SEARCH LAKAR SEJARAH DENGAN KONSERT ENDEMIK 2022 DI ZEPP KL

Amy, Nasir, Hillary Ang dan Man Kidal buktikan kehebatan dengan persembahan bertenaga 2 jam tanpa henti selama 2 malam di Zepp, Kuala Lumpur (Zepp KL).

Venue acara bertaraf dunia baharu yang baru sahaja dibina di Kuala Lumpur itu menerima Search sebagai artis pertama yang membuat konsert solo di Zepp KL dan yang pertama membuat konsert berskala besar di fasa endemik.

Dengan repertoire yang terdiri dari gabungan single terbaru dari SEARCH iaitu Endemik I dan Endemik II, sehinggalah kepada lagu-lagu yang menjadi kegilaan peminat-peminat tegar SEARCH yang memberikan status legenda scene rock n roll negara dan di rantau Asia Tenggara, seperti Isabella, Fantasia Bulan Madu, Rozana, Meniti Titian Usang, Pawana dan Isi Atau Kulit, SEARCH turut menyelitkan lagu-lagu yang jarang dipersembahkan live seperti Nigina dan Diari Habil dan Qabil. Konsert selama dua jam tanpa henti tersebut membuktikan bahawa status SEARCH sebagai kumpulan rock nombor satu di Malaysia belum lagi dapat dicabar.

Rizal Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif, LOL Asia (penganjur acara), berkata, “Saya percaya status SEARCH sebagai kumpulan rock nombor satu di Malaysia, fasiliti bertaraf dunia di Zepp KL dan juga tenaga kerja belakang tabir dan sistem sokongan yang kukuh menjadi faktor utama KONSERT ENDEMIK hangat diperkatakan dan sold out pada kedua-dua malam.

Amat dikenali sebagai ikon fesyen negara, SEARCH sekali lagi telah melantik Jiman Casablancas sebagai stylist / penata gaya bagi keseluruhan KONSERT ENDEMIK. Jiman menyatakan, “Fesyen adalah di antara elemen yang amat diambil berat oleh Amy dan dia sentiasa mahukan sesuatu yang fashion forward. Saya bekerjasama dengan Kit Woo dan Wardrobe Privato untuk memastikan penampilan kesemua ahli-ahli SEARCH serta sesiapa sahaja yang beraksi di atas pentas menyokong visi SEARCH dari segi visual. Pasukan grooming SEARCH pula diketuai oleh Khir Khalid dan bersamanya adalah David Shaw, Jijie Zainal dan Kasih Cicie.”

Amy selaku vokalis utama SEARCH menyatakan “Kami percaya bahawa KONSERT ENDEMIK ini telah berjaya menjadi penanda aras bagi penganjuran konsert fasa endemik di Malaysia dan rantau ini. InsyaAllah KONSERT ENDEMIK akan kami bawa ke serata Malaysia dan mungkin juga ke luar negara. Bagi pihak SEARCH, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya peminat-peminat SEARCH yang menyokong perjalanan kami sejak ia ditubuhkan sehingga kini”.

 

 

CATEGORIES
Share This