PROGRAM MAJLIS PERASMIAN HARI INDUSTRI JUALAN LANGSUNG MALAYSIA PERINGKAT NEGERI MELAKA TAHUN 2022 DI MAHKOTA PARADE, MELAKA

MELAKA, 15 Oktober 2022 – Program Hari Industri Jualan Langsung Malaysia telah diadakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) dan Persatuan Pengedaran Langsung Malaysia (MDDA) Peringkat Negeri Melaka di Mahkota Parade , Melaka. YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, telah merasmikan acara selama 3 hari, yang berlangsung dari 14 hingga 16 Oktober 2022. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mendaftarkan sejumlah 22 perusahaan jualan langsung yang mengambil bahagian dalam program ini.

Untuk makluman, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bawah Bahagian Pembangunan Francais dan Jualan Langsung (BPFJL) adalah bertanggungjawab untuk sentiasa mengawal selia industri jualan langsung selaras dengan peruntukan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 [Akta 500] termasuk Garis Panduan, Peraturan dan Syarat Lesen yang berkuatkuasa.

Jualan Langsung adalah merupakan perniagaan yang berkonsepkan jualan dari pintu ke pintu, jualan secara pesanan pos atau mel melalui katalog atau melalui transaksi elektronik.

Terdapat tiga (3) jenis pelan pemasaran perniagaan jualan langsung yang ditetapkan iaitu Single Level Marketing (SLM), Multilevel Marketing (MLM), Pesanan Pos atau Mel (Mail Order).

Setakat 1 Oktober 2022, terdapat sebanyak 398 Lesen Jualan Langsung yang telah diluluskan dan masih sah untuk syarikat-syarikat menjalankan operasi perniagaan yang berkonsepkan dan bercirikan Jualan Langsung. 6 daripada jumlah tersebut adalah syarikat yang berdaftar di Negeri Melaka.

Pencapaian nilai jualan industri Jualan Langsung bagi tahun 2020 adalah berjumlah RM25.7 bilion, peningkatan sebanyak 43.6% dari tahun sebelumnya (RM17.9 bilion tahun 2019).

Melalui laporan yang dikeluarkan oleh World Federation of Direct Selling Association (WFDSA) industri jualan langsung di Malaysia yang telah berjaya mencapai kedudukan no. 6 di dunia (berbanding no. 7 sebelum ini) dan no. 4 di rantau Asia Pasifik bagi hasil jualan langsung untuk tahun 2021. Ini memperlihatkan juga bahawa industri Jualan Langsung merupakan salah satu bidang tumpuan yang berupaya menyumbang dalam mengukuhkan ekonomi negara, selain kepentingannya dalam mewujudkan peluang pekerjaan, menjana pendapatan (termasuk pendapatan tambahan) serta peluang perniagaan kepada masyarakat.

Namun, KPDNHEP memandang serius terhadap aduan-aduan yang diterima melibatkan pelanggaran dan ketidakpatuhan kepada peruntukan undang-undang dan peraturan di bawah Akta 500.

Kementerian di bawah Bahagian Penguatkuasa tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang gagal untuk mematuhi peruntukan undang-undang tersebut serta tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen Jualan Langsung syarikat.

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k