118 Mall SATUKAN JENAMA TEMPATAN DAN ANTARABANGSA DALAM MAJLIS PERHIMPUNAN SULUNG BERSAMA RAKAN NIAGA

Lebih 200 rakan niaga berkumpul di Park Hyatt Kuala Lumpur, Aras 98, sempena Majlis Perhimpunan bersama Rakan Niaga 118 Mall yang julung kali dianjurkan. Pertemuan tersebut menjadi simbol komitmen bersama dalam merealisasikan 118 Mall sebagai antara destinasi gaya hidup baharu yang paling dinanti-nantikan di Kuala Lumpur.
Majlis berkenaan menghimpunkan rakan niaga dan barisan jenama yang bakal memperkayakan pengalaman pengunjung di 118 Mall. Antara rakan niaga utama yang hadir termasuk Village Grocer, pasar raya premium, serta Makanism Foodhall, sebuah destinasi makanan dan minuman (F&B) seluas 44,000 kaki persegi yang bakal mengetengahkan kepelbagaian warisan kulinari Malaysia.
Dari segi fesyen dan gaya hidup, 118 Mall bakal menampilkan pelbagai jenama popular termasuk adidas, ALDO, Converse, Foot Locker, Guess, Lacoste dan Benjamin Barker. Kepelbagaian pilihan turut diteruskan menerusi barisan F&B seperti CHAGEE Signature, Honolu Ramen, Masala Mansion, Donkai dan Nara Thai, yang dijangka menawarkan pengalaman gastronomi untuk memenuhi citarasa pengunjung daripada pelbagai latar belakang.
Bagi memenuhi keperluan keluarga dan gaya hidup seharian, 118 Mall turut menghimpunkan jenama seperti Babyshop, Best Denki, BookXcess dan Happikiddo, selain Maybank Premier Banking. Dalam masa yang sama, Malaysian Artisan District (M.A.D) di Aras 3 bakal menjadi ruang untuk mengetengahkan bakat dan kreativiti tempatan menerusi jenama seperti Banglo 289, Batik Boutique, Bayu Somerset dan Cookiecrumbs, sekali gus memperlihatkan komitmen 118 Mall dalam menyokong keusahawanan serta industri kreatif Malaysia.
Majlis tersebut turut menjadi platform buat pihak pengurusan 118 Mall menyampaikan penghargaan kepada para rakan niaga atas kepercayaan dan kerjasama yang diberikan. Pada masa sama, para tetamu turut menerima perkembangan terkini mengenai presint Merdeka 118 dan ekosistem bersepadu yang dirangka untuk mewujudkan nilai jangka panjang serta peluang pertumbuhan yang mampan kepada perniagaan yang beroperasi di 118 Mall.
Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV), Dato’ Ir. Ts. (Dr.) Izwan Ibrahim berkata, visi 118 Mall melangkaui pembangunan sebuah destinasi beli-belah semata-mata kerana ia merupakan komponen penting dalam ekosistem presint Merdeka 118 yang menghubungkan pengalaman membeli-belah, hospitaliti, warisan, pelancongan dan budaya dalam sebuah destinasi yang saling melengkapi.
Menurut beliau, kekuatan utama 118 Mall terletak pada ekosistem presint Merdeka 118 secara keseluruhan. Lokasinya yang strategik berpotensi menarik pelbagai kelompok pengunjung, termasuk pelancong, tetamu hotel mewah, golongan profesional korporat dan komuniti setempat, sekali gus membuka peluang kepada rakan niaga dan penyewa untuk membina pertumbuhan perniagaan yang mampan dalam jangka panjang.

Ketua Peruncitan 118 Mall, Puan Sue Wang pula berkata, keistimewaan 118 Mall terletak pada kepelbagaian pengalaman yang dihimpunkan di bawah satu bumbung. Menurut beliau, pusat beli-belah itu direka sebagai sebuah destinasi yang menggalakkan pengunjung meneroka, menikmati, berhibur serta menghayati keunikan Malaysia dan pengalaman antarabangsa melalui sajian, fesyen, rekaan, seni dan kebudayaan.

Beliau turut mendedahkan bahawa 118 Mall menyasarkan sehingga 22 juta pengunjung pada tahun pertama operasinya, didorong oleh kelebihan ekosistem presint Merdeka 118. Dengan komitmen untuk menarik kunjungan secara berterusan, 118 Mall berharap dapat mewujudkan nilai komersial yang mampan kepada semua rakan niaga dan penyewa.
Selain sesi perkongsian, majlis tersebut turut memberikan peluang kepada rakan niaga untuk berinteraksi dan membina jaringan bersama penyewa lain serta pihak pengurusan 118 Mall. Mereka turut menerima maklumat eksklusif mengenai perancangan pemasaran dan promosi, termasuk peluang memanfaatkan paparan kandungan kreatif menerusi skrin anamorfik di Aras 4 serta ruang acara serba guna untuk melaksanakan aktiviti pengaktifan jenama dan pengalaman interaktif.
Dengan gabungan jenama tempatan dan antarabangsa, kepelbagaian pilihan runcit serta integrasi bersama ekosistem Merdeka 118, 118 Mall bersedia untuk tampil sebagai destinasi gaya hidup yang menawarkan pengalaman menyeluruh kepada pengunjung. Kerjasama erat bersama rakan niaga dan penyewa dilihat menjadi antara asas penting dalam merealisasikan visi pusat beli-belah tersebut sebagai sebuah destinasi dinamik yang menghubungkan komuniti, perniagaan, budaya dan gaya hidup.
Ketahui lebih lanjut https://118mall-kl.com.