Jualan sektor Pembuatan Malaysia mencatatkan RM142.0 bilion dengan pertumbuhan sebanyak 15.7 peratus pada Mei 2022

Nilai jualan sektor Pembuatan Malaysia pada bulan Mei 2022 berjumlah RM142.0 bilion, tumbuh sebanyak 15.7 peratus berbanding bulan yang sama tahun 2021 (Carta 1). Jabatan Perangkaan Malaysia menerbitkan PERANGKAAN PEMBUATAN BULANAN, MALAYSIA, MEI 2022 hari ini.

Mengulas terhadap laporan tersebut, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, “Pertumbuhan nilai jualan pada bulan Mei 2022 adalah dipacu oleh subsektor Produk Peralatan Elektrik & Elektronik (24.9%) terutamanya dalam industri Pembuatan komputer, produk elektronik & optikal. Selain itu, pengembangan nilai jualan ini juga didorong oleh subsektor Produk Makanan, Minuman & Tembakau (20.3%) yang disokong oleh industri Pembuatan produk makanan dan subsektor Produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik (7.7%) terutamanya dalam industri Pembuatan kok & produk petroleum bertapis (Carta 2).”

Nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang sebanyak 73.9 peratus dari jumlah nilai jualan merekodkan peningkatan 17.2 peratus manakala industri berorientasikan domestik mencatatkan kenaikan 11.8 peratus pada Mei 2022 berbanding bulan yang sama tahun 2021. Pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport adalah selari dengan trend eksport perdagangan luar negeri serta faktor harga yang kekal memberangsangkan. Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport dan domestik masing masing menurun 2.2 peratus dan 8.8 peratus (Carta 3).

Ketua Perangkawan Malaysia berkata, “Jumlah pekerja sektor Pembuatan pada bulan Mei 2022 adalah seramai 2,296,686 orang, meningkat 2.7 peratus berbanding 2,236,459 orang pada Mei 2021. Peningkatan ini disumbangkan oleh Produk Peralatan Elektrik & Elektronik (5.2%), Produk Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain (3.4%) dan Produk Kayu, Perabot, Keluaran Kertas & Percetakan (2.7%).”

Laporan tersebut juga menyatakan jumlah gaji & upah yang dibayar adalah berjumlah RM7,787.1 juta, meningkat 5.0 peratus atau RM371.5 juta pada Mei 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Di samping itu, nilai jualan per pekerja meningkat 12.7 peratus kepada RM61,847 berbanding bulan yang sama tahun 2021 (Mei 2021: RM54,875). Sementara itu, purata gaji & upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,391 pada bulan Mei 2022.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2022, nilai jualan sektor Pembuatan bertambah 13.5 peratus kepada RM705.3 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2021. Bilangan pekerja mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus kepada 2.30 juta orang manakala gaji & upah meningkat 4.4 peratus kepada RM39.0 bilion. Nilai jualan per pekerja bagi lima bulan pertama tahun 2022 tumbuh 10.5 peratus dengan merekodkan RM307,088.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022 dan Survei Ekonomi Tahunan 2022 (AES 2022) bermula 15 April sehingga 30 September 2022. DOSM amat menghargai kerjasama daripada responden yang terpilih untuk memberikan maklumat kepada DOSM serta menjayakan survei ini. Sila layari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut.

DOSM juga menerbitkan statistik ekonomi dan sosial iaitu PocketStats yang mengandungi statistik suku tahunan dan tahunan yang boleh diperoleh dari portal DOSM atau melalui pautan https://bit.ly/PocketStatsS1_2022.

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k