Minuman & Tembakau 7.4 peratus, Jualan Borong Jentera, Peralatan & Bekalan 10.1 peratus, Jual Borong Berdasarkan Kontrak atau Yuran 12.0 peratus, dan Perdagangan Borong Tanpa Pengkhususan 3.8 peratus. Bagi perbandingan bulanan, Perdagangan Borong meningkat 0.9 peratus. Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan dalam Jual Borong Bahan Mentah Pertanian & Haiwan Hidup dan Jualan Borong Jentera, Peralatan & Bekalan masing-masing sebanyak 4.0 peratus dan 2.0 peratus.

Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin turut menerangkan, “Pertumbuhan 20.1 peratus dalam subsektor Kenderaan Bermotor bulan ini disumbangkan oleh Jualan Alat Ganti & Aksesori Kenderaan Bermotor yang meningkat 34.3 peratus atau RM1.0 bilion kepada RM3.8 bilion. Ini diikuti oleh Jualan Kenderaan Bermotor, Penyelenggaraan & Pembaikan Kenderaan Bermotor, dan Jualan, Penyelenggaraan & Pembaikan Motosikal masing-masing sebanyak 9.3 peratus, 37.4 peratus dan 23.2 peratus. Bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor ini menjunam -9.6 peratus disebabkan oleh Jualan Kenderaan Bermotor yang merosot -16.7 peratus, berikutan industri ini terus terjejas ekoran kekurangan cip serta asas yang lebih tinggi yang dicatatkan pada Mac.” Ketua Perangkawan seterusnya memaklumkan, “Indeks jualan runcit melalui internet untuk Mei 2022 merekodkan pertumbuhan 25.9 peratus tahun ke tahun (April 2022: 24.9 peratus). Bagi pelarasan musim, indeks menurun -0.3 peratus berbanding bulan sebelumnya.” Bagi indeks volum, Perdagangan Borong & Runcit bagi Mei 2022 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 14.7 peratus. Ketua Perangkawan turut menerangkan bahawa pengembangan itu disumbangkan oleh Perdagangan Runcit dan Kenderaan Bermotor yang meningkat masing-masing 24.2 peratus dan 21.5 peratus. Perdagangan Borong juga mencatatkan pertumbuhan positif 3.1 peratus. Walau bagaimanapun bagi indeks volum pelarasan musim, ia jatuh -0.7 peratus bulan ke bulan.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022 dan Survei Ekonomi Tahunan 2022 (AES 2022) bermula 15 April sehingga 30 September 2022. DOSM amat menghargai kerjasama daripada responden yang terpilih untuk memberikan maklumat kepada DOSM serta menjayakan survei ini. Sila layari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut.

 

CATEGORIES
Share This