The Enchanted Night Majalah Nona Meraikan Kejayaan Wanita dan dikagumi dalam Pelbagai Bidang
Penganjuran majlis “The Enchanted Night” ini adalah untuk meraikan golongan wanita yang pernah diiktiraf dalam Nona Superwoman Award 2018 – 2022. Acara Nona Superwoman Award pernah diadakan sebanyak tiga kali pada tahun 2018, 2020 dan 2022 untuk memperkasakan golongan wanita di dalam pelbagai bidang, sekaligus menjadi inspirasi kepada wanita lain.
Nona merupakan portal yang mengangkat dan mengiktiraf kejayaan yang diperoleh golongan wanita di seluruh negara tanpa mengira latar belakang, etnik, bahasa, budaya, ekonomi sekalipun politik. Sinonim dengan motonya iaitu “Realiti Impian Wanita”, setiap Wanita mempunyai impian dan keinginan kerana dengan mencapainya mereka bahagia dan berjaya.
Perkembangan dunia pada masa kini dengan jelas menunjukkan bahawa wanita tidak hanya memainkan peranan utama dalam membentuk generasi akan datang, malah menjadi salah satu pendorong utama bagi kemajuan negara. Oleh karena itu, kejayaan, pencapaian, dan sumbangan wanita dalam berbagai bidang seperti politik, ekonomi, dan sosial sangat penting untuk mencapai kesejahteraan, kemajuan, dan kemakmuran negara yang lebih baik.
Majlis ini diadakan diadakan bukan sahaja untuk mengangkat kaum wanita yang berjaya dalam pelbagai bidang, malah ianya bertujuan menyuntik semangat kepada mereka yang ingin berjaya dan mengikut contoh idola mereka di mana Nona menjadi sumber rujukan kepada mereka ini. Nona percaya, wanita mampu menggalas tanggungjawabnya dengan cara tersendiri yang tidak terjangka, cuma ianya sering terselindung di sebalik lelaki.
Majlis yang diadakan di Zebra Square Kuala Lumpur ini juga bakal menyaksikan pelancaran rasmi kempen Nona No. 1 Inspirasi Wanita. Kempen Nona No.1 Inspirasi Wanita ini bertujuan untuk menjadikan Nona sebagai pemangkin kepada wanita-wanita untuk berjaya dalam bidang masing-masing.
Syamil Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd berkata, “Kuasa Wanita pada hari ini tidak dapat disangkal lagi, buktinya ramai daripada golongan wanita menjadi usahawan yang berjaya dan mereka ini mula menguasai bidang yang dulunya didominasi oleh kaum lelaki iaitu, politik, sukan, media, keusahawanan dan banyak lagi”. Tambah Syamil lagi, “wanita yang berjaya ini, akan menjadi sumber inspirasi dan perangsang kepada wanita lain untuk lebih berjaya. Golongan ini juga mampu menjana ekonomi setempat di samping dapat meningkatkan keterampilan, pengetahuan dan kesejahteraan.
Majlis The Enchanted Night yang ini diserikan dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu jemputan di kalangan wanita-wanita yang berjaya dalam bidang masing-masing seperti Datin Amyera, Nur Amirah, Datin Za Glow Glowing, Liza Hanim, Fouziah Gous, Ifa Raziah, Bellapark,
Puan Sri Syazara Aisha, Mawar Rashid, Dato’ Seri Vida dan Cik B, Dr. Soo Wincci, Rizman Ruzaini, Datin Ayu Roslan Bokitta dan ramai lagi.
Head of Business (Women) Kiffy Razak berkata, “Majlis ini diadakan sebagai usaha menyatukan wanita-wanita hebat daripada pelbagai bidang di Malaysia. Dengan adanya hubungan ini, Majalah Nona sebagai satu platform penanda aras wanita sukses dan media gaya hidup yang dipercayai dapat saling membantu satu sama lain serta membantu masyarakat melalui pelbagai program CSR.
Tambah Kiffy lagi, “Menyedari tiada lagi mana-mana platform wanita yang kukuh memperjuangkan pelbagai sisi positif wanita, tiga portal Nu Ideaktiv iaitu Nona, Mingguan Wanita dan Hijabista kini bergabung di bawah satu payung yang dikenali Segmen Wanita. Di sinilah tempatnya wanita dapat meluahkan perasaan, berkongsi kejayaan dan bergembira”.
Selain itu, Portal Majalah Bintang Kecil di bawah Nu Ideaktiv bakal menganjurkan salah sebuah program terkemukanya iaitu Bintang Kecil Mini Fest yang akan diadakan pada 19 dan 20 Ogos 2023 di Plaza Masalam, Shah Alam. Program yang bakal berlansung selama dua hari ini menghimpunkan kanak-kanak sekolah rendah yang berumur dari 7 – 12 tahun mempunyai pelbagai bakat, hobi, dan minat. Pelbagai aktiviti telah diaturkan antaranya, pertandingan Dewi Cilik, pertandingan bercerita dan mewarna, pertunjukan fesyen, seni mempertahankan diri dan pelbagai acara menarik lagi. Program ini dimeriahkan lagi dengan persembahan artis jemputan iaitu Mark Adam, Danial Chuer dan ramai lagi. Bintang Kecil Mini Fest ini dijayakan oleh PTPTN dan juga KARIHOME selaku penaja.