Konsert Dihadiri Sekitar 8,000 Orang The Rock Emperor Penang “Chapter Sukses, Wings Bakal Bawa Konsert Ke Pantai Timur”

Di Spice Arena di Bayan Baru, Pulau Pinang, kumpulan terkenal itu kembali ke rumahnya. Sekitar 8,000 peminat rock menikmati persembahan Wings yang mantap.

Aksi pembukaan konsert Wings The Rock Emperor Penang Chapter dengan persembahan ala teaterikal disambut dengan jeritan hangat peminat yang tidak sabar menanti persembahan kumpulan rock otai itu.

Apabila Datuk Awie, Eddie, Black, Edrie serta Syam melangkah masuk ke pentas utama, penonton semakin menggila dan Wings pun mula memacu langkah memulakan persembahan dengan lagu Romania, Jumpa Hilang dan Lubuk Pusing.

Deretan lagu popular seperti Bujang Senang, Bernafas Dalam Lumpur, Peronda Jaket Biru, Sayap Ilusi, Hukum Karma, Ingatkan Dia, Rantai, Nurnilam Sari, Opera Hidup, Awang Trasher dan Lipas Kudung membuatkan penonton tenggelam dalam kelunakan vocal memukau Awie yang dilengkapkan dengan persembahan muzik mengasyikkan semua anggota Wings.

Wings juga sempat memuatkan enam lagu popular iaitu Biarkan Berlalu, Intan Ku Kesepian, Belenggu Irama, Anugerah, Misteri Mimpi Syakilla dan Taman Rashidah Utama dalam sebuah persembahan medley.

Menariknya, Wings juga sempat membawakan lagu-lagu tribute yang mempopularkan nama Awie sebagai penyanyi solo iaitu Bara dan Dipenjara Janji yang turut dipersembahkan dengan lagu Like Hell, nyanyian asal kumpulan Loudness.

Wings juga tidak lupa untuk mendedikasikan untuk saudara di Palestin, Allah Allah Aghisna diiringi dengan doa ikhlas memohon kesejahteraan mereka di sana.

Dalam pada itu, kumpulan otai itu turut berkongsi bingkisan perancangan mereka untuk membawa Wings The Rock Emperor ke destinasi lain.

“Insya-Allah, kami mempunyai beberapa perancangan untuk membawa Wings The Rock Emperor ke destinasi lain. Setakat ini, semuanya dalam perancangan dan kini, kami sudah merisik dua lokasi di bahagian sana.

“Kami mahu datang dengan kelainan dan mempunyai perancangan untuk membawa Wings The Rock Emperor ke destinasi lain. Industri muzik kita sekarang meriah dengan konsert, tetapi banyak persembahan tertumpu di kawasan Lembah Klang. Jadi, kami memilih untuk menghiburkan peminat di lokasi lain.

“Jika tiada aral, konsert bakal berlangsung di Pantai Timur dan kami menjangkakan ia bakal menjadi kenyataan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Doakan semua perancangan kami untuk membawa The Rock Emperor ke destinasi lain berjalan lancar,” kata Awie.

Dihoskan oleh penyampai radio Kool 101, Haiza, Wings The Rock Emperor Penang Chapter adalah susulan kejayaan persembahan mega dengan konsep sama di Singapura dan Shah Alam.

CATEGORIES
TAGS
2.7k
Whatsapp40.8k