Sinergi Nu Ideaktiv dan Astro: Meriahkan Komuniti dengan ‘Hello Kedah’
Penganjuran program “Hello Kedah” yang akan berlangsung pada 5 Julai 2024 di Perkarangan Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah, melibatkan sinergi kreatif antara Nu Ideaktiv sebagai rakan penganjur bersama Astro. Program ini bertujuan memupuk semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat serta mengukuhkan silaturahim dengan menyediakan platform untuk masyarakat berkumpul dan berinteraksi.
Masyarakat Kedah turut serta dalam program ini dengan menjadi vendor jualan makanan dan minuman, membuka peluang untuk penduduk Kedah menambah pendapatan sambil mempromosikan produk mereka. Vendor-vendor ini menawarkan pelbagai jenis makanan dan minuman tradisional serta moden yang terkenal di Kedah.
Program “Hello Kedah” juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat melalui penggunaan tenaga kerja tempatan untuk pengurusan dan pelaksanaan acara sepanjang program berlangsung. Ini memberi sokongan ekonomi kepada peniaga kecil dan sederhana di Kedah dengan menyediakan platform untuk mereka mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka, sekaligus mengukuhkan ekonomi setempat dengan menggalakkan penggunaan produk buatan tempatan.
Program ini menampilkan pelbagai aktiviti dan persembahan menarik yang sesuai untuk semua peringkat umur. Selain itu, pelancaran aplikasi SeeNI dan laman web baharu KLiiK akan dirasmikan, menarik perhatian ramai dan membawa manfaat besar kepada komuniti. SeeNI menggabungkan lebih dari 20 portal majalah terkemuka seperti NONA, RASA, Remaja, Media Hiburan, Mingguan Wanita, Keluarga, Impiana, dan banyak lagi, menawarkan hidangan konten dalam pelbagai format menarik, dari artikel, video, hingga konten audio.
Sementara itu, KLiiK adalah sebuah portal komuniti aktif yang menggerakkan pelbagai aktiviti untuk pengguna dalam talian, khususnya pengguna Ideaktiv. KLiiK menawarkan ganjaran tambahan, akses ke pertandingan, sampel percuma, acara, seminar, dan webinar yang menarik, semuanya di bawah satu portal.
Program Hello Kedah ini akan menunjukkan kepada komuniti terdapat pelbagai rancangan di Astro serta penyertaan komuniti dari portal majalah kekeluargaan, Makanan, New Gen & lelaki daripada Ideaktiv. Antara aktiviti yang berlangsung adalah senaman “Pound Stick“, Himpunan citi-cita Bintang Kecil, Pertandingan mewarna Bintang Kecil dan juga gunting rambut secara percuma di booth Ideaktiv.
Selain itu, program ini dirancakkan lagi dengan kehadiran selebriti tempatan seperti Hisyam Hamid, Sharifah Sakinah, Shiha Zikir, Naqiu, Sepahtu dan ramai lagi yang menjanjikan aktiviti yang penuh dengan kemeriahan. Penampilan Khas selebriti tempatan ini telah memeriahkan suasana dengan persembahan mereka dan juga pengunjung berpeluang berinteraksi dengan artis kegemaran mereka melalui sesi autograf dan bergambar.
Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Encik Syamil Fahim berkata, “Buat julung kalinya, kami diberi penghormatan untuk menganjurkan Siri Hello yang sememangnya sinonim dengan Astro dan kami gunakan kekuatan kami sebagai perantara komuniti untuk membentuk aktiviti dan program yang disediakan untuk Hello Kedah. Selain daripada menjadi usaha murni untuk mengeratkan hubungan antara komuniti setempat, kami cuba untuk memastikan setiap program Astro dan pengisian jenama-jenama Ideaktiv dipromosikan secara maksimum.
Hello Kedah ini juga dilihat sebagau medium untuk kami berinteraksi dengan warga Kedah dengan lebih dekat. Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Astro Marketing dalam menjayakan program ini, serta memperkenalkan aplikasi seeNI dan laman web baharu KLiiK yang akan memberikan kemudahan dan manfaat besar kepada penduduk Kedah. Sinergi antara Nu Ideaktiv dan Astro dalam menganjurkan program ‘Hello Kedah’ adalah contoh terbaik bagaimana dua entiti besar boleh bergabung untuk membawa manfaat kepada komuniti.”
Dengan ini, diharapkan program “Hello Kedah” akan menjadi satu acara yang dapat memberikan impak positif kepada masyarakat dan ekonomi tempatan.