Penyedia penyelesaian sistem fotovoltaik solar (PV solar), JS Solar Holding Berhad (JS Solar) mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, JS Solar Sdn. Bhd. (JSSB) telah mempersetujui kontrak bernilai RM30 juta bersama NUR Power Ventures Sdn. Bhd. (NUR Power Ventures) bagi melaksanakan projek PV solar atas bumbung dan sistem storan tenaga bateri (BESS).
Menerusi perjanjian tersebut, JSSB dilantik sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek tenaga boleh diperbaharui bersepadu itu yang menggabungkan keupayaan penjanaan tenaga solar dengan teknologi penyimpanan tenaga bateri. Projek berkenaan disasarkan untuk mencapai tarikh operasi komersial (COD) menjelang 1 Julai 2027.
Pemeteraian kontrak ini menandakan kemajuan strategik yang berterusan dalam kerjasama antara JS Solar dan N.U.R Power Sdn. Bhd. (syarikat induk kepada NUR Power Ventures) serta kumpulan syarikatnya, Kumpulan NUR. Ia merupakan susulan positif daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara JSSB dan N.U.R Power pada Februari 2026 bagi meneroka peluang projek tenaga boleh diperbaharui atas bumbung di negara ini.
Pengarah Urusan JS Solar, Johnson Chai Jeun Sian berkata, pihaknya berbesar hati dapat memperkukuh hubungan kerjasama dengan N.U.R Power menerusi penganugerahan projek bernilai RM30 juta itu. Menurut beliau, integrasi antara sistem PV solar atas bumbung dan BESS mencerminkan keperluan industri tenaga hijau yang semakin berkembang pesat, sekali gus memberi peluang kepada syarikat untuk terus mempertingkat kepakaran merentasi kedua-dua teknologi berkenaan.
Tambah beliau, dengan sasaran COD pada 1 Julai 2027, keutamaan segera syarikat adalah memastikan pelaksanaan projek berjalan secara berdisiplin dan bekerjasama rapat dengan N.U.R Power demi menjamin kejayaan penyampaian projek.
Pencapaian ini terus mengukuhkan portfolio JS Solar dalam segmen berkaitan BESS, melengkapi kepakaran sedia ada syarikat dalam perkhidmatan EPCC PV solar, kerja kontrak serta operasi dan penyelenggaraan selari dengan peralihan Malaysia ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih meluas.













Leave a Reply