Fenomena kucing berwarna jingga atau lebih mesra digelar “oyen” yang sering kelihatan di kawasan perumahan dan kaki lima kedai di Malaysia kini diangkat sebagai simbol kebajikan menerusi pelancaran koleksi edisi terhad, Oyenji. Inisiatif murni hasil kolaborasi antara PropertyGuru Malaysia dan artis jalanan terkenal tempatan, Kenji Chai ini bertujuan membantu kumpulan penyelamat haiwan mengumpul dana bagi melindungi haiwan terbiar di negara ini.

Diilhamkan daripada konsep “Kucing Pembawa Tuah” (Lucky Cat), Oyenji mencerminkan komitmen PropertyGuru dalam membantu bukan sahaja manusia, malah haiwan terbiar untuk mendapatkan perlindungan dan kediaman yang selamat. Menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Gurus for Good, PropertyGuru melancarkan kempen “Oyenji Gives Back” dengan menghadiahkan sebanyak 25 unit barangan koleksi Oyenji bertandatangan khas kepada empat kumpulan penyelamat haiwan tempatan.


Empat organisasi yang terlibat ialah Lingy Pet Adoption, PAWS Animal Welfare Society, Persatuan Haiwan Kesayangan (Pads & Paws) serta Allergic Rescuers KL. Kesemua hasil kutipan dana daripada jualan koleksi tersebut di pasar, bazar mahupun acara komuniti akan diserahkan sepenuhnya kepada kumpulan penyelamat terbabit tanpa sebarang perkongsian keuntungan oleh pihak PropertyGuru.
Pengarah Pemasaran Negara (Malaysia & Thailand) bagi PropertyGuru dan iProperty Kar Wai Low berkata, penyerahan koleksi Oyenji secara terus membolehkan kumpulan penyelamat mengatur strategi pengumpulan dana yang paling berkesan untuk menyokong usaha pemulihan, penjagaan sementara serta pencarian keluarga angkat baharu bagi haiwan jalanan.
Sementara itu, Kenji Chai yang turut dikenali menerusi watak Chaigo berkata, haiwan terbiar sudah menjadi sebahagian daripada landskap dan memori kehidupan di jalanan Malaysia. Beliau menyifatkan peluang menggunakan karya seninya bagi menyokong sukarelawan kebajikan haiwan sebagai satu langkah yang amat bermakna. Orang ramai yang berminat mendapatkan koleksi eksklusif ini boleh mengikuti perkembangan keempat-empat kumpulan penyelamat tersebut di media sosial untuk mengetahui jadual acara pengumpulan dana mereka yang akan datang.









Leave a Reply