FIRDAUS RAHMAT MEMBERI KELAINAN VOKAL DALAM ‘SELAMA BERDUA’

Firdaus merupakan penyanyi, komposer dan penulis lirik sepenuh masa yang memulakan kariernya sebagai ahli kumpulan vokal selama setahun dan menghasilkan karya solo pertama pada 2019. ‘Selama Berdua’ kini telah bergema sebagai lagu runut bunyi bagi drama slot Lestary ‘Iskandar Chempaka’ yang telah mula ditayangkan di TV3 sejak 7 Mac lalu. Firdaus dipilih untuk membawakan lagu ini kerana bakatnya dalam menghasilkan karya lagu tidak dapat dinafikan apabila lagu karya ciptaannya, Kalam dan Waktu mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu edisi ke 38.

Lagu ’Selama Berdua’ dilihat bergandingan dan sesuai dengan drama ‘Iskandar Chempaka’ kerana kandungan yang seakan sama dengan liriknya. Lirik lagu ‘Selama Berdua’ menceritakan tentang luahan kasih sayang seseorang kepada kekasihnya yang mengharapkan keabadian cinta mereka untuk selama-lamanya walaupun ada ketika perlu menempuhi kesukaran hidup, akan tetapi dia sedar bahawa kehadiran kekasihnya membuatkan hidupnya sempurna.

Menurut Firdaus, “‘Selama Berdua’ bukanlah genre yang saya biasa nyanyikan kerana ia merupakan sebuah lagu genre balada. Sebenarnya, saya terkejut semasa diberikan kepercayaan untuk menyanyikan lagu runut bunyi bagi drama TV3 kerana saya tak pernah terfikir akan meneruskan karya ke arah genre R&B Balada yang sebenarnya agak lari dari arus muzik yang asalnya saya bawakan. Itulah cabaran utama saya. ”

“Saya rasa bersyukur dan teruja untuk membawakan lagu ini kerana lagu ini sendiri merupakan hasil cipta Omar K dan saya sendiri. Saya sudah bekerja dengan Omar K dan ini membuatkan perjalanan dalam menghasilkan lagu ini sehingga rakaman, berjalan dengan teratur. Sudah beberapa kali juga kami bekerjasama tetapi kali ini kami ingin mencipta kelainan dari segi pembawakan lagu ini kerana ia perlu dinyanyikan dengan tona suara yang lain daripada kebiasaan. Harapan saya semoga ;lagu ini mendapat tempat di hati penonton drama Lestary ‘Iskandar Chempaka’ dan juga pendengar,” jelas Firdaus lagi.

Jangan lepaskan peluang untuk mendengar lagu ’Selama Berdua’ nyanyian Firdaus Rahmat yang telah mula bergema di platform iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, Apple Music, Youtube Music, Tidal dan Deezer sejak 1 Mac lalu. Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok. 

CATEGORIES
TAGS
2.7k
Whatsapp40.8k