118 Mall Bakal Menjadi Lokasi Cawangan Premium Pertama Decathlon di Malaysia

KUALA LUMPUR, 10 Jun 2026 — Menjelang pembukaannya yang dinanti-nantikan tahun ini, 118 Mall terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi gaya hidup baharu di tengah ibu negara dengan mengumumkan kehadiran cawangan premium pertama Decathlon di Malaysia. Terletak di presint ikonik Merdeka 118, pembukaan gedung ini dijangka menjadi antara tarikan utama pusat beli-belah tersebut, sekali gus menawarkan pengalaman membeli-belah sukan yang lebih moden, interaktif dan eksklusif kepada pengunjung.
Bagi menandakan perkembangan penting ini, 118 Mall baru-baru ini menerima kunjungan khas delegasi Decathlon dari seluruh rantau Asia Pasifik (APAC). Lawatan yang menghimpunkan wakil dari Thailand, Kemboja, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan dan Vietnam itu memberi peluang kepada mereka meninjau sendiri pembangunan 118 Mall serta lokasi cawangan utama Decathlon yang bakal beroperasi di pusat beli-belah berkenaan.

Cawangan baharu seluas 22,000 kaki persegi yang terletak di Aras 2 itu akan menjadi projek premium pertama seumpamanya bagi Decathlon Malaysia serta berfungsi sebagai gedung legasi jenama tersebut. Konsep yang diperkenalkan menggabungkan elemen sukan, gaya hidup dan komuniti dalam satu ruang yang direka untuk memberikan pengalaman membeli-belah lebih menyeluruh kepada pelanggan.
Menariknya, reka bentuk cawangan ini turut mengetengahkan identiti Malaysia menerusi inspirasi motif Songket pada ruang dalaman, dipadankan dengan fasad moden yang memberikan suasana premium. Selain menawarkan pelbagai kelengkapan sukan, pelanggan juga boleh menikmati perkhidmatan nilai tambah seperti cetakan dan ukiran khas serta pemasangan tali raket bagi badminton, tenis dan sukan lain.

Lebih daripada sekadar gedung peralatan sukan, cawangan ini diwujudkan bagi menggalakkan gaya hidup aktif serta memperkukuh hubungan komuniti melalui pelbagai pengalaman interaktif. Pada masa sama, ia mengintegrasikan keupayaan omnichannel Decathlon, membolehkan pelanggan mengakses rangkaian produk dan perkhidmatan yang lebih luas, sama ada di premis fizikal mahupun secara dalam talian.
Pengarah Keahlian dan Peneraju Projek Cawangan 118 Mall, Decathlon Malaysia, Adlyna Azmi berkata pembukaan cawangan premium itu melambangkan evolusi baharu jenama berkenaan di Malaysia dengan menggabungkan inovasi, identiti tempatan dan pengalaman sukan yang lebih menarik. Beliau turut menyifatkan pembukaan cawangan ke-37 Decathlon di negara ini sebagai satu pencapaian penting, selain berbangga menjadi sebahagian daripada pembangunan ikonik Merdeka 118.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad, Dato’ Ir. Ts. Izwan Ibrahim menyifatkan kehadiran Decathlon sebagai antara penyewa utama yang bakal memperkayakan pengalaman pengunjung di 118 Mall. Menurut beliau, pusat beli-belah tersebut bukan sahaja menawarkan pengalaman membeli-belah, malah menjadi destinasi yang menggabungkan elemen gaya hidup, budaya dan komuniti dalam suasana yang unik serta berbeza daripada pusat beli-belah lain di Kuala Lumpur.
Dengan kerja-kerja pengubahsuaian premis oleh para penyewa kini sedang giat dijalankan, 118 Mall semakin menghampiri fasa pembukaannya kepada orang ramai. Kehadiran jenama-jenama terkemuka seperti Decathlon dijangka mengukuhkan lagi status 118 Mall sebagai destinasi gaya hidup bertaraf dunia yang menawarkan pengalaman membeli-belah, rekreasi dan komuniti dalam satu lokasi ikonik di Malaysia.
