STATISTIK TENAGA BURUH, MALAYSIA, MEI 2022

Pengangguran pada Mei terus menurun kepada 637.7 ribu orang mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 3.9 peratus, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini dalam keluaran Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Mei 2022. Perangkaan ini menggambarkan kedudukan buruh bulanan pembekalan berdasarkan Tinjauan Tenaga Buruh yang dijalankan oleh DOSM.

Mengulas prestasi keseluruhan bagi Mei 2022, Ketua Perangkawan berkata, “Pemulihan pasaran buruh pada Mei 2022 terus stabil seiring dengan pengoperasian penuh kesemua aktiviti ekonomi. Aktiviti ekonomi yang menggalakkan pada bulan tersebut mendorong kepada lebih banyak permintaan terhadap barang dan perkhidmatan, justeru memberi lebih banyak peluang kepada perniagaan bagi menjana semula pendapatan mereka. Pasaran buruh juga dilihat semakin berkembang susulan lebih banyak permintaan dan penawaran buruh berlaku dalam pasaran bagi menampung keperluan aktiviti ekonomi yang semakin meningkat. Justeru, kedudukan tenaga buruh pada bulan tersebut kekal kukuh dengan mencatatkan peningkatan bulan ke bulan dalam bilangan tenaga buruh iaitu sebanyak 0.2 peratus kepada 16.54 juta orang (April 2022: 16.50 juta orang). Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh pada Mei 2022 meningkat sedikit kepada 69.5 peratus (April 2022: 69.4%). Situasi ini didorong oleh pertumbuhan guna tenaga yang stabil manakala pengangguran terus menurun.”

Selanjutnya, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, “Bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada Mei 2022 iaitu sebanyak 0.3 peratus merekodkan 15.90 juta orang (April 2022: 15.85 juta orang). Sementara itu, bilangan penganggur pada bulan tersebut terus menurun dengan pengurangan sebanyak 1.8 peratus kepada 637.7 ribu orang (April 2022: 649.3 ribu orang). Oleh itu, kadar pengangguran pada bulan tersebut kekal pada 3.9 peratus.”

Mengulas lanjut mengenai kedudukan guna tenaga, Ketua Perangkawan berkata, “Komposisi terbesar penduduk bekerja adalah kategori pekerja dengan 76.2 peratus. Kategori ini mencatatkan peningkatan 0.2 peratus kepada 12.11 juta orang berbanding bulan sebelumnya (April 2022: 12.09 juta orang). Sementara itu, penduduk bekerja sendiri yang sebahagian besarnya terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja sebagai pengusaha perniagaan kecil seperti peruncit; penjaja; penjual di pasar dan gerai; serta pekebun kecil, juga semakin baik dengan pertambahan sebanyak 0.7 peratus merekodkan 2.74 juta orang (April 2022: 2.72 juta orang).”

Melihat kepada penduduk bekerja mengikut sektor ekonomi, sektor Perkhidmatan terus berkembang, terutamanya dalam aktiviti perdagangan Borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan makanan dan minuman. Begitu juga, guna tenaga dalam sektor pertanian, pembuatan dan pembinaan kekal positif, kecuali sektor perlombongan dan kuari, yang kekal negatif.

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada bulan tersebut, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, “Daripada jumlah penganggur, 83.7 peratus adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif. Kategori ini menurun sebanyak 1.6 peratus mencatatkan 534.0 ribu orang (April 2022: 542.9 ribu orang). Mengikut tempoh menganggur bagi penganggur aktif, 58.6 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.9 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun. Sementara itu, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia terus berkurang dengan penurunan sebanyak 2.5 peratus kepada 103.8 ribu orang (April 2022: 106.4 ribu orang).”

Pada bulan itu, kadar pengangguran bagi golongan muda berumur 15 hingga 24 tahun turun sebanyak 0.3 mata peratusan kepada 12.5 peratus. Sementara itu, jumlah belia yang menganggur telah menurun sebanyak 4.4% kepada 341.4 ribu orang (April 2022: 357.2 ribu orang). Begitu juga, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.3 mata peratusan kepada 7.4 peratus, dengan 475.7 ribu orang muda tidak bekerja (April 2022: 7.7 peratus ; 501.2 ribu orang).

Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan orang yang tidak berada dalam tenaga buruh pada Mei 2022 turun untuk kali kesepuluh berturut-turut, sebanyak 0.1%, kepada 7.26 ribu (April 2022: 7.27 juta orang). Kewajipan kerja rumah/keluarga kekal sebagai sebab paling biasa untuk keluar daripada tenaga buruh, menyumbang 42.2 peratus, diikuti oleh persekolahan/latihan (40.0 peratus).

Merumuskan kedudukan tenaga buruh, Ketua Perangkawan berkata, “Krisis kenaikan harga barangan komoditi yang berlaku dalam pasaran, secara tidak langsung memberi kesan terhadap pembangunan ekonomi Malaysia. Kenaikan harga barang akan membawa kepada inflasi yang akan menjejaskan pemulihan ekonomi negara. Di samping itu, Dasar Sifar COVID yang dilaksanakan oleh China telah menyebabkan kekurangan dan kelewatan pembekalan bahan, lantas menjejaskan pasaran global, terutamanya dalam sektor pembuatan. Walau bagaimanapun, pengoperasian kesemua sektor ekonomi dan aktiviti sosial dilihat sebagai faktor penyumbang kepada peningkatan permintaan tenaga buruh. Di samping itu, kemasukan buruh asing ke dalam negara bagi menangani kekurangan tenaga buruh dalam industri tertentu juga diramal sebagai elemen positif dalam memastikan pasaran buruh kekal stabil walaupun ianya akan membawa kepada lebih banyak persaingan dan pasaran buruh yang lebih mencabar. Oleh itu, pasaran buruh dijangka berada dalam momentum pemulihan yang positif dalam beberapa bulan akan datang, namun ini tidak mengambil kira kesan jangka panjang daripada tekanan inflasi di seluruh dunia.”

Papan pemuka Perangkaan Interaktif Pasaran Buruh Malaysia (MyLMID) menyediakan data siri masa serta maklumat pasaran buruh tambahan. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://mbls.dosm.gov.my/mylmid/ atau imbas kod QR di bawah.

Kajian Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 sedang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dari 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022, manakala Tinjauan Ekonomi Tahunan 2022 (AES 2022) sedang dijalankan. dari 15 April hingga 30 September 2022. DOSM berterima kasih atas penyertaan responden terpilih dalam memberikan maklumat kepada DOSM, serta kejayaan tinjauan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.dosm.gov.my.

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k